HADIS GEOESKATOLOGI (SIRI 3) – BAITULMAQDIS

Selepas Mekah dan Madinah, Baitulmaqdis adalah tanah suci ketiga umat Islam. Malangnya kota ini agak tersisih dari umat Islam atas faktor geografi dan politik. Kebiasaan orang hanya ingat dua tanah haram, tetapi sebenarnya tiga.

Dalam bahasa ibrani, Baitulmaqdis disebut sebagai Jurusalem. Arab lebuh mengenali sebagai al-Quds. Walaupun sempadan Baitulmaqdis telah dilakar pada zaman moden ini, namun terdapat khilaf mengenai kedudukan sebenar tanah Baitulmaqdis. Ada ulama mengatakan seluruh Syam adalah BaitulMaqdis, malah ada yang berpandangan luasnya memanjang dari Sungai Nil ke Sungai Furat. Sama sebagaimana kepercayaan Yahudi (The Holy Land).

Baitulmaqdis dimuliakan dengan Masjid al-Aqsa, destinasi Israk Rasulullah SAW dari Masjidil Haram sebelum dimikrajkan ke Sidratul Muntaha. Kota Baitulmaqdis adalah milik umat Islam bermula seruan hijrah Nabi Ibrahim AS. Pernah menjadi pusat pemerintahan dunia di zaman Nabi Daud dan Sulaiman AS. Dahulu menjadi sebahagian dari wilayah Syam. Tetapi selepas era kolonial, Syam telah dipecahkan dan Baitulmaqdis menjadi sebahagian dari tanah Palestin dan pengaruh Jordan.

Umat Muhammad pertama kali membuka Kota Baitulmaqdis dari Rom pada tahun ke 16 hijrah di bawah khalifah Umar al-Khattab. Ia menjadi tanda akhir zaman sebagaimana hadis:

اعْدُدْ سِتًّا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ: مَوْتِي، ثُمَّ فَتْحُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، ثُمَّ مُوتَانٌ يَأْخُذُ فِيكُمْ كَقُعَاصِ الْغَنَمِ، ثُمَّ اسْتِفَاضَةُ الْمَالِ حَتَّى يُعْطَى الرَّجُلُ مِئَةَ دِينَارٍ فَيَظَلُّ سَاخِطًا، ثُمَّ فِتْنَةٌ لَا يَبْقَى بَيْتٌ مِنَ الْعَرَبِ إِلَّا دَخَلَتْهُ، ثُمَّ هُدْنَةٌ تَكُونُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ بَنِي الْأَصْفَرِ فَيَغْدِرُونَ، فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ غَايَةً، تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفً

“Hitung enam perkara sebelum berlaku kiamat; (1)kewafatanku (2) pembukaan Baitulmaqdis (3) kematian akibat wabak (4) harta melimpah ruah sehingga 100 dinar tidak ada nilai di sisi seseorang (5)berleluasa fitnah sehingga masuk ke setiap rumah orang arab (6) perjanjian damai antara kamu dan Bani Asfar, malangnya mereka khianat lalu mereka menyerangmu dibawah 8 panji. Setiap panji 12000 tentera.” [HR Bukharj]

Kota ini tidak pernah tenang dari konflik apabila beberapa kali bertukar tampuk kekuasaan. Pernah ditakluk semula oleh Rom melalui Perang Salib, kemudian dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Ditawan kembali oleh Tatar, dan dibebaskan oleh Saifuddin Qutuz dari kerajaan Mamalik. Sehingga hari ini, Baitulmaqdis berada di bawah penjajahan rejim zionis dan dalam usaha menjadikan wilayah tersebut milik mutlak negara haram Israel.

Baitulmaqdis bakal menjadi kota yang pesat. Ini dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ

“Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlaku perang besar. Berlakunya perang besar adalah tanda pembukaan kota Costantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal.” [HR Abu Daud]

Walaubagaimanapun, ia tidaklah bermaksud Baitulmaqdis pesat di tangan Islam. Boleh jadi kepesatan Baitulmaqdis terjadi di bawah kekuasaan zionis sekarang. Ini kerana mereka dalam usaha menjadikan kota tersebut sebagai ibukota Israel, dan bercita-cita besar memusatkan kuasa dunia di sana. Hari ini, US secara brutalnya telah menempatkan kedutaan mereka di sana walaupun ditentang majoriti masyarakat dunia.

Pertempuran Islam dengan Yahudi terutama di Baitulmaqdis di akhir zaman bakal berlanjutan hinggalah kemunculan Imam Mahdi dan Dajjal. Sabda Rasulullah SAW:

إنه لم تكن فتنة في الأرض منذ ذرأ الله آدم أعظم من فتنة الدجال، فقالت أم شريك: يا رسول الله فأين العرب يومئذ؟ قال (ص): العرب يومئذ قليل وجلهم في بيت المقدس وإمامهم رجل صالح

“Tiadalah fitnah atas muka bumi ini yang lebih besar sejak Adam diturunkan ke bumi ini selain fitnah Dajjal. Umm Syarik bertanya wahai Rasulullah dimanakah kaum arab ketika itu? Sabda Rasulullah, bilangan mereka pada waktu itu sedikit. Tokoh-tokoh mereka di Baitulmaqdis dan pemimpin mereka merupakan lelaki yang soleh (al-Mahdi).” [HR Ibn Majah]

Pejuang di Baitulmaqdis adalah pejuang yang sentiasa berada di atas jalan kebenaran menurut hadis Nabi SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan sentiasa wujud dikalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis.” [HR Ahmad]

Baitulmaqdis bakal menjadi destinasi terakhir Dajjal, dan akan dibunuh di sana. Sabda Rasulullah SAW:

يأتي جبل إيلياء فيحاصِر عصابة من المسلمين، فيقول لهم الَّذين عليْهم: ما تنظرون بهذا الطاغية أن تُقاتلوه حتى تلحقوا بالله أو يفتح لكم، فيأتمرون أن يقاتلوه إذا أصبحوا، فيصبحون ومعهم عيسى ابن مريم، فيقتل الدجَّال ويهزم أصحابه، حتَّى إنَّ الشَّجر والحجر والمدر يقول: يا مؤمن، هذا يهوديّ عندي فاقتله

“Dajjal akan mendatangi bukit BaitulMaqdis lalu mengepung satu pasukan Islam. Maka berkata salah seorang dari mereka, apa pendapat kalian jika kita memerangi Dajjal sahaja sehingga kita mati atau diberikan kemenangan. Maka mereka merancang untuk melancarkan serangan di waktu pagi. Pada pagi itu turunlah Nabi Isa AS lalu membunuh Dajjal dan mengalahkan tenteranya. Sehingga pokok, batu dan dinding berkata wahai orang beriman! Di belakangku terdapat orang Yahudi maka bunuhlah mereka.” [HR Hakim]

Wallahualam.

 

Alang Ibn Shukrimun

Tinggalkan komen anda