ISTIQAMAH, suatu perintah yang berat.

 

Diriwayatkan didalam hadis, nabi mengatakan (mafhum) :

شيبتني هود وأخواتها.

“Surah Hud dan seumpamanya telah membuatkan aku beruban.”

Al-Qurtubi menyatakan wahyu yang diturunkan itu adalah ayat yang ke 112 dari Surah Hud telah menyebabkan Nabi SAW beruban.

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

[سورة هود 112]

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah, Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Ibnu ‘Abbas pula menyatakan berkaitan ayat ini bahawa tidak ada ayat yang lebih berat diturunkan kepada Nabi SAW melainkan ayat ke 112 daripada Surah Hud.

At-Tobari ketika ditanya berkenaan ta’arif istiqamah, beliau menyatakan :

“Hendaklah kamu tetap istiqamah dengan Al-Quran.”

Pengertian-pengertian ini menggambarkan kepada kita istiqamah bukan suatu yang mudah-mudah. Para sahabat ketika mendengar ayat ini diturunkan segera bersungguh-sungguh dan berlumba mempraktikkan Islam di dalam kehidupan.

Siri peperangan yang dilalui oleh Nabi dan para sahabat membuktikan mereka tidak bersenang-senang demi mencapai istiqamah.

Ketika Nabi menjanjikan bahawa Rom dan Parsi akan dibuka, para sahabat tidak bersenang di rumah-rumah mereka untuk berehat bahkan berlumba-lumba untuk menyertai setiap peperangan yang berlaku demi mendapat janji dan berita gembira yang telah disebutkan oleh baginda.

Allah juga menjanjikan kemenangan bagi mereka yang istiqamah :

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

[سورة فصلت 30]

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Ulama berpesan :

“Jadilah kamu golongan yang mengejar istiqamah dan janganlah kamu mencari karomah, kerana sesungguhnya karomah hanya akan datang dengan istiqamah.”

Akhukum,
Amirul Hidayat Ali
30 September 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *