HIJRAH: Ukhwah Islamiah vs Ukhwah Gigit Epal.

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

At-Taubah ayat 40

Episod bersejarah dan terulung Hijrah Rasulullah ke Madinah mengajar kita sesuatu mengenai ukhwah. Sebagai orang Islam sewajibnya kita memahami dalam kerangka istilah ukhwah Islamiah.

Ayat di atas menceritakan mengenai kesan persahabatan atas landasan Islam. Insan teragung memilih seorang lelaki yang memahami nilai perjuangan untuk turut menemaninya berhijrah ke Madinah.

Kasihnya Abu Bakar terhadap Nabi bukanlah gimik yang dicipta. Bahkah kasih yang datang dengan penuh keimanan dan kepercayaan. Air mata menahan sakit semata-mata tidak mahu membangunkan Nabi yang nyenyak tidur menandakan bukti ketulusan hati seorang sahabat. Begitu juga kegawatan situasi ketika ketakutan sekiranya diintai oleh musyrikin yang memburu sehingga memanculkan kalam memujuk yang mengimankan seorang sahabat (Rasulullah) kepada sahabatnya (Abu Bakar),

لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا

“jangan bersedih sahabatku, sesungguhnya Allah bersama kita”

Eratnya hubungan Rasulullah dan Abu Bakar. Suka dan duka melebarkan Islam ditanggung bersama. Pahit maung perjuangan ditelan tanpa berkerut muka. Beginilah respon yang terhasil melalui ukhwah Islamiah yang sejati. Ukhwah yang diterap atas dasar kefahaman memperjuangkan Islam.

PRINSIP UKHWAH ISLAMIAH

Cita-cita membina ukhwah sehebat ini bukanlah satu perkara mudah, tetapi bukan juga mustahil. Ukhwah sebegini tidak boleh dibina dengan hanya berjumpa sekali dua, dalam satu majlis atau program yang sama, lalu diiktiraf sebagai ukhwah Islamiah.

Allah berfirman,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ
تُرْحَمُونَ

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Al-Hujurat ayat 10

Allah menegaskan bahawa ukhwah Islamiah hanya dirasai oleh orang beriman dan memperjuangkan Islam. Ukhwah yang perlu dibina atas prinsip surah al-Asr;

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Ayat 3

Mereka tidak kekok mengajak sahabat ke arah kebaikan dan mengisi ruang hidup dengan markah-markah ujian perjuangan. Tidak pula berasa hati apabila ditegur kesalahan bahkan menjadi aktiviti rutin yang istiqomah.

Begitu juga dipaut hebat dengan prinsip al-Maidah ayat 2;

ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Ringan tulang membantu usaha kebajikan dan tidak bersekongkol dengan kesalahan sahabat perlu dipatri hebat dalam menggerakkan sebuah ukhwah Islamiah. Pragmatik dalam dunia persahabatan tidak akan melahirkan keizzahan, bahkan dilihat seperti tidak berprinsip dan tidak berguna. Sama ada mudah diperguna atau ditinggalkan, boleh jadi ketinggalan dalam keadaan tidak sedar.

KEFAHAMAN PEJUANG AGAMA TERHADAP UKHWAH

Mereka yang terlibat dalam medan dakwah selalu memahami nilai ukhwah dengan singkat. Adakah dengan selalu berjumpa, program gigit epal sebulan sekali, berbasikal di taman tasik sudah cukup diiktiraf sebagai ukhwah Islamiah?

Sahabat seperjuangan yang sudah hanyut tidak ditegur kerana kenangan mengigit epal. Sahabat sudah membawa fikrah liberal dipandang ringan kerana pernah makan setalam. Sangka buruk menyinggah awal sebelum bertabayyun, sedangkan hidup dalam medan yang sama. Beginikah nilai ukhwah yang diteorikan dalam kalam,
mana ukhwah antum?” semasa menjalankan modul ukhwah.

Begitu juga wujud pemikiran berada dalam perjuangan itu atas matlamat ukhwah semata. Menilai kepimpinan organisasi di atas ketokohan menjalankan program ukhwah sahaja. Memilih pemimpin kerana faktor ke’friendly’an berbanding ketegasan menjaga prinsip.

Ayat al-Quran di awal artikel ini telah menggariskan matlamat berukhwah untuk apa? Semestinya untuk,

وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا

Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya),

Pengembaraan Hijrah dua bersahabat yang agung tadi adalah kerana ingin meninggikan kalimah Allah.

Kenangan memasak bersama semasa program sememangnya manis. Tetapi bukanlah kayu ukur yang sebenar sekiranya si tukang kacau kuali itu seorang da’e berfahaman liberal dan pemotong sayur seorang yang culas beralasan dalam program tarbiah.

UKHWAH SLOGAN YANG DICABULI DI MALAYSIA

Kita tidak nafikan wujud kumpulan dakwah yang meletakkan moto Ukhwah sebagai syiar organisasi. Namun kebanyakan kerja buatnya menyimpang. Berimankan matlamat menghalalkan cara lantas mengotori output dan produk tarbiah mereka.

Kumpulan ini sehasta demi sehasta telah mengikut banyak pembawakan liberal. Banyak tokoh mereka sudah mengeluarkan kenyataan yang amat bermudah-mudah dengan Islam. Tidak dinafikan, mereka juga menyokong parti dan tokoh politik Islam modenis atau progresif dikelaskan melalui kertas kerja ‘Civil Democratic Islam’ oleh Rand Cooperation.

Aktiviti menyusup sambil merosakkan dan ‘bermain boneka’ menjadi amalan terkutuk mereka sehingga ke hari ini. Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka. Semoga Allah mengekalkan kefahaman kepada kita.

Kesimpulannya, fahami dan amalkanlah ukhwah seabsahnya. Jangan gimikkan ukhwah dengan tafsiran yang rapuh, apatah lagi mencabuli istilah al-Quran yang hebat ini. Wallahulam.

Mohamad Zaini Bin Abdul Aziz
21 September 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *