GELORA POP ISLAMISME

Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad
9 September 2020

Pop Islamisme adalah antara topik fenomena budaya beragama yang dikesan muncul dari negara-negara Barat seawal kira-kira 20 tahun yang lalu. Ia merupakan reaksi masyarakat muslim di sana yang menjadi mangsa diskriminasi akibat kempen Islamofobia.

Lalu dengan tekanan yang sedia ada, mereka cuba mengolah imej beragama dengan menerima elemen-elemen budaya pop agar mereka dapat diterima oleh masyarakat setempat. Demikian senario Islam di beberapa negara Barat seawal tahun 2000.

Sejak Pertengahan 2000

Manakala di Malaysia, Pop Islamisme menjadi sebahagian dari eksperimen ‘strategi’ politik bagi kumpulan Islam agar mereka dilihat sebati dengan arus budaya semasa anak muda. Evolusi yang berlangsung ini menyaksikan perubahan fokus dari wacana ideologi perjuangan yang ingin dibawa, berpindah kepada mengikuti arus budaya pop semasa.

Ada kalanya ia dilihat menumpang populariti pihak lain untuk meraih sokongan orang ramai. Adakalanya pula ia dilihat tidak fokus dalam mengketengahkan isu rakyat dan umat secara serius. Bahkan terkadang ia kelihatan provokatif kerana tidak sesuai dengan suasana setempat yang umatnya sudah sedia diterapkan dengan nilai-nilai Islam, tidak seperti di negara-negara Barat.

Sekalipun pendukung Pop Islamisme cuba menafikan wujudnya kecenderungan hedonisme dalam pendekatan mereka, namun reaksi-reaksi mereka ketika diminta penjelasan jelas membenarkan kebimbangan tersebut. Reaksi-reaksi defensif seperti mengejek dan tergesa-gesa meremehkan nasihat hakikatnya adalah antara gejala bawaan hedonisme.

Bukan Sekadar Soal Hukum

Apabila dikatakan bahawa sekarang kita berdepan dengan krisis pemikiran, bermakna permasalahan-permasalahan semasa perlu dibahas dari sudut ideologi terlebih dahulu. Realitinya ramai yang tidak sabar untuk meneliti sudut pandang ini.

Setiap fenomena pasti mempunyai akar pemikirannya yang tersendiri. Cukup silap jika kita terus membicarakan soal hukum feqh terlebih dahulu, kerana berapa banyak permasalahan budaya dan gaya hidup masyarakat yang akhir sekali merosakkan itu bermula dari perkara-perkara yang hukum asalnya kelihatan harus.

Bahkan bukan semua perkara harus itu wajar dibuat. Di sinilah kita temui pedoman dari sabda Nabi, bahawa perkara-perkara kabur yang boleh mendatangkan implikasi buruk itu, hanya sedikit orang yang mencermatinya.

Punca Perbezaan Cara Pandang

Setelah merenung panjang akan sejarah polemik ‘uslub’ dalam membawa halatuju da’wah, bolehlah kita rumuskan bahawa ia berpunca dari cara berfikir yang berbeza. Kita memahami bahawa da’wah itu berorientasikan pendidikan.

Ia mesti membina akal budi, menaiktaraf tahap kefahaman dan menginspirasikan umat samada dari sudut akhlak, pemikiran dan perilaku moral. Ia dinamik. Pada masa yang sama da’wah sifatnya mandiri dan perlu dibawa dengan ilmu agar Islam yang dibawa itu boleh diikuti dengan kesedaran.

Sementara golongan yang mendukung pendekatan Pop Islamisme pula cuba mengqiaskan kononnya da’wah itu ibarat perniagaan. Sememangnya tabiat berniaga mempunyai kecenderungan ke arah sikap pragmatik.

Bahkan terkadang ia dirasakan sesuai dengan cara ‘bad publicity‘, asalkan dapat menarik perhatian orang ramai. Untuk melangsungkan idea seperti itu, cukup dengan gaya dan semangat. Ternyata ia memang kelihatan meriah, namun tanpa sedar lupa akan tujuan asal da’wah.

Menginsafi Realiti Umat

Sebenarnya jika kita selaku penda’wah benar-benar bergaul dengan masyarakat awam, kita akan dapati mereka sangat memerlukan panduan. Bergaul yang dimaksudkan di sini bukan dengan berprogram, atau mengenakan baju entiti kita. Tidak.

Sebaliknya secara ‘natural‘, tidak perlu ‘selfie‘ atau perilaku-perilaku gopoh yang hanya akan menggambarkan siapa yang dijadikan sebagai objek. Umat di luar sana tidak meminta kita jadi macam mereka.

Kita pun tidak perlu memandang rendah terhadap daya penilaian mereka dengan mencuba-cuba gaya yang kelihatan ‘cool‘, kononnya sebagai helah da’wah. Mereka ada otak untuk membezakan antara interaksi yang jujur dan interaksi yang palsu dibuat-buat.

Cubalah keluar sejenak dari kelompok sendiri, banyak realiti kehidupan yang boleh kita pelajari. Santai bukan maksudnya hanyut.

Tinggalkan komen anda