ISU GLC: CADANGAN SAYA KEPADA KERAJAAN PN

Oleh: Zaharudin Muhammad
12 April 2020

Dalam strategi Sun Zu, perkiraan penting penentu kemenangan sesuatu perang ialah berapa lamakah bekalan dapat bertahan? Samada kita adalah negara penyerang negara orang atau negara kita diserang oleh orang lain.

Jika kita negara penyerang, maka sumber bekalan negara disalurkan kepada tentera yang bertugas untuk menyerang sesebuah negara perlu ada had dan catuan. Jika negara penyerang terus menyalurkan bekalan tanpa had, negara penyerang boleh muflis, seterusnya ia akan diserang semula. Jadi tentera perlu diundurkan sebelum negara pembekal muflis.

Oleh itu, mana-mana tentera pun apabila ia menyerang sesebuah negara, maka ia akan memastikan secepat mungkin perbekalan mereka diperolehi daripada negara yang diserang, bukan terus menerus diambil daripada perbekalan negara. Tentera Ahzab kalah disebabkan mengepong melebihi tempoh jangkaan yang asalnya 2 3 hari sahaja, tetapi berlanjutan sekitar 60 hari. Kesannya, kepungan dan perbekalan mereka habis terutamanya selepas ribut yang Allah SWT hantar.

Soviet pecah disebabkan mereka berjaya memasuki Afghanistan tetapi perbekalan ketenteraan mereka terus menerus disalurkan oleh Moscow apabila mereka gagal mengambil minyak dan lain-lain disebabkan perang gerila. Sama juga seperti Amerika di Afghanistan, tetapi kerajaan Amerika terlebih awal mendengar nasihat senat.

Begitu juga jika kita adalah negara yang diserang. Perbekalan mesti dijimatkan bagi mengharungi tempoh yang entah bila berakhir. Faktor kemenangan ialah “mampu bertahan”. Sifat semula jadi manusia akan memberontak apabila tidak tahan. Apabila elemen ini muncul, maka musuh nyata akan masuk. Kita masih belum tahu sama ada Covid-19 ini adakah ianya malapetaka semula jadi atau sebenarnya serangan biological terancang; mencipta Corona Virus, menyebarkannya, melemahkan ekonomi seterusnya mereka akan kuasai ekonomi negara-negara yang kehabisan bekalan.

Dalam hal ini, contohi negara Madinah ketika bertahan daripada serangan Ahzab yang pada logiknya mustahil mereka boleh bertahan. Tetapi dengan berkat pertolongan Allah SWT, Madinah akhirnya menang apabila bekalan mereka masih berbaki (tiada yang mati kelaparan walaupun mereka lapar) manakala bekalan tentera Ahzab kehabisan akibat lembu kambing dan lain-lain perbekalan terlepas akibat ribut yang dihantar oleh Allah SWT.

Berkat ini terhasil akibat sifat-sifat mereka terutama Rasulullah sebagai qudwah. Dalam satu riwayat menceritakan, ada sahabat yang kelaparan, akibat tidak tahan, beliau menemui Rasulullah SAW untuk memohon Rasulullah mendoakan supaya Allah turunkan makanan daripada langit. Apabila sampai kepada Rasulullah, dia membatalkan hasratnya kerana malu, justeru beliau yang kelaparan setakat ikat 1 batu diperut sudah pun mahu mengadu, sedangkan Rasulullah SAW mengikat 3 batu diperutnya masih bersabar.

“Moral of the story”, saat genting seperti ini, Rasulullah mengajar kita pemimpin perlu lebih lapar daripada rakyat. Ini qudwah Rasulullah SAW. Ini juga pemimpin-pemimpin negara kita patut contohi.

Jika perlantikan pengerusi-pengerusi GLC perlu dibuat lantikan segera, maka elaun-elaun itu saya cadangkan dimasukkan ke dalam tabung kerajaan untuk membantu negara menghadapi Covid-19; kerana elaun basic MP-MP sahaja boleh mengenyangkan 20 orang rakyat miskin dibawah selama sebulan. Jika ditambah lagi elaun Pengerusi GLC yang besar, maka berlipat kali gandalah boleh kenyangkan rakyat bawahan.

Saya turun ziarahi rakyat bawahan, mereka sangat terdesak, RM100 itu sangat-sangat besar bagi mereka. Insya Allah, jika kita menjadikan Rasulullah sebagai qudwah, kita akan diberkati dan insya Allah kita akan menang bergaya dalam PRU 15 akan datang. Jika kita agih-agihkan wang negara (termasuk hasilan GLC) sesama pimpinan negara, maka perbekalan negara akan cepat habis, maka mungkin negara kita akan kalah.

Ini pandangan dan nasihat saya kepada kerajaan yang saya dokong, jika baik, maka jadikan teladan dan jika sebaliknya, jadikanlah ia sebagai sempadan.

Tinggalkan komen anda