IMPLIKASI PKP TERHADAP PERKEMBANGAN PENDIDIKAN NEGARA

Oleh: Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
5 Mei 2020

Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seluruh sektor dalam negara diarah berhenti beroperasi. Melainkan sektor penting sahaja dibuka seperti pertahanan, kesihatan, perbankan dan penyiaran. Itulah yang berlaku sepanjang PKP.

Namun, apabila rantaian Covid-19 dipercayai sudah berjaya disekat. PKP pun dikira berakhir dengan diganti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Walaupun demikian, kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan beberapa negeri masih lagi mengekalkan status PKP.

PKPB boleh dianggap Malaysia mencapai tahap kedua dengan membenarkan sektor ekonomi dilaksanakan. Pelbagai reaksi terhadap kewajaran kerajaan membenarkan aktiviti sektor ekonomi antara menerima dan menolak. Panjang perbahasannya.

Cuma, apa yang saya ingin sampaikan di sini berkenaan sektor pendidikan yang sampai ke hari ini masih lagi ditutup. Saya ingin menyampaikan sesuatu yang terbuku dalam minda. Atas keprihatinan terhadap sektor pendidikan, saya bersuara.

Ibu Bapa Ke Tempat Kerja dan Si Anak Tinggal Tanpa Guru

Mengapa perbincangan mengenai pendidikan sangat perlu selepas PKPB? Apabila sektor ekonomi telah dibuka, ibu bapa yang sebelum ini menjadi guru di rumah perlu meninggalkan rumah mereka dan meninggalkan anak tanpa guru. Ibu bapa sibuk kembali ke alam pekerjaan, sedangkan anak dibiarkan masanya terluang tanpa diberi tunjuk ajar.

Kewujudan ibu bapa, terutamannya ibu adalah penting untuk memastikan pembelajaran dapat berjalan lancar di rumah. Tanpa ibu, suasana pembelajaran di rumah tidak dapat diatur dengan baik. Suasana pembelajaran hendaklah senyap tanpa diganggu oleh adik-beradik kerana suasana turut menyumbang kepada pembelajaran yang baik. Begitu juga, penyediaan kerusi, meja, alat tulis, rakan berbincang dan sokongan merupakan penyediaan penting dalam pendidikan. Kesemuanya memerlukan ibu bapa untuk memantau kelangsungan pembelajaran.

Sekolah dan Institusi Pendidikan Tidak Harus Dianggap Tidak Penting

Sektor pendidikan tidak seharusnya di pandang sebelah mata. Pendidikan adalah penentu masa depan pelajar. Pendidikan perlu berterusan. Oleh demikian, para pelajar yang tersekat di rumah perlu dipastikan mereka melalui proses pendidikan yang berterusan.

Begitu juga pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) harus memikirkan segera menangani masalah para pelajar yang terperuk di rumah. Padahal, mereka perlu diisi dengan ilmu dan kemahiran agar dapat menjadi pekerja yang berfungsi dengan baik. Sudah dua bulan pembelajaran di IPT terjejas. Sangat merisaukan.

Bagi para pelajar di semester akhir, mereka perlu bergraduat dan tidak hanya menanti bulan untuk bergelar graduan. Mereka merupakan aset penting dalam sektor pekerjaan. Manakala para pelajar di lain semester, mereka masih boleh menunggu tetapi usah begitu lama agar usia mereka tidak dihabiskan dalam tempoh belajar yang lama, tanpa melalui proses pembelajaran.

Sektor Pendidikan Adalah Tunjang Masa Depan Perkembangan Syakhsiah Anak Bangsa

Sektor pendidikan sangat penting terutama sekali kepada negara yang mengejar status negara maju. Pembangunan kanak-kanak melalui pendidikan adalah asas yang memajukan masyarakat dan negara. Sebaliknya, membiarkan anak bangsa tidak melalui proses pembelajaran akan membantutkan kemajuan negara.

Namun, perkembangan kemajuan tidaklah utama berbanding dengan kesihatan. Cuma, paling dikhuatiri adalah keseimbangan syakhsiah pelajar dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI) akan terjejas. Penutupan kelas dan sekolah akan menyebabkan perkembangan JERI akan terbantut.

Terutama anak bangsa di awal sekolah yang masih menumpukan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Terjejas 3M akan memberi maksud, pelajar sukar untuk menguasai langkah pembelajaran seterusnya terutamanya melibatkan Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM). Malah, saya kira pencapaian kanak-kanak turut akan terjejas.

Anak Bangsa yang Miskin Bakal Ketinggalan

Biasanya, kanak-kanak yang ingin memajukan diri, akan dihantar ke kelas tambahan. Tetapi, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, kelas tambahan turut tidak dibenarkan. Arahan penutupan sekolah ini bukan hanya tertakluk sekolah awam, tetapi lebih dari itu tertakluk sekolah swasta. Saya kira, kelas tambahan turut terjejas.

Walau bagaimanapun, kelas tambahan hanya melibatkan kanak-kanak orang kaya dan orang di kelas pertengahan. Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang miskin? Tentu sekali sangat sukar untuk mendapat pendidikan dan dapat bersaing dengan kanak-kanak kaya dan kelas pertengahan.

Sejak PKP diperkenalkan, pembelajaran diberi tumpuan dengan secara atas talian. Pelajar akan diberikan beberapa set soalan latihan agar dapat melihat perkembangan pelajar. Sekali lagi, pelajar-pelajar miskin bakal ketinggalan terutamanya pelajar yang tidak mempunyai akses internet. Pelajar dipertengahan juga akan terkesan terutamanya para pelajar yang mempunyai adik-beradik yang ramai. Mereka terpaksa berkongsi komputer dan telefon bimbit untuk bergilir-gilir melakukan latihan secara atas talian.

Penumpuan IPT Terhadap Video Conference

Rata-rata IPT menumpukan pembelajaran berbentuk tanpa bersemuka (non-facetoface). Maka, segala teknologi pendidikan digunakan secara optimum, terutamanya pendidikan berteraskan audio dan visual. Antara pilihan adalah webminar dan zoom. Mereka terpaksa menggunakannya bagi menyampaikan pembelajaran berbentuk teori dan domain kognitif (teras pengetehuan).

Namun, masalah yang sama dihadapi oleh pelajar sekolah iaitu kekurangan akses internet. Terutamanya pelajar yang menetap di pendalaman, yang tiada langsung atau sangat kurang capaian internet, Adakah mereka akan dikira sebagai golongan yang ketinggalan sebagaimana pelajar miskin?

Sebagai pensyarah yang melaksanakan tugasnya secara atas talian, tentu sekali terpaksa membiarkan golongan terpencil ini. Keutamaan hanya dapat diberi kepada sebilangan besar pelajar. Namun, persoalan yang menghantui pensyarah, adilkah situasi ini dibiarkan? Bagaimana nasib pelajar yang tidak mendapat akses tersebut?

Domain Kemahiran Bakal Terjejas

Setakat berbual dengan rakan-rakan sekerja, mereka tiada masalah jikalau penyampaian melibatkan teori dan domain kognitif. Cuma, berkenaan pembelajaran secara praktikal kemahiran dan domain psikomotor akan terjejas. Ia sangat sukar dipantau. Pensyarah hanya perlu meminta pelajar menghantar video kemahiran yang dilakukan dan tentu sekali setiap video dapat diedit dan boleh dipertikaikan. Tentu sekali pemantau terhadap pencapaian pelajar dari sudut kemahiran tidak dapat berjalan dengan baik dan meragukan.

Bagaimana pula pembelajaran yang memerlukan penglibatan sosial, berkumpulan dan kepimpinan? Ia sangat sukar dipantau oleh pensyarah di atas talian. Oleh demikian, para pendidik pada tempoh ini perlu segera melaksana teknik pengajaran baru yang dapat melaksanakan secara efisien.

Walaupun demikian, kedapatan pengajaran yang memerlukan penggunakan teknologi tinggi yang tentu sekali tiada di rumah pelajar. Bayangkan pembelajaran melibatkan astronomi dan kejuruteraan yang memerlukan pengendalian peralatan yang besar dan mahal.

Oleh demikian, penyelesaian paling efisien hanyalah para mahasiswa perlu kembali ke IPT. Cuma, bagaimanakah mekanisme pengajaran yang sesuai agar pembelajaran dapat dilakukan walaupun dalam tempoh PKP? Pembelajaran dirasakan perlu kepada pembahagian waktu mengajar, agar pelajar tidak bersesak-sesak ke dewan kuliah. Kelas juga hendaklah dikecilkan, lima puluh pelajar dalam satu kelas pun dikira tidak boleh dilakukan. Mungkin, pihak IPT boleh melakukan selang seli pembelajaran secara atas talian dan menghadiri kelas.

Pembelajaran Tanpa Aktiviti Outdoor

Bukan sahaja sukan dan kokurikulum memerlukan aktiviti luar bilik darjah (outdoor), malah pendidikan Islam, Moral, siviks dan seni memerlukan aktiviti luar bilik darjah. Setakat bertanya dengan golongan guru, kesemua pelajaran memerlukan aktiviti luar bilik darjah. Tentu sekali, ia tidak dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi, mata pelajaran yang memerlukan penggunaan makmal, pembelajaran terpaksa dilakukan secara teori tanpa praktikal di makmal.

Aktiviti luar bilik darjah ini sangat memerlukan para pelajar kembali ke sekolah. Justeru itu, sebagaimana mahasiswa IPT, para pelajar sebenarnya sangat perlu untuk kembali ke sekolah. Namun, terdapat kerisauan apabila sekolah dibuka kerana banyak andaian yang timbul.

Andaian pembukaan kelas buat ketika ini sangat merisaukan. Sekolah yang mempunyai kapasiti yang padat dan ramai pelajar adalah sekolah yang paling tinggi kerunsingan. Kawalan sekolah akan sangat sukar kerana guru memerlukan bantuan ramai anggota untuk memastikan Standard Operasi Perlaksanaan (SOP) dapat dipantau dengan baik.

Jikalau penjarakan sosial pun dikira agak sukar dilaksanakan, penyediaan peralatan penting seperti sanitizer, penutup mulut, sarung tangan dan takungan air untuk membasuh tangan perlulah mencukupi. Namun, kerisauan tertinggi adalah keadaan tandas yang dikhuatiri menjadi tempat panas (hotspot) bagi penularan Covid-19 kerana tandas merupakan tempat tertutup dan sempit tetapi ia merupakan keperluan ramai.

Walaupun andaian-andaian ini dapat ditangani pihak sekolah, tetap sahaja ibu bapa runsing. Hal demikian adalah kerana suasana kelas buat ketika ini tidak dapat mengizinkan kesemua pelajar kembali ke kelas secara serentak dan tidak dapat melakukan aktiviti pembelajaran seperti biasa. Lebih-lebih lagi aktiviti-aktivi yang memerlukan perbincangan dan kerjasama.

Tumpuan Diberikan Kepada Pelajar Yang Bakal Menghadapi SPM Dan STPM

Buat tempoh masa ini, tampaknya kerajaan membenarkan kembali ke sekolah bagi para pelajar yang ingin menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun, sedarkah kita, berbanding pelajar yang dewasa ini dengan kanak-kanak, tahap imuniti dan kerintangan penyakit kanak-kanak lebih tinggi berbanding yang lebih dewasa. Kanak-kanak juga dikira lebih layak ke sekolah. Tambahan pula, akal anak muda lebih mudah menerima pembelajaran dan lebih mudah untuk dibentuk.

Pelajar lebih tua lebih beresiko dijangkiti virus. Tetapi, atas perkiraan penilaian pencapaian pelajar terpenting adalah SPM dan STPM, mereka perlu didahulukan. Ia perlu diterima walaupun jikalau dikira keperluan, semua pelajar memerlukan kepada penilaian agar melihat tahap pencapaian pelajar. Tampaknya, sistem pendidikan dalam negara tidak akan berjalan seperti sediakala melainkan wabak Covid-19 dihentikan secara total.

Tinggalkan komen anda