FASA PERTAMA SERANGAN TATAR TERHADAP WILAYAH UMAT ISLAM

Oleh: Mohd Adlan Mokhtaruddin
03 Mei 2020

*FASA PERTAMA [616H hingga 620H]

616H – TATAR MENYERANG WILAYAH BUKHARA

Ketika kota Bukhara mula diserang, Khawarimi Shah berada jauh dari kota ini, menyebabkan usaha untuk melawan Tatar sepenuhnya terpundak dibahu penduduk Bukhara. Kota Bukhara yang melahirkan Imam Bukhari sebagai insan yang memuliakan sabdaan Nabi Muhammad SAW, ternyata pernah dinodai hingga ranap sepenuhnya ditangan musuh Islam durjana. Penduduk Bukhara pada waktu itu terbahagi kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama mahu berperang dan mempertahankan Kota Bukhara, adapun kumpulan kedua pula tidak mahu berperang, bersedia untuk berdamai dan membuka pintu masuk kota kepada mereka dan mereka lebih ramai! Akhirnya pintu kota dibuka membenarkan Tatar masuk dengan janjinya memberi keamanan. Aduhai betapa malangnya, nyawa umat Islam melayang dengan begitu mudah. Ibnu Kathir menggambarkan peristiwa ini di dalam kitabnya:

“Mongol membunuh penduduk Bukhara dengan cara yang tidak dapat dibayangkan, hanya Allah sahaja mengetahui. Kanak-kanak dan wanita dijadikan sebagai tawanan, kemudian wanita-wanita tersebut diperkosa dihadapan ahli keluarga mereka! Anak dirogol didepan ayah, isteri diperkosa didepan suami! Ada dikalangan mereka pula disuruh saling berlawan hingga terbunuh, tak kurang juga yang diseksa dengan bermacam seksaan. Seluruh wilayah Bukhara dipenuhi dengan tangisan dan dan jeritan wanita, kanak-kanak dan lelaki dewasa. Kemudian (selepas selesai semua seksaan, perkosaan dan pembunuhan) Mongol menyalakan api di seluruh wilayah Bukhara, maka musnah dan runtuhlah kota ini semusnah-musnahnya”! (Bidayah wan Nihayah)

Kata Dr Raghib, dalam mass killing di Bukhara ini terdapat 5 keburukan yang dilakukan oleh umat Islam. Pertama mereka tidak mengangkat senjata (berperang) untuk mempertahankan agama dan tanah air mereka. Kedua, mereka mempercayai janji orang kafir. Ketiga, umat Islam menolak golongan yang mahu berjihad untuk melawan musuh. Keempat, umat Islam berpecah dan bemusuhan sesama sendiri dan yang kelima umat Islam tidak mahu berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah Nabinya.

617H – TATAR MENYERANG WILAYAH SAMARQAND HINGGA AFGHANISTAN

Tatar menuju ke kota Samarqand (masih lagi dalam wilayah Uzbekistan), dalam keadaan yang amat menyakitkan hati. Ini disebabkan baki umat Islam yang tidak dibunuh dari kota Bukhara dijadikan benteng dibarisan hadapan. Kata Ibnu Athir “Mereka diperlakukan dalam keadaan yang paling buruk, sesiapa yang lemah atau tercedera untuk meneruskan perjalanan, pasti mati.”

Mengapa Tatar mempergunakan umat Islam sebagai benteng hadapan mereka?

i. Untuk menakutkan umat Islam apabila melihat dari jauh jumlah ketumbukan yang ramai seolah-olah bilangan Tatar yang amat ramai.
ii. Memaksa mereka berperang sesama umat Islam, sesiapa yang enggan akan dibunuh.
iii. Sebagai benteng pertahanan untuk menghadapi serangan anak panah
iv. Untuk dijadikan tebusan dan korban setiap kali memasuki kota baru sebelum menyerang dengan tujuan menambah ketakutan umat Islam.
v. Untuk menukar tebusan jika tentera Tatar ditangkap oleh tentera Islam, tetapi hampir-hampir tidak berlaku kerana Tatar sentiasa menang.

Perihal Kota Samarqand

Kota Samarqand merupakan bandar termaju dan terkaya kerana kedudukannya yang strategik, hingga ditempatkan hampir 50 ribu bala tentera bagi mengawasi kota ini yang memiliki lebih 200 ribu penduduk. Malangnya ketika tentera Tatar sampai di pintu Kota Samarqand, kesemua tentera ini enggan untuk berperang!

Lalu penduduk kota terpaksa mengambil inisatif mengumpulkan mereka yang bersemangat tinggi untuk melawan sendiri Tatar dan berjaya mengumpulkan sejumlah 70 ribu orang dalam pelbagai lapisan rakyat. Sekali lagi malang menimpa, kerana kesemuanya langsung tidak memilik kemahiran berperang menyebabkan dengan mudah ditipu oleh Tatar.

Umat Islam terpecah-pecah kerana mengejar tentera Tatar yang kononnya melarikan diri yang akhirnya terkepung dan dibunuh kesemuanya tanpa belas ihsan. Seterusnya Tatar menghapuskan baki umat Islam di dalam kota dengan mudah dan dimusnahkan keseluruhan kota tersebut. Alangkah murahnya nyawa umat Islam pada waktu itu.

Tatar meneruskan misinya untuk menangkap dan membunuh Sultan Khawarizmi Shah hingga mereka mendapatinya melarikan diri ke kota Urgandah. Untuk sampai ke kota ini, tentera Tatar perlu menyeberangi sungai Jeihun walhal mereka tidak memiliki sebarang kapal atau sampan. Tetapi mereka telah melakukan tindakan yang amat menakjubkan! Mereka membuat sebuah bekas yang besar untuk mengisi senjata dengan kayu-kayu, kemudian membalut bekas tersebut dengan kulit-kulit lembu supaya tidak dimasuki air.

Akhirnya mereka masuk ke dalam sungai dengan berpaut di kuda-kuda mereka yang cekap berenang sambil membawa bekas besar yang diisi senjata tadi. Umat Islam yang berada di seberang sungai langsung tidak menyangka bahawa tentera Tatar akan sanggup berbuat demikian. Lalu dengan jumlah umat Islam yang ramai, tetapi ketakutan mereka terhadap Tatar menyebabkan bilangan tersebut tidak memberi kelebihan buat umat Islam. Manakala Sultan Khawarizmi Shah pula telah melarikan diri menuju ke Naisabur meninggalkan Urgandah, dan meninggalkan umat Islam terkontang kanting tanpa ketuanya.

Masuk pula ke Kota Moro (Afghanistan) melakukan pembunuhan yang lebih dahsyat. Genghis Khan melakukan pembunuhan umat Islam Moro melalui lima peringkat.

i. Membunuh semua ketua dan mereka yang berjawatan tinggi seorang demi seorang dihadapan penduduk kota.
ii. Mengasingkan golongan yang memiliki kepakaran dan kemahiran bertukang untuk dibawa ke Mongolia supaya boleh dimanfaatkan.
iii. Memaksa golongan ahli perniagaan dan hartawan supaya menyerahkan kesemua harta mereka dan diseksa.
iv. Menggeledah setiap rumah untuk mendapatkan harta mereka termasuklah kubur-kubur para Raja.
v. Dan akhirnya, mengarahkan untuk dibunuh kesemua penduduk kota yang berjumlah 70 ribu orang.

Seterusnya menuju ke Kota Naisabur, Herrah dan Khawarizmi (antara Uzbekistan dan Turkmenistan) dan seterusnya menuju ke kota Ghaznah.

Pahlawan Saifuddin Baghraq

Di Kota Ghaznah (Afghanistan), di atas kesedaran yang tinggi demi mempertahankan Islam, umat Islam bangkit melawan dengan diketuai oleh Saifuddin Baghraq. Beliau mengumpulkan sejumlah 30 ribu tentera dan digabungkan pula dengan sejumlah 60 ribu tentera Khawarizmi dibawah seliaan Jalaluddin Al-Khawarizmi yang melarikan diri dari kota lain tetapi berlindung di kota Ghaznah. Gabungan tentera Saifuddin dan Jalaluddin berjaya mengalahkan Tatar dengan pertempuran yang berlangsung selama tiga hari. Genghis Khan menghantar lagi bala tenteranya untuk petempuran kali kedua di kota Kabul. Malangnya, memasuki pertempuran kali kedua, tentera Islam bertelagah merebut harta rampasan perang hingga membawa kepada terbunuhnya adik Saifuddin Baghraq.

Kesannya, Saifuddin menarik kesemua tenteranya dan tidak lagi mahu bertempur, walhal pihak Tatar menggandakan lagi jumlah ketumbukannya. Akhirnya baki tentera Jalaluddin melarikan diri lalu Tatar menang dengan mudah menakluk keseluruhan Afghanistan.

618H – TATAR MENYERANG WILAYAH ARZABEIJAN, UTARA IRAQ, HAMDAN, BALKAN, KENYA, DAGISTAN, CHECHEN DAN BARAT RUSIA

619H HINGGA 620H – TATAR MENGUKUHKAN KEDUDUKANNYA DI ANTARA CHINA DAN IRAQ

Dalam fasa ini, terdapat beberapa peristiwa yang signifikan direkodkan yang membayangkan betapa keadaan umat Islam semakin buruk.

Ketika Tatar menyerang Rusia dan sekitarnya, kekuatannya mula melemah disebabkan faktor cuaca yang amat sejuk dan jarak yang amat jauh. Manakala di wilayah Utara Iraq, umat Islam dipimpin oleh Raja Asyraf Musa bin Adil berketurunan Kurdi. Perbalahan umat Islam dan pihak Kristian Karaj sudah berlarutan begitu lama dan masih lagi belum selesai. Akan tetapi dalam suasana munculnya kekuatan yang ketiga dan memusuhi kedua-duanya secara serentak, sepatutnya Raja Asyraf memilih untuk bekerjasama dengan Salibiah (Karaj) memerangi Tatar dan melupakan perseteruan mereka buat seketika. Malangnya kedua-duanya terus berperang menyebabkan Tatar pula berjaya menumpaskan kedua-duanya dengan mudah.

Pada tahun ini juga berlakunya perbalahan diantara Muhammad bin Khawarizmi, anak Sultan Khawarizmi Shah dengan saudaranya Jalaluddin yang merebut kekuasaan di beberapa kota di Iran.

Peristiwa yang amat mengejutkan umat Islam berlaku pada tahun ini juga ialah perkahwinan anak kepada Sultan Mughisuddin bin Qalaj Arsalan dengan kerajaan Kristian Karaj dalam keadaan mengizinkan anaknya masuk Kristian demi menjaga hubungan dua kerajaan.

Bahkan pada tahun ini juga menyaksikan hampir keseluruh wilayah Islam berkecamuk pentadbirannya, ekonomi, sosial dan akhlaknya umat Islam juga semakin memburuk.

TAHUN 621H

Berlaku pertelagahan di antara Ghiasuddin dan Saaduddin Dakla yang merebut wilayah Parsi (Iran). Ketika mereka berdua berebut kekuasaan, ketika itu jugalah Tatar telah meranapkan kota Ray, Sawah, Qom, Kashan hingga sampai ke Kota Hamdan hanya dengan sejumlah 3000 tentera sahaja.

624H – KEMATIAN GENGHIS KHAN

Pada tanggal 624H matinya pemimpin ulung Tatar iaitu Genghis Khan dalam lingkungan umurnya 72 tahun. Perginya Genghis Khan dalam keadaan bermandikan darah umat Islam. Setahun sebelumnya Kota Baghdad atau lebih tepatnya Khalifah Abbasiah juga bertukar tangan daripada Sultan Nasiruddin lidinillah kepada anaknya Sultan Zhahir bi amrillah bin Nasiruddin.

Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kejadian-kejadian ini.

Tinggalkan komen anda