IBNU KHALDUN: GAGASAN MEMBINA PERADABAN

Oleh: Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
13 April 2020

Latar Belakang

1) Sebelum ini saya pernah menulis sedikit berkenaan dengan pemikiran Ibn Khaldun yang dipetik daripada karyanya المقدمة. Karyanya itu menjadi rujukan para sarjana dulu dan kini.

Sebuah karya yang bukan hanya idea, akan tetapi gagasan yang besar, untuk menjadikan sistem Islam itu tertanam di atas muka bumi secara baik dan subur.

2) Kitab المقدمة merupakan bab pertama daripada kitabnya yang bertajuk العبر وديوان المبتدأ والخبر atau lebih dikenali sebagai تاريخ ابن خلدون yang mengandungi khazanah yang agak ‘rare‘.

Khazanah ini wajar digali semula dan diteliti dalam projek membangunkan negara melalui idea-idea beliau. Kitab العبر membincangkan lebih panjang tentang kemewahan, kejatuhan, pertukangan, perbandaran dan banyak lagi.

3) Artikel pendek ini tak mungkin dapat menceritakan kesemua rahsia-rahsia kitab tersebut. Ia sangat berharga bagi golongan pemikir. Karyanya itu seolah-olah sedang ‘mengajak’ manusia supaya berfikir membina peradaban agung.

Pemikiran Ibn Khaldun boleh dilihat melalui perjalanan panjangnya menimba ilmu dan pengalaman. Beliau pernah ke Mesir, Syam, Hijaz, Maghribi dan banyak lagi.

4) Ketika di Mesir, beliau diberi kepercayaan untuk mengajar di Al-Azhar. Beliau pernah juga diamanahkan menjadi hakim, dan pernah menjadi orang kepercayaan istana.

Antara bentuk pemikirannya, ke mana beliau pergi, beliau akan mendekati raja di situ. Bukan kerana gilakan kekayaan dan pangkat. Tetapi untuk membina intelektualnya.

Negara Dibangunkan Oleh Intelek

1) Di dalam المقدمة menceritakan beberapa perkara utama, antaranya keilmuan, kebudayaan, perancangan negara, ekonomi dan sebagainya. Secara asasnya, beliau menyatakan bahawa peradaban itu perlu dibina dengan ilmu.

Masyarakat yang jahil (bodoh) tidak mungkin mampu membina peradaban yang hebat. Ilmu perlu dibina dengan akal, pembelajaran, intelektualisme dan tenaga pengajar yang betul.

2) Antaranya beliau mengutarakan supaya raja atau orang kaya perlu sanggup mengeluarkan kos yang besar untuk membina intelektual. Antara salurannya melalui sistem wakaf.

Beliau menegaskan bahawa dalam pendidikan perlu diutamakan tenaga pendidiknya. Iaitu pendidik yang mendidik dengan betul, dengan tanggungan yang besar oleh pemerintah.

3) Situasi ini berbeza sedikit di negara-negara hari ini apabila tugasan mendidik dianggap semata-mata sebagai kerjaya untuk cari makan. Sistem ini perlu dipulihkan dengan sistem waqaf.

Antara yang diutarakan olehnya ialah bandar-bandar lebih maju berbanding desa kerana di bandar lebih ramai orang yang terpelajar. Sifirnya ialah, ilmu itu adalah asas bagi kemajuan dan ketamadunan.

4) Sebab itulah untuk memajukan negara bukan sekadar membina bangunan batu, akan tetapi membina jiwa-jiwa dan pemikiran dengan ilmu dan pengetahuan. Kerana ketamadunan itu dibina oleh manusia, bukan dibina oleh ‘batu’.

Beliau menyatakan juga bahawa faktor kecemerlangan ilmu itu berkaitan dengan situasi politik, sosial, ekonomi dan sejarah. Contohnya politik yang ‘kondusif’ akan meningkatkan kecemerlangan ilmu.

Negara Yang Diimpikan

1) Selain membicarakan tentang keilmuan, beliau turut membicarakan bab pembinaan negara. Negara yang baik perlu mengutamakan keselamatan dan kebersihan untuk mencapai ‘maqasid’.

Iaitu kedua-dua elemen ini merupakan tujuan kewujudan sesebuah negara. Bahasa mudahnya, sekiranya negara (pemerintahan) itu tiada, maka bila bila masa sahaja kita akan diserang.

Sama juga bab kebersihan. Sekiranya negara itu berpenyakit disebabkan pencemaran, maka apa gunanya hidup di situ dalam keadaan berpenyakit. Ini kerana ia melanggar maqasid sebagai seorang yang hidup.

2) Dalam bab keselamatan beliau mencadangkan supaya negara berada di tempat yang tinggi. Sebagai benteng daripada serangan musuh. Negara yang mempunyai ciri-ciri ini lebih selamat.

Manakala dalam bab kebersihan, beliau mengutamakan kebersihan sungai sebagai sumber air, dan kebersihan udara sebagai sumber pernafasan. Kedua-dua ini adalah keperluan yang ضروري bagi seseorang manusia.

3) Beliau mencadangkan supaya perladangan atau penternakan itu dibuat di luar kota, supaya menghasilkan sumber makanan yang baik, sama ada dari aspek binatang mahupun sayur-sayuran (tumbuhan).

Perladangan sekiranya diusahakan di kawasan kota, bimbang berlakunya pencemaran najis, dan binatang ternakan tidak dapat hidup secara kondusif. Ini menyebabkan sumber makanan manusia turut terjejas.

4) Apa yang boleh kita fahami ialah, bukan semua tempat perlu dibangunkan untuk dijadikan bandar. Perlu ada pembahagian (separation) kawasan untuk dibangunkan, dan kawasan untuk perladangan serta pertanian.

Perbincangan Tentang Ekonomi

1) Di dalam bab ekonomi, beliau membicarakan tentang ‘nilai’. Beliau menyatakan bahawa nilai itu ditentukan oleh tahap kerja dan usaha yang dilakukan.

Contohnya seseorang yang bekerja dengan pengetahuannya perlu dibayar lebih berbanding orang yang bekerja sekadar jasmaninya. Iaitu kerja-kerja yang tidak perlu berfikir.

Ini kerana nilai itu diukur kepada maqasid sebagai seorang manusia yang dibezakan daripada binatang, iaitu akal dan pemikiran. Kerja-kerja yang perlu berfikir itu lebih berat berbanding kerja buruh.

2) Beliau juga turut membicarakan soal ‘kemewahan’. Semakin maju sesebuah negara, semakin meningkatlah kemewahan dan keperluan asasnya. Tidak semua benda boleh dihukumkan sebagai mewah.

Ini kerana, adakala orang yang gaya hidup sederhana melihat sesuatu itu sebagai mewah, tetapi berbeza dengan orang yang menjadikan kemewahan itu sebagai keperluan asas.

Contoh mudah, orang yang memiliki kereta kecil akan melihat kereta besar itu mewah. Sedangkan bagi orang yang memerlukan, ia melihat kereta besar itu sebagai satu keperluan asas.

3) Beliau membicarakan juga konsep negara kaya, dan negara miskin. Saya berikan contohnya. Negara kaya, para pengemisnya bukan minta sekeping roti, akan tetapi minta sekotak KFC.

Justeru, untuk mengurangkan kemiskinan adalah dengan memajukan negara. Negara miskin harga tanahnya rendah. Apabila dimajukan, harga tanahnya melambung dan mengkayakan pemiliknya.

Kesimpulan

1) Realiti dan pengalaman yang dilalui oleh Ibn Khaldun telah membina daya intelektualnya. Kajian-kajian terhadap kemasyarakatan, kenegaraan, politik dan sebagainya menjadikan idea beliau sangat tajam dan berpijak.

Apa yang diutarakan oleh beliau menepati ‘maqasid syariah’ dalam banyak sudut. Beliau bukannya berteori di awangan, akan tetapi berpijak di atas tanah realiti.

2) Dalam bab ekonomi contohnya, beliau melihat kepada punca sebenar kemiskinan. Kemiskinan bukan disebabkan orang itu tiada duit. Akan tetapi disebabkan pengurusan negara yang carca-marba.

Sebab itulah beliau menggagaskan supaya membina ekonomi negara, mampu menyelesaikan isu kemiskinan. Ini kerana dalam Islam meletakkan keyakinan bahawa ciptaan Allah ini adalah sempurna.

Maka, tidak mungkin Allah SWT mencipta alam, dalam keadaan ia tidak cukup untuk manusia di atasnya. Mustahil Allah SWT itu bersifat jahil, tidak tahu keperluan manusia.

3) Dalam bab pembinaan negara beliau cuba mengimbangi antara bandar dan desa. Bandar perlu wujud, desa juga perlu wujud. Bandar memerlukan desa untuk bekalan bahan mentah.

Manakala orang desa pula memerlukan Bandar untuk membina inteletual, yang membina kemajuan. Pemikiran beliau ini sangat selari dengan tugasan para Ulama’.

Para Ulama’ bergiat membina madrasah, pondok dan sekolah untuk memajukan negara dengan ilmu. Sekiranya tugasan ini dipandang remeh oleh pemerintah, negara itu bakal mengundur menuju keruntuhan.

Tinggalkan komen anda