FUNGSI WANG DALAM EKOSISTEM POLITIK DEMOKRASI MODEN

Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad
14 Ogos 2020

(Oligarki – Kartel Politik – Klientelisme)

Demokrasi merupakan sistem yang kelihatan ideal di atas kertas. Namun ia mempunyai titik-titik buta yang boleh dieksploit, agar kesamarataan hak berpartisipasi dalam politik boleh berubah lalu dikuasai oleh kelompok-kelompok elit.

Perubahan praktis tersebut banyak dipengaruhi oleh fungsi wang yang menjadi dorongan utama dalam pertimbangan-pertimbangan politik. Topik seperti ini amat mustahak, supaya kita dapat mendalami isu seumpama rasuah dan sikap pragmatik parti-parti politik.

Titik Buta Dalam Praktis Demokrasi

Sistem demokrasi menawarkan kepada rakyat bahawa semuanya memiliki kuasa yang setara, iaitu seorang satu undi. Seharusnya dari sistem tersebut, dapat mengurangkan jurang monopoli kekayaan dan kekuasaan dalam segenap lapisan masyarakat.

Namun aspirasi kesamarataan itu tiba-tiba hanya semakin melahirkan golongan-golongan elit yang kaya dan kebal. Mereka semakin kaya sementara rakyat pula semakin susah.

Kempen-kempen demi kepentingan rakyat hanya kuat bergema ketika hendak meraih undi dan sokongan. Namun selepas itu, kelompok yang mengaut keuntungan melalui pengambilalihan sumber-sumber ekonomi yang strategik hanya diraih oleh golongan-golongan elit.

Apatah lagi yang membingungkan adalah sampai ke satu tahap, pilihanraya seolah-olah semakin kehilangan fungsinya yang sebenar. Hal ini kerana setelah berakhirnya sesi pengundian, kelompok-kelompok politik masih boleh berunding dan mengubah-ubah pakatan politik masing-masing.

Kuasa Wang

Realitinya di dalam praktis demokrasi, terdapat persaingan antara kuasa undi dan kuasa wang. Secara rambang, kita melihat kononnya semua orang memiliki hak yang sama rata dalam menentukan nasib politik negara. Namun hakikatnya, terdapat perbezaan antara kuasa undi yang terlihat secara zahir dan kuasa wang yang beroperasi di sebalik tabir.

Penulis buku Oligarki, Dr. Jeffrey A. Winters menjelaskan bahawa wang adalah kuasa yang amat fleksibel di dalam politik. Ia laris digunakan untuk setiap kelompok dan dalam semua keadaan. Dalam erti kata lain, yang menjadi pendorong sebenar di sebalik corak politik adalah kekuatan wang yang dimiliki oleh golongan-golongan elit.

Oligarki

Jika kita melihat pengertian lama oligarki menurut Ensiklopedia DBP, ia merujuk kepada sebarang jenis kerajaan yang kuasanya dipegang oleh beberapa orang sahaja. Istilah oligarki dahulunya dilihat sebagai pemerintahan segelintir orang yang mementingkan diri sendiri.

Walau bagaimanapun sesetengah ahli sains politik menggunakan istilah ini bagi merujuk kepada semua bentuk organisasi politik dan sosial, termasuk negara serta parti politik. Namun hari ini, cara oligarki beroperasi telah melalui evolusi yang kelihatan lebih terlibat secara terbuka dan langsung dalam lapangan politik rakyat.

Bagi menjelaskan hal ini, Dr. Roberto Robet dari Universiti Negeri Jakarta merumuskan bahawa cara oligarki itu beroperasi adalah:

• Sistem hubungan kekuasaan yang memungkinkan penaklukan kekayaan dan kekuasaan serta perlindungan kolektif terhadap dua sumber daya tersebut.

• Sistem kekuasaan yang berpaksikan ketidaksetaraan material, apabila golongan elit yang sangat kaya menjadikan politik sebagai cara untuk melindungi dan memperbanyakkan keuntungan material.

• Kelompok oligarki menggunakan politik dengan bermodalkan kekayaannya untuk meraih peluang kekayaan yang keseterusnya.

Seorang Oligarki, Beribu Undi.

Dr. Jeffrey A. Winters menjelaskan hakikatnya kelompok oligarki memiliki pengaruh suara yang lebih berkesan dalam sistem demokrasi. Sekalipun kita masih lagi mempercayai sifir praktis demokasi iaitu seorang satu undi, tetapi hakikatnya siapa sebenarnya yang mengolah haluan arus undi-undi rakyat bawahan?

Kelebihan suara demokasi yang dimiliki oleh oligarki, boleh kita fahami dengan contoh:

• Oligarki yang kaya raya boleh mengupah jentera-jentera media untuk membentuk naratif politik yang kelak akan menguntungkan kepentingan urusniaga mereka. Hal ini termasuklah dengan menyemarakkan isu dan menjatuhkan reputasi pesaing yang mengganggu kepentingan mereka dalam segmen politik.

• Oligarki yang kaya raya boleh membiaya parti-parti politik atau kelompok-kelompok elit dalam sesebuah parti politik untuk melangsungkan kepentingan mereka. Ia berlaku samada secara berterus terang atau diolah dengan dorongan yang kelihatan semulajadi.

• Ada juga parti politik yang sudah menjana kekayaan luar biasa dalam tempoh masa yang panjang, mereka membiayai kelompok-kelompok tertentu di dalam parti politik lain pula untuk melangsungkan misi yang seiringan.

• Bahkan terdapat juga oligarki yang pada masa sama, dia juga adalah politikus. Dengan kelebihan tersebut, orang seperti itu dilihat amat mudah membuat parti politik baharu sesuai dengan agenda kepentingannya kerana memilik modal wang yang banyak.

Dengan mengamati fenomena sedemikian, maka tidak hairanlah yang membanjiri retorik-retorik politik banyak berkisar sekitar isu-isu material. Lantas rakyat dihidangkan dengan skandal-skandal korupsi yang hakikatnya, ia hanyalah merupakan persaingan antara sesama oligarki yang merebut peluang kekayaan melalui proksi politik masing-masing.

Justeru selalunya ketika kempen politik sedang berlangsung, isu-isu rakyat akan diketengahkan untuk membentuk arus tertentu. Namun seusai pilihan raya, rakyat tidaklah menikmati apa yang diwar-warkan. Sebaliknya yang diutamakan dan rancak berjalan adalah pengambilalihan kekayaan negara atau negeri dalam kalangan elit.

Kartel Politik

Untuk mewajarkan amalan lobi-melobi yang membabitkan wang oligarki seperti yang telah dijelaskan di atas, maka muncullah kelompok yang dikenali sebagai kartel-kartel politik. Berlaku suatu kondisi apabila parti-parti politik mengesampingkan perbezaan ideologi dan konflik mereka yang dahulunya pernah memangsakan ramai rakyat bawahan, bagi membentuk gabungan kerjasama politik yang serba ‘fleksibel’.

Ia berlangsung dengan perundingan-perundingan antara kelompok-kelompok elit dalam parti-parti politik yang berbeza, untuk berkongsi kepentingan yang diingini bersama. Sekalipun mereka mengemukakan pelbagai justifikasi, namun hakikatnya sikap pragmatik jelas kelihatan dalam berpolitik.

Fenomena sedemikian akan menghakis kebolehpercayaan rakyat bawahan terhadap politik. Hal ini kerana parti yang seharusnya seimbang membawa aspirasi rakyat dukungannya beransur-ansur didominasi oleh rentak yang sering berubah mengikut kepentingan golongan elit.

Adapun alasan-alasan untuk mewajarkan kecenderungan semasa, ia boleh diolah dengan retorik-retorik politik. Jika ia tidak boleh diterima oleh semua rakyat umum sekalipun, cukup ia diterima oleh penyokong masing-masing. Implikasi dari amalan sedemikian adalah:

• Sukar mengenalpasti parti pembangkang yang benar-benar konsisten kerana masing-masing sentiasa terbuka untuk berpakat mengikut keadaan.

• Perundingan politik yang berpanjangan akan membuatkan rakyat menilai kembali apakah erti partisipasi mereka dalam sesi pengundian ketika pilihan raya.

• Memunculkan suasana politik yang bukan membahaskan soal idea dan gagasan yang jelas. Sebaliknya hanya memanipulasi isu-isu yang khususnya terkait dengan soal material.

• Dari perebutan peluang meraih kekayaan melalui politik, akan sampai satu tahap masing-masing memiliki rekod rasuah yang seakan sama. Ia akan membentuk kesimpulan dalam kalangan rakyat bahawa semua kelompok politik sama sahaja tidak boleh diharap.

Realiti seperti ini yang perlu diperhalusi apabila membicarakan berkenaan kebosanan rakyat marhaen dari menaruh harapan hidup mereka terhadap politik. Apatah lagi jika dipersoal politikus-politikus yang berdegar melaungkan perjuangannya demi rakyat, dari mana sebenarnya wang yang dia perolehi untuk menyara kehidupan mewahnya? Benarkah perjuangan politiknya untuk berkhidmat atau hakikatnya untuk cari makan?

Klientelisme

Klientelisme adalah suatu amalan untuk mendapatkan sokongan politik melalui tawaran yang berbentuk material. Lanjutan dari praktis-praktis yang telah dinyatakan di atas, maka orang sudah tidak berbicara soal idea dan gagasan ideologi di dalam politik.

Sebaliknya, di segenap peringkat politik telah mengalami perubahan cara berfikir yang cukup mendasar. Iaitu hanya mempertimbangkan secara pragmatik apakah pulangan material di sebalik sokongan atau bangkangan politik mereka. Parti atau blok politik mana yang lebih lumayan tawarannya?

Lantas dari peranan oligarki dan kartel politik, akhirnya menukar pertimbangan logik di dalam politik. Implikasinya, orang akan menganggap politik hanyalah sebuah urusniaga yang realitinya semata-mata ingin meraih kepentingan material secara pragmatik. Sekalipun rakyat hanya beroleh pulangan yang sedikit (itu pun kalau mereka bernasib baik), namun jika dibandingkan dalam ‘urusniaga’ ini, golongan oligarkilah yang paling untung kerana berjaya memobilisasi rakyat demi kepentingan materialnya.

Disebabkan itu, mana-mana parti politik yang sanggup menabur belanja yang banyak atau sekurang-kurangnya berani membuat janji bulan dan bintang, merekalah yang berpotensi menang. Disebabkan itu juga, wacana berkenaan idea dan gagasan pemikiran politik sukar mendapat tempat kerana pemain-pemain politik menganggap itu tidak menguntungkan sama sekali.

Zaman Fitnah

Jika kita mencermati fenomena politik yang telah diterangkan secara ringkas, seakan-akan segenap lapisan masyarakat telah terasuh agar berfikiran serba materialistik. Allah SWT telah menyediakan surah al-Kahfi yang membawa tema fenomena-fenomena zaman fitnah. Firman-Nya:

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Dan dia memiliki kekayaan yang besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang beriman) ketika dia berbincang dengannya: “Hartaku lebih banyak dari hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat” – (al-Kahfi 34)

Di dalam ayat ini, Allah memberikan gambaran bagaimana dengan kekayaan yang luar biasa, dapat membentuk pengaruh dan menarik ramai pengikut. Ia amat realistik jika dibandingkan dengan kemelut persaingan kuasa hari ini.

Dari penyakit-penyakit politik materialistik, mengakibatkan manusia lebih menyanjung kuasa wang. Ia lebih didewakan berbanding gagasan idea yang tulen lagi bermaruah. Budaya bermewah dan mengejar prestij material di dalam politik, hanya akan membuka ruang kepada oligarki untuk memenuhi ‘keperluan yang diada-adakan’ itu. Bahkan selalunya parti-parti politik yang sudah terbiasa dengan budaya bermewah, cukup senang terpalit dengan masalah rasuah.

Tinggalkan komen anda