HADIS GEOESKATOLOGI (SIRI 21) – IRAQ

Iraq merupakan satu kawasan yang berada di bawah kekuasaan Parsi. Dahulunya dikenali sebagai rantau Mesopotamia bermaksud tanah antara sungai, mengambil nama sempena kedudukannya di antara sungai Furat dan Dajlah. Mesopotamia atau Iraq ini adalah pusat perkembangan politik dunia paling awal dalam sejarah bermula empayar Sumerian, Akkadian, Assyrian, Babylonian sehinggalah empayar Parsi.

Iraq merupakan tempat asal Nabi Ibrahim AS, bapa segala Nabi. Baginda hidup di era Babylon, atau lebih tepatnya zaman maharaja
Nebuchadnezzar II (Namrud). Beliau terkenal sebagai arkitek ulung yang banyak memperkenalkan formula-formula penting kejuruteraan dan masih digunpakai ke hari ini. Namrud bercita-cita mahu menegakkan satu sistem pemerintahan dunia yang dikenali sebagai One World Government yang mirip kepada idea globalisasi atau New World Order. Atas kehebatan beliau, pertubuhan Freemason menjadikan Namrud tokoh ikonik.

Semasa kedatangan Islam, Iraq adalah sebahagian wilayah empayar Sasanid Parsi. Dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Di sana beliau membuka dua bandar Islam baru iaitu Kufah dan Basrah. Di zaman Abbasiyah, mereka menjadikan Baghdad sebagai pusat pemerintahan khilafah Islam. Lokasi Iraq hari ini adalah di sempadan Iran daripada timur, Bahrain di tenggara, Arab Saudi di timur, Jordan di barat daya, Syria di barat dan Turki di Utara.

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW tentang Iraq. Antaranya ketika Rasulullah sedang berdoa dengan sabdanya:

اللهمَّ بارِكْ لَنا في مَكَّتِنا ، اللهمَّ بارِكْ لَنا في مَدِينَتِنا ، اللهمَّ بارِكْ لَنا في شَامِنا ، و بارِكْ لَنا في صاعِنا ، و بارِكْ لَنا في مُدِّنا . فقال رجلٌ : يا رسولَ اللهِ ! و في عراقنا ، فأعرض عنهُ ، فرددها ثَلاثًا ، كل ذلكَ يقولُ الرجلُ : و في عِرَاقِنا فَيُعْرِضُ عنهُ ، فقال : بِها الزَّلازِلُ و الفِتَنُ ، و فيها يَطْلُعُ قَرْنُ الشيطانِ

“Ya Allah berkatilah Mekah kami, Ya Allah berkatilah Madinah kami, Ya Allah berkatilah Syam kami, Ya Allah berkatilah Yaman kami, Ya Allah berkatilah cupak kami, Ya Allah berkatilah gantang kami. Seorang sahabat berkata, Ya Rasulullah, bagaimana dengan Iraq kami? Nabi tidak melayan dan terus mengulangi doa sebanyak tiga kali, lalu bersabda: disana terdapat gempa dan fitnah. Di sana muncul tanduk/era syaitan.” [HR Thabrani]

Hadis ini menyamai dengan hadis tentang Najd sebagai tanduk syaitan. Bahkan ulama Arab Saudi menyatakan Najd sebenar bukan Najd yang dikenali dengan namanya, tetapi ditafsirkan secara bahasa iaitu setiap tempat tinggi termasuk Iraq. Pendapat ini disokong dengan sejarah Basrah dan Kufah pernah menjadi tempat bermula gerakan fitnah Abdullah bin Saba’ ke atas Saidina Uthman, yang membawa kepada pemhunuhannya di tangan orang Islam sendiri. Di Iraq turut berlaku tragedi Karbala’ yang menyaksikan kepala Saidina Hussain dipenggal. Selain itu, mereka turut mengaitkan tanduk Syaitan dengan Presiden Republik Iraq, Saddam Hussein yang terkenal dengan kebrutalannya dalam sejarah moden.

Walaubagaimanapun, banyak juga hadis yang menyatakan tentang Iraq. Antaranya akan muncul pasukan-pasukan tentera Islam di sana, sebaris dengan tentera Syam, Yaman dan Mesir sebagaimana hadis yang dinyatakan pada siri Yaman.

Tentera ini akan keluar bagi memberi baiah kepada Imam Mahdi bersama pari wali abdal dari Syam setelah melihat peristiwa tentera Sufyani dari Syam ditelan bumi di Baida’, sebagaimana hadis yang dinyatakan pada siri Mekah.

Seperti Syria, terlalu ramai kumpulan tentera di Iraq hari ini. Tentera Kurdi ada dua atau tiga pasukan. Tentera IS, tentera al-Qaeda, tentera Iran, tentera arab di Fallujah juga terlibat. Masing-masing berbantaian sesama sendiri. Menjadi alat kepada kuasa asing yang sedang berebut pengaruh di negara yang kaya dengan ’emas hitam’ itu. Seolah-olah menepati hadis Nabi SAW berkenaan pertempuran di Sungai Furat yang berpunca dari perebutan emas. 100 yang berperang, 99 mati. (Rujuk siri Sungai Furat).

Sebaiknya kita tidak terlibat dalam pertempuran di sana. Terlalu banyak kekeliruan. Siapa yang membiaya, siapa yang mengeluarkan arahan, siapa yang diserang, siapa untung dan siapa rugi. Boleh terjadi fenomena yang disebutkan oleh Nabi SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ ، وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ ، فَقِيلَ : كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ ؟ قَالَ : الْهَرْجُ ، الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ

“Demi diriku yang berada digenggamanNya, tidak akan berakhir dunia sehinggalah tiba satu masa pembunuh mengapa dia membunuh, dan yang dibunuh mengapa dia dibunuh. Ditanya: Bagaimana boleh berlaku demikian? Jawab baginda: Perang. Pembunuh dan yang terbunuh akan masuk neraka!” [HR Muslim]

Hadis ini dihuraikan oleh satu lagi hadis berikut:

إذا التقى المسلمان بسيفيهما، فالقاتل والمقتول في النار. فقيل: يا رسول الله هذا القاتل، فما بال المقتول؟! قال: إنه كان حريصاً على قتل صاحبه.

“Sekiranya bertemu dua orang Islam dengan pedang masing-masing, maka pembunuh dan yang terbunuh semua akan masuk neraka. Sahabat bertanya Ya Rasulullah, pembunuh ya, tetapi kenapa yang terbunuh juga ke neraka? Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya kerana dia berusaha untuk membunuh saudaranya.” [HR Bukhari & Muslim]

Wallahualam.

 

Alang Ibn Shukrimun

Tinggalkan komen anda