HUKUM RASUAH KOMISEN ADALAH DOSA YANG SANGAT BESAR

Oleh: Ustaz Zaharudin Muhammad
28 Mei 2020

Rasuah komisen bermaksud sejumlah persen atau sejumlah wang yang dikenakan oleh pelulus projek-projek kerajaan atau GLC sebagai syarat untuk pihak vendor, pembekal atau kontraktor atau seumpamanya mendapatkan sesuatu tender atau projek. Bentuknya sama ada (1) menaikkan kos sesuatu projek atau harga sesuatu barang yang di supply.

Sebagai contoh projek bernilai RM1 juta, komisen 20%, maka projek itu dinaikan kepada RM1.2 juta. Bentuk ke (2) ialah komisen 20% itu dalam bentuk potongan kepada keuntungan syarikat. Sebagai contoh, projek bernilai RM1 juta, untung kontraktor 30% @ RM300k, maka RM200k itu perlu diberikan kepada pihak yang meluluskan projek.

Bagi memastikan ianya benar-benar melengkapi syarat rasuah komisen dalam kedua-dua bentuk di atas, bayaran komisen itu mestilah dijadikan syarat untuk meluluskan sesuatu projek kerajaan atau projek GLC kepada kontraktor. Jika 20% itu diberikan tanpa disyaratkan awal sewaktu rundingan projek (seperti memberinya sebagai sumbangan selepas masa yang lama seperti 2 tahun), maka saya masih belum berani mengkategorikannya sebagai rasuah komisen justeru dua perbuatan tidak berlaku dalam satu akad (rundingan dan persetujuan).

Sama seperti riba, jika lebihan bayaran disebut waktu akad, maka ia adalah riba manakala jika lebihan itu dibuat selepas itu tanpa disebut di dalam akad, maka hukumnya bukan riba. Kaedah ini terpakai dalam banyak tempat di dalam hukum muamalat dan ekonomi Islam.

Kedua-dua bentuk rasuah komisen di atas adalah salah dari segi undang-undang dan juga salah dari segi hukum berdasarkan pengajian saya dalam bidang fiqh dan usul serta praktis dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam di samping pengalaman langsung di dalam politik selama 18 tahun. Dalil-dalilnya adalah sebagaimana berikut:

1- Dalil yang paling jelas bahawa rasuah komisen adalah termasuk dalam kategori rasuah yang dilarang di dalam Islam sebagaimana disebutkan di dalam kitab (البحر الرائق شرح كنز الدقائق) sebagaimana berikut:

مَالٌ يُعْطِيهِ وَلَا يَكُونُ مَعَهَا شَرْطٌ وَالرِّشْوَةُ مَالٌ يُعْطِيهِ بِشَرْطِ أَنْ يُعِينَهُ

Maksudnya: Hadiah itu ialah sesuatu yang diberikan tanpa disyaratkan apa-apa. Manakala rasuah pula diberikan dengan penyertaan syarat menolongnya (untuk mendapatkan sesuatu).

Justeru itu, rasuah komisen ini adalah jelas termasuk dalam kategori rasuah menurut definisi syariat kerana jumlah komisen itu diberikan dengan syarat pihak yang menerima (penguasa) memberikannya projek.

2- Integriti Islam di dalam pengurusan negara Islam bukan sahaja tidak membenarkan seseorang pemimpin negara atau mereka yang berjawatan awam menerima hadiah dengan memberikan imbuhan projek, tetapi Islam juga melarang seseorang pemimpin dan berjawatan awam menerima hadiah sekalipun tanpa apa-apa balasan projek.

Di dalam satu hadis, seorang lelaki daripada Bani Al-Azd dikenali sebagai Ibnu Al-Lutbiyyah dilantik sebagai pengutip cukai oleh Nabi SAW. Lalu satu hari beliau menyerahkan kutipan cukai kerajaan kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, ini adalah cukai yang dibayar oleh pembayar cukai dan ini pula ialah hadiah yang pembayar cukai hadiahkan kepadaku.” Lalu Nabi menjawab: “adakah jika kamu berada di rumah ibu dan bapa kamu, maka pembayar itu akan berikan hadiah kepadamu?” Sewaktu Nabi berkhutbah, Nabi SAW menegur dan mengulangi larangan ini kepada semua umat Islam. Larangan ini berkait menerima hadiah sekalipun tidak memberikan apa-apa imbuhan balik berupa projek kerajaan dan seumpamanya.

3- Dari segi hukum kesan daripada hadis di atas, selepas memegang sesuatu jawatan awam, seseorang itu tidak boleh lagi menerima hadiah kecuali apabila pemberi itu sudah mempunyai adat memberi hadiah seperti ibu bapa, kawan-kawan rapat, sanak saudara dan seumpamanya yang telah mempunyai ‘track record’ memberi hadiah sebelum memegang jawatan. Di dalam kitab Al-Bahru Ar-Raaiq menyebut:

وَيَرُدُّ هَدِيَّةً إلَّا مِنْ قَرِيبٍ أَوْ مِمَّنْ جَرَتْ عَادَتُهُ بِهِ

Maksudnya: Hendaklah seseorang (pemegang jawatan) itu menolak hadiah kecuali jika ia diberikan oleh kerabat atau orang yang telah mempunyai adat pemberian (sebelum ia memegang jawatan).

4- Ketinggian integriti di dalam Islam bukan sahaja melalui hukum pengharaman menerima apa-apa pemberian hadiah sekalipun tanpa balasan projek, tetapi kehalusan dan ketelitian Islam sehingga meletakkan hukum harus bertayammum dan tidak wajib menerima air wudhu yang dihadiahkan oleh individu yang dirasakan ada ‘minnah’. ‘Minnah’ ini dengan bahasa mudah, merasakan pemberi itu ‘ada udang disebalik batu’ atau menyebabkan penerima (pemimpin) akan rasa terhutang budi kepada pemberi. Bab Minnah ini panjang dibahaskan di dalam kitab الموسوعة الفقهية dan ia boleh dianggap illah (sebab) kepada pengharaman penerimaan hadiah.

5- Jika islam mengajar kita untuk menolak air wudhuk seterusnya diharuskan bertayammum sekalipun pemberi air itu orang yang tidak meminta apa-apa balasan, maka lebih utama untuk seseorang yang memegang jawatan politik kerajaan, GLC dan lain-lain kepentingan awam menolak wang komisen yang ditawarkan sebagai syarat penganugerahan sesuatu projek. Itu jika ditawarkan, jika pemimpin itu meminta komisen, maka ianya sangat-sangat jelas adalah rasuah yang diharamkan dan termasuk dalam ketegori ‘suhtun’ yang dijelaskan.

6- Rasuah dengan dibayar oleh wang rakyat adalah jauh lebih besar dosa timbangannya berbanding rasuah yang dibayar dengan wang syarikat sendirian berhad. Masruq bertanya kepada Saidina Umar berkenaan maksud ‘suhtun’ pada firman Allah SWT bermaksud: “(golongan munafik dan yahudi) suka mendengar berita-berita palsu dan suka memakan suhtun” – (Al-Maidah: 42). Adakah termasuk kategori suhtun apabila seseorang memberikan rasuah berkaitan kerajaan? Lalu Saidina Umar menjawab:

لَا , وَلَكِنْ كُفْرٌ , إنَّمَا السُّحْتُ أَنْ يَكُونَ لِرَجُلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَاهٌ وَمَنْزِلَةٌ وَيَكُونَ لِلْآخَرِ إلَى السُّلْطَانِ حَاجَةٌ , فَلَا يَقْضِيَ حَاجَتَهُ حَتَّى يُهْدِيَ إلَيْهِ

Maksudnya: Tidak, bahkan (memberi rasuah berkaitan kerajaan itu dosanya adalah dosa) kufur. Adapun suhtun itu ialah seseorang yang mempunyai kedudukan dan gah disisi seseorang raja (pemimpin) dan seorang lagi pula mempunyai hajat dengan raja tersebut dimana hajatnya tidak boleh tertunai kecuali ia memberikan hadiah kepada lelaki (pertama tadi yang mempunyai hubungan dengan Raja).

Masruq juga bertanya perkara yang sama kepada Ibn Mas’ud dan beliau menjawab:

السُّحْت أَنْ يَسْتَشْفِعَ بِك عَلَى إمَامٍ فَتُكَلِّمَهُ فَيُهْدِيَ لَك هَدِيَّةً فَتَقْبَلَهَا

Maksudnya: Suhtun itu ialah seseorang meminta syafaat kamu untuk (mendekati) seseorang pemimpin, lalu kamu pun bercakap dengan pemimpin itu (untuk memberikan syafaat kepada orang tadi). Dengan itu kamu diberikan hadiah olehnya dan kamu menerima hadiah tersebut.

7- Pengharaman rasuah komisen dan besarnya dosa si pelaku adalah sangat jelas daripada definisi suhtun di dalam riwayat-riwayat yang dinukilkan di atas serta dalil-dalil berkaitan dosa sehingga digambarkan sebagai sifat Munafik dan sifat Yahudi. Suhtun sebagai broker komisen menurut pendapat Saidina Umar (sekalipun dosanya cukup besar), tetapi beliau menggambarkan bahawa dosa pemimpin rasuah adalah seumpama dosa kufur.

Dosa suhtun dikeji oleh surah Al-Maidah ayat 42 adalah dosa broker, manakala dosa raja atau pemimpin-pemimpin atau PM atau Menteri atau Timbalan Menteri atau MB atau Exco atau CEO GLC yang menerima rasuah adalah jauh lebih besar sehingga ianya digambarkan sebagai dosa kufur.

8- Rasuah komisen memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara:

a. Kesan bentuk rasuah komisen pertama, iaitu menaikkan harga pembayaran kerajaan kepada kontraktor untuk dibayar semula dibelakang secara ‘off record’ kepada pemberi projek. Kesan ekonomi disebalik rasuah komisen bentuk yang pertama ini ialah memberikan kesan buruk kepada kos perbelanjaan negara.

Jika benar sebagaimana yang disebutkan kepada saya bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim diminta untuk kerajaan Selangor membayar sekitar RM2.5 bilion dengan kenaikan harga asal RM8.5 bilion (menjadikan jumlah bayaran RM11 bilion) kepada syarikat-syarikat tertentu yang kemudiannya akan diberikan kepada parti politik tertentu, maka kenaikan air akan berlaku dari masa ke semasa selama 20 – 30 tahun bagi menampung kos kenaikan RM2.5 bilion. Ini contoh kerosakan ekonomi rakyat yang berlaku. Bayangkan jika semua projek-projek kerajaan dan GLC diunsuri oleh rasuah komisen seperti ini, maka kos kerajaan akan melambung dan rakyat akan terus ditekan membayar cukai bagi menampung perbelanjaan negara yang meningkat.

b. Rasuah komisen bentuk yang kedua pula, iaitu tidak berlaku kenaikan sebagaimana bentuk yang pertama tetapi hak keuntungan yang sepatutnya dimiliki oleh syarikat kontraktor dirampas menyebabkan rolling capital syarikat terjejas. Kesan ekonominya ialah mutu dan size projek yang dibekalkan akan terkesan seperti sepatutnya longkang sepajang 5 km akan jadi 4.8 km sahaja atau simen yang sepatutnya 1000 bag dikurangkan kepada 900 bag sahaja. Kesannya, jika rasuah komisen ini melibatkan pembinaan jambatan, maka jambatan akan runtuh. Jika stesyen bas, maka stesyen bas akan cepat runtuh. Hatta kalau stadium pun bila berlaku rasuah komisen, mutu dan bilangan besi akan dikurangkan, kesannya stadium pun akan runtuh.

Pernah seorang sahabat memberitahu saya beliau ditawarkan satu projek makmal di Shah Alam sekitar RM500 ribu. Pihak broker yang menawarkannya meminta separuh daripada keuntungan menyebabkan beliau berada di persimpangan antara menolak atau menerima dengan terpaksa mengurangkan mutu supply kerana separuh keuntungan itu sebenarnya adalah rolling capital syarikat beliau serta kegunaan contingency risk. Alhamdulillah, beliau memilih untuk menolak tawaran tersebut kerana memahami ia adalah rasuah dan kesannya akan cepat meruntuhkan makmal tersebut.

Baki persoalan yang timbul ialah, walaupun rasuah komisen ini haram dan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi, tetapi yang mengambil komisen itu bukan untuk kepentingan individunya, tetapi untuk kepentingan jemaah NGO-nya, atau partinya atau seumpamanya yang mempunyai elemen “tujuan yang baik”. Poin ini adalah poin yang terputus dan tidak sempat diutarakan sewaktu kuliah online pada hari jumaat yang lepas. Jadi insyallah saya akan sambung penerangan poin ini pada kuliah online pada hari sabtu ini, jam 9 malam di facebook saya.

Butiran kuliah online akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: 30 Mei 2020.
Hari: Sabtu Malam Ahad.
Masa: 9 00 malam. (selepas solat Isya’).
Tempat: Online di FB Page Zaharudin Muhammad.

Link Artikel:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3273430089354070&id=312456128784829

Link Kuliah:

Rujukan Link Kuliah Online Lepas Berkaitan Rasuah Komisen:

https://www.facebook.com/312456128784829/videos/249283052806153/

https://www.facebook.com/312456128784829/videos/559481655002215/

Tinggalkan komen anda