FEKAH ALAM SEKITAR (FIQH AL-BI’AH SIRI 1)

Oleh: Mohd Zuhdi Marsuki
1 Ramadan 1441 / 24 April 2020

*Bab Taharah (Bersuci)

1- Pendahuluan

Bersuci atau di dalam Bahasa Arab al-Taharah, merupakan satu tuntutan di dalam Islam. Kesucian merupakan syarat utama untuk melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat, tawaf dan lain-lain. Seseorang Muslim diwajibkan untuk menunaikan solat sebanyak lima waktu sehari semalam, dan syarat sah kepada solat itu ialah bersuci. Berdasarkan kepada tuntutan bersuci tersebut, menunjukkan Islam begitu menitik beratkan tentang kebersihan dalam kehidupan manusia sehari-hari.

Para fuqaha telah mengupas dengan panjang lebar persoalan bersuci ini di dalam kitab-kitab Fekah tulisan mereka. Boleh dikatakan hampir seluruh kitab-kitab fekah yang ditulis oleh para fuqaha, bab bersuci adalah merupakan bab permulaan di dalam kitab-kitab tersebut. Di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, karangan Wahbah al-Zuhayli, bab bersuci ini di bahagikan kepada tujuh topik berikut:

a. Bersuci, meliputi topik-topik kecil berkaitan takrifnya, kepentingan bersuci, cabang-cabang bersuci, kategori air dan lain-lain.

b. Najis atau kotoran, meliputi topik-topik kecil tentang jenis-jenis kotoran, kadar yang dimaafkan berkaitan kotoran, kaifiyat membersihkan kotoran dan lain-lain.

c. Istinja’ atau membersihkan kotoran, meliputi topik-topik kecil berkaitan dengan hukumnya, adab beristinja’ dan lain-lain.

d. Wudu’ meliputi topik-topik kecil berkaitan kefarduannya, termasuk juga siwak (bersugi) dan menyapu khuf.

e. Mandi meliputi topik-topik kecil berkaitan kelebihannya, kefardhuannya, perkara-perkara sunat berkaitan mandi dan lain-lain.

f. Tayammum meliputi topik-topik kecil berkaitan dengan takrifnya, pensyariatannya, kaifiyat tayammum dan lain-lain.

g. Darah haid, nifas dan istihadah, meliputi topik-topik kecil berkaitan dengan takrif ketiga jenis darah, hukumnya dan lain-lain.

Berkaitan dengan bab bersuci ini, terdapat begitu banyak topik yang berkaitan dengan Fekah Alam Sekitar seperti konsep kebersihan, peraturan berkaitan dengan air dan kepenggunaannya, konsep kotoran (pencemaran), kaedah membersihkan pencemaran dan lain-lain. Disebabkan penulisan ini berkaitan dengan Fekah Alam Sekitar, maka perbahasan fekah tentang bab bersuci ini tertumpu kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan alam sekitar masa kini, dengan mengambil kira pandangan para fuqaha tentang hukum-hukum fekahnya.

2- Konsep Bersuci

Menurut al-Zuhayli, bersuci atau at-Taharah dari segi bahasa adalah bersih atau murni dari kotoran dan pencemaran fizikal seperti najis dan air kencing, serta kotoran dan pencemaran maknawi (spiritual) seperti perkara aib dan perbuatan maksiat. Manakala, menurut istilah syarak pula, bersuci didefinisikan sebagai membersihkan diri dari hadas dengan berwudu’, mandi atau bertayamum serta membersihkan diri dari najis pada diri, tempat tinggal, pakaian mahupun pekakas dengan cara-cara dan syarat-syarat yang tertentu.

Selain daripada bersuci menurut Fekah, terdapat pula pengertian bersuci menurut Tasawuf. Bersuci menurut Tasawuf adalah membersihkan jiwa dari syirik, perbuatan yang keji dan dosa-dosa hati. Sebenarnya bersuci dari segi Fekah ini adalah berkaitan rapat dengan bersuci dalam tasawuf. Sehubungan dengan itu, al-Ghazali dalam karangannya Ihya’ Ulumiddin membahagikan bersuci kepada empat peringkat iaitu:

a. Peringkat pertama, mensucikan zahir dari segala hadas, kotoran dan perkara yang menjijikkan.

b. Peringkat kedua, mensucikan anggota-anggota badan dari segala perbuatan jahat dan dosa.

c. Peringkat ketiga, mensucikan hati dari segala pekerti yang tercela dan sifat-sifat rendah yang terkutuk.

d. Peringkat keempat, mensucikan sirr (rahsia atau batin) dari sesuatu selain dari Allah SWT (tidak mensyirikkan Allah) iaitu bersuci para nabi dan para siddiqin.

Adapun hukum bersuci (kedua-dua bersuci fizikal dan spiritual) adalah wajib sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Muddaththir ayat keempat:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu hendaklah dibersihkan.

Ayat di atas menurut para mufassirin antaranya al-Tabari, meliputi kedua-dua kebersihan iaitu kebersihan fizikal dan kebersihan spiritual. Kedua-dua jenis bersuci ini adalah tuntutan yang mesti dipenuhi oleh seseorang Muslim. Sekiranya salah satu daripadanya tidak dilunaskan maka tempanglah kehidupan seseorang manusia.

Tidak dapat dinafikan kemerosotan kualiti alam sekitar atau degradasi alam sekitar yang dihadapi oleh manusia hari ini adalah berpunca daripada kedua-dua kategori bersuci, malah punca utamanya ialah berkaitan kebersihan jiwa manusia (heartware). Sifat manusia yang tamak, membazir, tidak mencintai alam sekitar, mementingkan diri dan lain-lain penyakit jiwa adalah punca manusia bertindak mencemarkan alam sekitar, melupuskan kepelbagaian bio, mengganggu keseimbangan eko-sistem dan seumpamanya.

Oleh yang demikian, usaha manusia untuk menyelesaikan krisis alam sekitar ini tidak sempurna sekirannya hanya menumpukan kepada aspek perkakasan dan teknologi alam sekitar (hardware) atau aspek program dan peraturan alam sekitar (software), tetapi perlu dilengkapkan dengan aspek kerohanian dan spiritual manusia terhadap alam sekitar mereka (heartware). Terdapat juga para saintis alam sekitar yang mengaitkan aspek kerohanian dan spiritual ini dengan usaha secara non-struktural untuk memulihara alam sekitar.

Menarik sekali apabila para fuqaha dan ulama ketika membahaskan bab bersuci ini mereka mengintegrasikan kebersihan fizikal dan kebersihan spiritual. Secara langsung ia menggambarkan, agenda untuk memulihara atau melestarikan alam sekitar perlu disepadukan antara pendekatan fizikal dan spiritual. Hari ini, ketiga-ketiga pendekatan, iaitu pendekatan hardware, software dan heartware, telah diberi perhatian oleh pelbagai pihak, seterusnya diwacanakan di pelbagai peringkat.

Tinggalkan komen anda