ISU USTAZ EBIT LEW PERLU DILIHAT DARI PERSPEKTIF AL-GHIRAH BUKAN AL-HASAD

Oleh: Ustaz Zaharudin Muhammad Al-Faqeeh
15 Mei 2020

Al-ghirah (الغيرة) ialah sifat terpuji iaitu apabila seseorang berbuat 10 kebaikan, kita ingin mengatasinya dengan berbuat sebanyak 20 kebaikan tanpa menjatuhkan mereka yang berbuat 10 kebaikan. Ia juga termasuk dalam kategori berlumba-lumpa di dalam melakukan kebaikan (المتسابقون في الخيرات). Al-hasad atau dengki pula ialah sifat mazmumah (tercela) iaitu apabila seseorang berbuat kebaikan, ia mahu dilihat hanya dia seorang sahaja yang berbuat kebaikan dan cuba menafikan orang lain.

Dalam kes Ustaz Ebit Lew (UEL) ini, bagi saya hakikat yang berlaku ialah sifat Al-Ghirah justeru saya difahamkan pihak berkuasa di sana sudah membantu. Mungkin panjang untuk saya coretkan kenapa mereka masih di situ dan tidak berpindah. Cuma saya boleh ringkaskan bahawa ia tidak ada isu melainkan disebabkan oleh beberapa pihak cuba mencetuskan api apabila menggambarkan seolah-olah kerajaan dan pihak berkuasa di sana tidak mengambil hirau dan tidak mengambil berat.

Mungkin suka untuk saya kongsi perkara yang sangat mirip berlaku di tempat saya di Sungai Buloh. Waktu PKP baru-baru ini, sepasang suami isteri ditemui oleh PAS Cawangan Sungai Plong tinggal di rumah lama yang usang serta tercorok jauh daripada orang ramai. Penduduk di sekeliling tidak menyedari kehadiran pasangan tersebut di rumah usang ditinggalkan oleh tuannya yang tercorot di dalam kawasan dilitupi oleh semak samun dan pokok-pokok.

Bukan sahaja tanpa tandas dan tanpa bilik air, bahkan rumah buruk dan usang ini tanpa elektrik, tanpa air, lantai digenangi air hujan kerana sebahagian atap sudah tercabut. Dapurnya pula hanya bertungkukan batu bata dan kayu api sebagai bahan bakar. Untuk mandi pula, mereka terpaksa menumpang paip luar di rumah jiran yang jaraknya sekitar 400 meter melalui denai belukar. Rumah yang ditumpangi mandi itupun rumah asnaf zakat Selangor.

Lebih menyedihkan, sang suami terkena sakit dan lumpuh sejak awal PKP. Beliau terbaring lemah di atas katil besi beralaskan toto usang dan hapak, di dalam bilik yang gelap serta berlantaikan simen retak digenangi air hujan. Alhamdulillah, jiran yang menjadi tempat dia mengambil air memaklumkan kepada pihak cawangan PAS Sungai Plong dan pagi itu juga kami bertindak.

Dengan wang terkumpul, kami terus memindahkan pasangan tersebut ke rumah sewa. Pihak PAS juga telah membelikan tong gas, dapur gas, tikar, tilam, kipas dan lain-lain keperluan asasi dirumah sewa tersebut. Melihat keadaan suaminya yang lumpuh, pihak PAS kawasan dengan bantuan ambulan Jabatan Amal telah menghantar suaminya ke hospital sungai buloh seterusnya dirujuk ke hospital Shah Alam.

Setelah beberapa ketika berada di wad hospital, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa hari yang lepas. Saya difahamkan, beliau sudah mendapat jangkitan sewaktu kami membawanya ke hospital.

Dalam kes ini, YB Timbalan Menteri, Siti Zailah Mohammad Yusof telah turun melawat mangsa sejurus mendapat berita. Beliau juga menyalurkan beberapa bentuk bantuan kebajikan dan memberitahu prosedur-prosedur bantuan. Kes seperti ini tidak akan berjaya diselesaikan oleh satu pihak sahaja, tetapi ia berjaya diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan, PAS Kawasan dan pelbagai pihak lain.

Ini adalah salah satu isu daripada ratusan isu kemiskinan yang berlaku dalam kawasan kami waktu PKP baru-baru ini. Banyak faktor yang menyebabkan saya dan rakan-rakan di sini tidak siarkan di dalam media kami. Faktor terkini ialah musuh yang sentiasa mencari salah waktu pergerakan PKP seperti jarak sosial dalam gambar dan lain-lain. Faktor-faktor ini menyebabkan ziarah YB TM tidak dimuat naik dalam media kami. Terima kasih kepada YB TM hanya diucapkan secara personal mesej, bukan diwar-warkan lawatannya di dalam Medsos.

Kadangkala, kelemahan membantu secara senyap ini, musuh-musuh politik cuba menggambarkan seolah-olah kita tidak membela nasib penduduk yang susah. Akhlak Islam juga mengajar kita kadangkala apabila ada perasaan riya’ sewaktu melakukan amal, maka ubat pada waktu itu ialah menyembunyikan kebaikan supaya Iblis dalam diri kita dapat dikalahkan. Kadangkala ada keperluan juga untuk tonjolkan kebaikan dan kebajikan supaya orang ramai tidak silap tafsir serta kita tidak dipandang serong. Dalam masa yang sama juga, menonjolkan derma, kebajikan dan kebaikan ini boleh menggesa orang lain untuk melakukkan kebajikan yang sama sebagaimana firman Allah swt:

إِن تُبۡدُواْ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ‌ۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۚ

Maksudnya: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu. – (Al-Baqarah: 271)

Kesimpulan, bagi saya kerja kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh UEL ini perlu diteruskan dan diteladani oleh pelbagai pihak bagi memenuhi maksud Al-Ghirah. Konon-kononnya UEL ingin menunjuk, riya dan sebagainya adalah tuduhan yang perlu dijauhi kerana niat itu antara beliau dan Allah SWT. Tindakan menzahirkan sedekah dan bantuan kebajikan mempunyai asas yang baik sebagaimana ayat yang saya kongsikan di atas.

Cuma pandangan saya kita perlu jauhi batuan-batuan api yang cuba merendah-rendahkan pihak yang tidak dilihat membantu kerana mungkin mereka membantu lebih awal dan lebih banyak tanpa kita sedari. Mungkin kita hanya penyudah terhadap apa yang mereka mulakan. Boleh jadi ini dimaksudkan dengan “Penduduk Kota Mekah lebih tahu liku-liku denainya” kerana kes yang saya coretkan di atas adalah kes-kes yang dihadapi hampir setiap hari oleh mana-mana pimpinan politik kawasan terutamanya yang bergelar YB.

Marilah kita berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan dengan meningkatkan sikap Al-Ghirah yang positif dalam diri kita.

Nota:

Untuk melihat keterangan gambar-gambar ketika bantuan dihulurkan, boleh rujuk kepada page penulis.

Tinggalkan komen anda