FASA KEDUA SERANGAN TATAR

Oleh: Mohd Adlan Mokhtaruddin
05 Mei 2020

*FASA KEDUA [627H hingga 649H]

Dalam siri artikel yang lalu, telah didedahkan mengapa dan bagaimana gerakan Tatar menyerang wilayah Abbasiah bermula dengan kerajaan Al-Khawarizmi bermula pada tahun 616H hingga 624H. Dan fasa kedua serangan ini pula bermula pada tahun 627H. Persoalannya, mengapa terdapat senggang masa selama 3 tahun di antara kedua-dua fasa tersebut? Apakah yang telah berlaku? Untuk menjelaskan perkara tersebut, akan dijelaskan dalam tulisan yang lain.

FASA KEDUA

Sebelum memasuki fasa kedua serangan, Tatar sekali lagi menukar pemimpinnya. Syurmagan Khan dilantik sebagai panglima perang yang baru dibawah pimpinan Ukitai Khan. Apabila kita melihat kembali ketika fasa pertama serangan, Tatar telah pun memasuki sebahagian dari wilayah Rusia dan dekat dengan Eropah.

Ini bermakna mereka sebenarnya sudah pun boleh menyerang Kota Baghdad pada bila-bila masa sahaja ataupun sejak dari awal lagi boleh sahaja untuk Tatar menuju terus ke Kota Baghdad. Tetapi ternyata ia merupakan perancangan teliti mereka untuk menjadikan Kota Baghdad sebagai sasaran terakhir selepas menyerang seluruh wilayah Islam. Menyerang Baghdad dari awal kemungkinan akan membangkitkan semangat umat Islam secara keseluruhannya dan memayahkan perancangan mereka.

Dalam fasa kedua serangan ini, Tatar telah berjaya menanam ketakutan yang dahsyat dalam jiwa umat Islam terhadap mereka. Ibnu Athir melalui catatannya, merekodkan beberapa kejadian ketakutan melampau umat Islam terhadap tentera Tatar.

1- Ada perkampungan yang dimasuki oleh hanya seorang sahaja tentera Tatar, lalu mula membunuh seorang demi seorang tanpa ada sesiapa pun yang melawan atau menghalangnya. Bahkan ketika dia lalu, umat Islam sudah pun menundukkan kepala mereka petanda menyerahkan tengkuknya untuk disembelih.

2- Dikisahkan seorang tentera Tatar menemui beberapa orang Islam dalam keadaan tidak membawa sebarang senjata, lalu dikatakan kepada mereka untuk tundukkan kepala ke tanah hingga dia sampai semula membawa pedang. Ternyata ia dituruti oleh mereka hingga dibunuh kesemuanya walhal boleh sahaja untuk melarikan diri.

3- Tatar adalah bangsa yang tidak terkalah merupakan ucapan yang telah tertanam di dalam jiwa umat Islam pada waktu itu menyebabkan ketakutan luar biasa mereka menjadikan umat Islam amat panik apabila berhadapan walau dengan seorang pun tentera Tatar. Bahkan setiap kali umat Islam hendak dibunuh mereka akan mengucapkan “La billah La Taqtulani…” bermaksud demi Allah, jangan bunuhku, telah pun dijadikan senda gurau oleh tentera Tatar.

628H – Tatar menceroboh Parsi (Iran hari ini), Iraq dan Arzebeijan

634H – Tatar Menakluk Armenia, Chechen dan Dagistan

635H – Bato mengepalai misi menjarah Rusia

636H – Moscow ditumpaskan

638H – Tatar memasuki wilayah Ukraine

639H – Poland, Slovakia, Croatia juga diserang dan hampir sahaja German dan Itali turut ditumpaskan. Tahun ini juga menyaksikan kematian Ukitai Khan dan diganti dengan anaknya Kiuk Khan.

640H – Kewafatan Khalifah Abbasiah Sultan Al-Mustansir Billah, kemudian diganti dengan Sultan Al-Musta’sim Billah.

648H – Berlaku Peperangan Salib di Mansurah (Mesir) selepas wilayah Dumyat berjaya ditumpaskan. Peperangan Mansurah memihak kepada umat Islam yang diketuai oleh Sultan Najmuddin Ayyub dan isterinya Syajaratu Dur serta panglima utama mereka iatu Zhahir Baybars.

KESIMPULAN

  • Fasa serangan di atas meranap bumi umat Islam dan juga wilayah kekuasaan Kristian. Nyata Bangsa Tatar langsung tidak mengendahkan perjanjian awal antara puak Salib dan Tatar untuk menyerang umat Islam, tetapi Tatar menjarah semua sekaligus!

  • Selama tempoh 10 tahun bermula 639H hingga 649H tidak berlakunya perluasan kuasa dan serangan oleh Tatar. Ini disebabkan krisis dalaman yang berlaku selepas kematian Ukitai Khan. Ini sebagaimana yang digazetkan oleh Ibnu Kathir di dalam Al-Bidayah Wan Nihayah.

  • Suatu perkara yang tercatat di dalam sejarah, iaitu bermula tahun 639H, bangsa Tatar telah menguasai hampir satu perdua dunia. Bermula dari Timur Korea hingga Barat Poland, dari utara Siberia hinggalah sampai ke Laut China Selatan.

  • Hampir keseluruhan wilayah dan kota umat Islam telah dmusnahkan kecuali Mesir, sebahagian wilayah Syam, sebahagian Turki dan Hijjaz sahaja yang terselamat.

  • Walaupun pada peringkat awal Eropah amat mengharapkan Tatar mampu mengalahkan umat Islam, tetapi rupa-rupanya mereka juga menjadi mangsa serangan bangsa tak terkalah ini. Namun begitu, dalam masa yang sama, sebahagian daripada pemimpin Salibiah masih menganggap Islam lebih berbahaya berbanding Tatar. Sungguh, seandainya Allah Taala tidak mentakdirkan munculnya Saifuddin Qutuz, pastinya bangsa Tatar telah pun menguasai seluruh dunia!

Tinggalkan komen anda