HIFZ AL-DIN ADALAH MENJAGA SEMUA AGAMA? (BAHAGIAN 2)

Bacalah dengan hati yang tenang,

Perkara yang menarik perhatian perbincangan ramai asatizah apabila Dr. M membawa tafsiran baharu kepada maksud hifz al-din. Katanya, ia bermaksud menjaga “semua” agama dan bukan menjaga Islam sahaja, maka itulah sisi rahmatan lil ‘alamin. Dalam posting FB beliau selepas itu, beliau ada menjustifikasikan kenyataannya itu terutama maksud penggunaan alif lam (ال) dalam Bahasa Arab.

Berikut ialah tulisan beliau: “Ada yang berhujahkan pengunaan ال sebagai makna ditakrifkan khusus perkataan Ad Din الدين dengan makna hanya agama Islam. Bagaimana pula ال dalam Al Mal, Al Nafs, Al Aql dan Al I’rd, adakah kesemua itu hanya untuk menjaga harta orang Islam, akal orang Islam ataukah hanya jiwa orang Islam kerana maslahat paling atas hanya untuk jaga agama Islam sahaja? Ini pastinya tidak konsisten dengan prinsip Insaniah yang dijamin oleh Islam.” (Mujahid Yusof Rawa, 14 Julai 2018).

Sesiapa yang belajar ilmu Bahasa Arab, pasti tahu alif lam (ال) ada peranan tertentu dalam sesuatu perkataan. Ia bukan saja-saja kita nak guna atau tidak. Perkataan yang ada alif lam (ال) boleh membawa maksud lain berbanding perkataan yang sama yang tidak mempunyai alif lam (ال). Secara ringkasnya peranan alif lam (ال) dalam bahasa arab boleh dikategorikan kepada:

  1. Alif lam (ال) li al-‘ahd (menjelaskan masa).
  2. Alif lam (ال) li al-jins (menjelaskan hakikat sesuatu).
  3. Alif lam (ال) li al-istighraq (mencangkupi semua perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut).

(Nota: Pembahagian alif lam (ال) berbeza antara pakar bahasa arab, ada yang mengkategorikan 2 bahagian dan ada yang mengkategorikannya kepada 3 bahagian).

Bagaimanakah dan siapakah yang akan menentukan maksud sebenar alif lam (ال) yang digunakan oleh seseorang penutur atau penulis. Pada asasnya, maksud alif lam (ال) boleh difahami sama ada melalui penjelasan oleh si penutur/penulis atau melalui konteks ayat yang digunakan. Jadi penggunaan alif lam (ال) agak unik kerana ia boleh berubah peranan atau maksudnya dan ia tidak statik dalam semua keadaan dengan satu maksud sahaja.

Apabila Dr. M cuba menjustifikasikan maksud hifz al-din ialah menjaga semua agama dengan beralasankan atau berhujahkan penggunaan alif lam (ال) dalam al-‘aql, al-nasal, al-nafs dan al-mal, jelas beliau terkhilaf dalam memahami fungsi alif lam (ال).

Sebagai contoh, apabila Allah berfirman dalam al-Quran: وأقيموا الصلاة dalam surah al-Baqarah ayat 43, adakah difahami bahawa Allah memerintahkan umat Islam untuk menunaikan semua solat atau sembahyang semua agama? Jika digunakan justifikasi Dr. M, maka kita sepatutnya berkata ya. Kerana apa? Kerana adanya alim lam (ال) dalam perkataan الصلاة. Namun hakikatnya bukan itu maksudnya. Solat dalam arahan tersebut ialah solat orang Islam dan bukannya semua jenis solat dalam semua agama yang ada di dunia ini.

Alif lam (ال) dalam ayat 43 surah al-Baqarah itu bukan bermaksud alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua jenis solat agama yang ada. Kalau kita beranggapan bahawa alif lam (ال) dalam ayat tersebut adalah alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua solat fardhu, ia masih boleh diterima. Ini yang dijelaskan oleh imam al-Baghawi dalam tafsirnya tentang ayat tersebut:

وأقيموا الصلاة يعني الصلوات الخمس بمواقيتها وحدودها

Apabila Dr. M mentafsirkan hifz al-din dengan maksud menjaga “semua” agama kerana adanya alif lam (ال) dalam perkataan “al-din”, maka ia amat janggal. Alif lam (ال) dalam perkataan hifz al-din memang boleh ditafsirkan dengan alif lam (ال) li al-istighraq. Dalam perbahasan lafaz al-‘am ilmu Usul Fiqh, antara indikator asas sesuatu lafaz itu bermaksud ‘am (mencangkupi SEMUA perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut) ialah lafaz mufrad (singular) yang ada alif lam (ال). Contohnya surah al-‘Asr ayat 2 (إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ). Ayat ini bermaksud SEMUA manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal salih. Namun tidak semua perkataan mufrad yang ada alif lam (ال) akan bermaksud ‘am (rujuk perbahasan ‘am dan khas dalam ilmu usul fiqh untuk maklumat lanjut).

Kenapa saya kata kata tafsiran Dr. M janggal. Ini kerana dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din bermaksud menjaga “agama Islam” dan bukannya “semua agama”. Dr. M perlu bezakan antara perbahasan maqasid syariah dan perlembagaan persekutuan Malaysia. Perbahasan maqasid syariah perlu dibincangkan mengikut displin ilmu syariah dan jika dilihat nas-nas Syarak, tafsiran al-din bermaksud agama Islam dan bukannya semua agama. Allah berfirman dalam surah Al Imran ayat 19 (إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ). Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata:

وقوله : ( إن الدين عند الله الإسلام ) إخبار من الله تعالى بأنه لا دين عنده يقبله من أحد سوى الإسلام ، وهو اتباع الرسل فيما بعثهم الله به في كل حين ، حتى ختموا بمحمد صلى الله عليه وسلم ، الذي سد جميع الطرق إليه إلا من جهة محمد صلى الله عليه وسلم ، فمن لقي الله بعد بعثته محمدا صلى الله عليه وسلم بدين على غير شريعته ، فليس بمتقبل

Jika hifz al-din dibincangkan dari kaca mata perlembagaan persekutuan, mungkin bolehlah dikatakan bahawa fungsi kerajaan ialah menjaga “semua” agama yang ada di negara ini. Perlembagaan Persekutuan (Kebebasan Beragama) Perkara 11 memperuntukkan:

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Namun, walaupun perbahasan maqasid syariah mengatakan bahawa hifz al-din ialah menjaga agama Islam, tidak terdapat satu nas syara’ pun yang mengatakan bahawa agama lain perlu dihancurkan, diperangi dan tidak dihormati. Kalau Dr. M inginkan penganut agama lain dihormati hak mereka dan sebagainya, ia memang telah ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW sejak Islam diturunkan pun. Banyak nas al-Qur’an dan Hadis yang meminta umat Islam menghormati dan memberikan hak termasuk kepada orang bukan Islam. Antaranya firman Allah surah al-An’am ayat 108 (وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ). Ini adalah perbahasan lain bukannya perbahasan maqasid syariah walaupun tidak dinafikan bahawa ia ada kaitan dengannya.

Kesimpulannya, penggunaan alif lam (ال) memang mempunyai pelbagai maksud dalam konteks yang berbeza. Namun dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din adalah penjagaan agama Islam dan bukannya semua agama. Penganut agama lain boleh meminta pakar agama mereka agar membuat maqasid agama mereka sendiri. Peranan kita sebagai kerajaan untuk menjaga semua rakyat berbilang agama adalah isu dan perbahasan yang lain.

 

Dr. Irwan Subri

Tinggalkan komen anda