HEDONISME YANG MEROSAKKAN AQIDAH

Oleh: Asyraf Hanif
7 Mei 2020

Aqidah merupakan satu ikatan keyakinan dan kepercayaan di antara seseorang makhluk dengan Allah SWT. Ikatan ini yang bermula dengan lafaz syahadah akan terus kukuh daripada terurai kecuali dengan perbuatan mensyirikkan Allah SWT.

Tuhan Yang Banyak

Allah SWT telah menggariskan konsep tauhid hanya kepada-Nya dengan memberikan perumpamaan seorang hamba yang dimiliki oleh tuannya.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).” (Surah Az-Zumar, Ayat 29)

Cukup jelas perumpamaan Allah SWT yang menyeru kita berfikir. Sekiranya dalam diri kita mempunyai pelbagai sembahan, sudah pasti akan wujud perasaan gelisah dalam diri kita kerana pasti akan wujud pertembungan di antara setiap sembahan yang kita sembah itu.

Sepertimana seorang hamba yang dimiliki ramai tuan, pasti banyak berlaku pertelingkahan antara tuan-tuannya dan akhir sekali hamba menjadi gelisah dan semakin pening dalam mentaati perintah tuan-tuan yang memilikinya.

Nafsu Sebagai Tuhan

Hedonisme merupakan penyakit yang mengancam aqidah anak muda pada hari ini. Hedonisme yang sentiasa memuaskan nafsu anak muda sentiasa mendapat tempat dalam penganjuran program dan sebagainya.

Implikasi daripada hedonisme membawa anak muda semakin jauh dengan kenikmatan islam yang membebaskan manusia daripada kesempitan hidup kepada keluasan akhirat.

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Surah Al-Jathiya, Ayat 23)

Hiburan Yang Menuju Kesesatan

Isu upacara kematian penyanyi Kpop di Malaysia sebelum ini dan kini tersebar pula berkenaan kumpulan aplikasi telegram “Agama BTS Group“merupakan satu perkara yang cukup membimbangkan.

Sekiranya kita kembali kepada dasarnya, sebenarnya ia bermula daripada hiburan yang melampau di mana ia merupakan salah satu cabang daripada penyakit hedonisme. Kerana terlalu leka dengan hiburan, akhirnya terjebak kepada permasalahan aqidah.

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman, Ayat 6)

Larangan Menyerupai Agama Lain

Isu yang melibatkan penggemar-penggemar Kpop juga menyaksikan bagaimana anak muda yang taksub dengan penyanyi-penyayi tersebut sanggup menggadaikan aqidah yang dipegang mereka.

Perkara ini adalah kerana manusia itu sendiri telahpun meletakkan nilai aqidah lebih rendah daripada akal menyebabkan tindakan yang diambil mereka tidak bertepatan dengan pedoman wahyu.

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا لَا تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى فَإِنَّ تَسْلِيمَ الْيَهُودِ الْإِشَارَةُ بِالْأَصَابِعِ وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الْإِشَارَةُ بِالْأَكُفِّ

”Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami, janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.”

Jelas daripada hadis ini Rasulullah SAW melarang untuk kita meniru gaya agama lain sehingga baginda tidak mengaku mereka yang terlibat ini termasuk dalam golongannya.

Ambillah Islam Secara Syumul

Berikutan isu yang berlaku bukanlah kerana tiadanya iman, tetapi adalah kerana islam hanya tinggal sekadar nama tanpa penghayatan terhadapnya dengan baik.

Pokok daripada permasalahan yang berlaku adalah kerana sikap pengambilan Islam yang tidak menyeluruh dari segenap aspek dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Bagi mengatasi isu ini daripada terus berulang, hendaklah kita mengambil Islam itu secara menyeluruh dan bukan hanya memilih Islam sekadar apa yang kita suka.

Sepertimana tercatat dalam al-Quran tentang amaran terhadap Bani Israil yang mengambil agama Allah SWT sekadar yang bertepatan dengan selera mereka.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah, Ayat 208)

أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surahh Al-Baqarah, Ayat 85)

Disertakan rujukan keputusan muzakarah fatwa kebangsaan:

https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf&ved=0ahUKEwiikZrek6TYAhWGW5QKHT7JDE0QFggnMAA&usg=AOvVaw2-cMTn4MNQBdLaPDwzVn9-

Tinggalkan komen anda