KEMATIAN GEORGE FLYOD EPISOD KESUDAHAN PAX AMERICANA?

Oleh: Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
29 Mei 2020

Kematian Floyd Dan Frame Arab Spring

1) Hari ini dunia barat dikejutkan dengan kematian George Flyod seorang warga Amerika berkulit hitam yang dikatakan mati disebabkan tindakan polis Minnesota terhadap beliau ketika ditahan.

Video beliau ditahan dalam keadaan sukar bernafas menjadi tular. Menyebabkan berlakunya huru-hara di daerah itu. Fenomena mengejutkan dunia ini perlu dilihat dari banyak sudut.

2) Di kala Amerika berada di ranking teratas masalah Covid-19, mereka terpaksa pula berhadapan dengan isu amukan rakyat mereka yang tidak berpuas hati terhadap kematian George itu.

Secara peribadi, fenomena ini seolah-olah hampir sama dengan Revolusi Mesir yang seiringan dengan kejatuhan Hosni Mubarak dan pimpinan negara Arab yang lain sehinggalah saat ini.

3) Antara babak penting dalam Arab Spring ialah kematian seorang kanak-kanak yang dikatakan dibunuh oleh Tentera Basyar Asad. Bermula saat ini, tercetusnya kebangkitan dan berlakulah Arab Spring.

4) Di Mesir pula dikatakan bermula dengan kematian seorang remaja yang meng’upload’ video pembantaian polis terhadap orang di dalam lokap. Lantas beliau diburu oleh polis.

Sehinggalah akhirnya beliau ditemui oleh polis di Iskandariah, dan dikatakan dibelasah hingga mati. Beginilah yang dikhabarkan oleh media-media ketika itu. Gambar remaja ini tersebar dan menyebabkan kebangkitan di Iskandariah.

Bermula di sekitar sebuah daerah kecil, Sidi Jabir (Iskandariah), akhirnya meleret kepada ‘ketidak-percayaan’ terhadap anggota polis. Hinggalah kepada revolusi besar-besaran di Dataran Tahrir.

Amerika Terkena Tempias Global Protest?

1) Beberapa contoh frame awal Arab Spring pada 2011, kelihatan sedang berlaku di Amerika. Masih terlalu awal untuk dikatakan ia adalah frame yang dirancang. Berbeza dengan Arab Spring yang hari ini kita sudah sedar puncanya.

Cuma persamaan itu cukup jelas. Apatah lagi frame kebangkitan atau revolusi di peringkat global (global protest) yang menggunakan atau memperalatkan mood netizen.

2) Ya, silibusnya sama. Sentimen Netizen dibakar secukupnya untuk meluahkan rasa tidak berpuas hati, dan menghurung (swarming) bandar-bandar untuk membuat kebangkitan.

Boleh rujuk artikel-artikel saya sebelum ini [1] tentang people swarming atau global protest yang ‘sedang berjalan di seluruh dunia’. Bahan utamanya ialah netizen + media.

3) Sebelum tercetusnya isu kematian George Flyod, rata-rata rakyat Amerika sudah meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sekatan yang dibuat untuk mengekang Covid 19.

Sikap rakyat sebegini memang boleh difahami melalui dasar liberal yang mereka terapkan sebagai ‘silibus’ negara mereka. Kalau Covid 19 pun mereka pertikai, apatah lagi kes kematian seperti ini.

4) Saya tidaklah kaitkan kes kematian George Flyod ini sebagai agenda atau konspirasi, tetapi saya juga tidak menafikan kemungkinan logiknya. Cuma, sekadar lontaran untuk difikirkan.

Apakah sudah tiba masanya Amerika itu diruntuhkan dan digantikan dengan Pax Judaica? Dalam keadaan Pax Judaica masih lagi dilihat atas angin? Atau mereka merasakan sudah bersedia?

Semakin Panas

1) Demonstrasi semakin panas apabila ratusan kedai dan balai polis dibakar. 500 orang tentera dikerahkan bagi mengawal amukan tersebut. Derek Chauvin merupakan salah seorang polis yang menyebabkan kematian Floyd sedang ditahan.

Media melaporkan bahawa mereka berempat telah dipecat. Senator AS Amy Klobuchar dari Minnesota memuji penangkapan Chauvin, menyebutnya “langkah pertama menuju keadilan”.

2) Trump pula melabelkan para penunjuk perasaan sebagai “samseng”, dan mengancam tindakan keras terhadap mereka. Berbeza dengan Obama (mantan Presiden Amerika).

Barack Obama mengatakan pada hari ini bahwa dia berkongsi ‘penderitaan’ jutaan rakyat Amerika atas kematian Floyd dan mengatakan bahawa perkauman (rasisme) tidak boleh ‘normal’ di Amerika Syarikat.

‘Tidak boleh biarkan Rasisme menjadi normal’, kata Obama, Presiden kulit hitam AS pertama, dalam satu kenyataan. Katanya lagi,

“Sekiranya kita ingin anak-anak kita tumbuh dalam negara yang mencapai cita-cita tertinggi, kita boleh dan mesti melakukan yang lebih baik.”

3) Dalam hal ini saya bimbang sekiranya pembunuhan Floyd ini terheret kepada krisis pergaduhan antara kulit, apatah lagi Trump memang terkenal dengan perangai itu.

Krisis yang terjadi di Amerika hari ini antara dua persimpangan. Samada memang benar-benar ia luar perancangan mereka sepertimana yang dipegang oleh golongan anti-teori konspirasi, atau memang dirancang.

Dalam masa yang sama kita jangan lupa bahawa Trump mempunyai musuh politiknya yang sangat ‘ketat’. Pastinya isu-isu seperti ini menjadi saham kepada pesaingnya.

Isu Warna Kulit Dan Isu Covid 19

1) Secara sejarahnya, dunia barat mempunyai rekod sejarah gerakan White Supremacy. Contohnya pada 20 September 2019, United States secretary of homeland security mengumumkan strategi melawan teroris.

a- Antara pengumuman tersebut merangkumi penekanan baru pada bahaya yang wujud dalam gerakan ketuanan kulit putih (white supremacy) yang semakin subur di Amerika.

b- Sebagai kontra kepada white supremacy, wujudnya gerakan seperti Black Power Movement, Black Lives Matter, New / Black Panther Party dan sebagainya.

2) Walau bagaimanapun isunya, Amerika dilihat berada di ambang kejatuhannya. Bulan lepas Trump mula menggantung pendanaan Amerika kepada WHO atas tuduhan salah urus dalam menangani pandemik global berkenaan [2].

Selepas daripada itu, Trump mendakwa WHO sebagai ‘boneka’ China. Semalam, Trump mengumumkan, beliau memutuskan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan WHO.

Trump mendakwa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gagal mengambil tindakan mencukupi dalam memerangi peringkat awal penularan COVID-19.

3) Amerika sangat menyedari usaha China untuk muncul sebagai kuasa besar walaupun teori ini agak sukar. Justeru, Amerika berusaha sedaya upaya menyekat China.

Termasuk isu perairan di Laut China Selatan yang menjadi hangat baru baru ini, dan juga krisis Myanmar yang turut berkaitan dengan persaingan antara dua blok ini.

Zionis, Evengelis Dan Hindutva

1) Gambaran pemerintahan Trump yang dilihat carca marba menjadi gambaran ke arah keruntuhan Pax Americana. Tindakan-tindakan beliau yang lebih mengamalkan ‘pop’ dilihat tidak ke mana.

Krisis minyak, persengketaan dengan Iran, didakwa menjadi dalang di sebalik huru-hara di Hong Kong (Colour Revolutions), dan banyak lagi. Seolah-olah ‘manhaj’ pop itu memakan dirinya sendiri.

2) Kita juga perlu berhati-hati dengan gerakan pentaksub agama + nasionalis yang semakin subur. Kalau Yahudi kumpulan ini dikenali dengan Zionis. Kalau Kristian dikenali Evangelis. Kalau Hindu dikenali Hindutva.

Trump dikelilingi oleh orang-orang Evengelis. Manakala Modi yang memerintah India pula beraliran Hindutva. Tak pelik kalau hari ini krisis antara China dan India semakin memanas.

3) Antara badan yang kuat melobi pentadbiran Washington demi kepentingan Israel ialah CUFI (Christians United for Israel). Seramai 70 juta Evengelis yang mewakili 80% penganut Kristian di Amerika.

Antara yang lain, wujudnya American Israel Public Affairs Committe (AIPAC) yang turut menggambarkan kaitan gerakan keagamaan antara Kristian (Amerika) dan Zionis (Israel).

4) Maka boleh fikirkan aliran-aliran seperti ini bergabung dengan mewujudkan suasana keDajjalan akhir zaman yang mungkin bertapak secara haram di atas tanah Palestin.

Agak logik juga jika dikatakan bahawa fasa ini ialah ‘melenyapkan Amerika (Pax Americana) dan munculnya Pax Judaica’. Manakala China dan rakan rakan adalah pengacau kepada misi ini. WaLlahua’lam.

Pautan:

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3145010568874015/?d=n

[2] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/05/694321/umum-putus-hubungan-dengan-who

Tinggalkan komen anda