EMOSI

Oleh: Haris Zalkapli
16 Mei 2020

“I’ve learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.”

Kata-kata ini, daripada seniman dan aktivis Amerika Maya Angelou, selalu dipetik dan dijadikan poster kata-kata inspirasi untuk pelbagai tujuan, sama ada dengan taksiran yang tepat atau tidak.

Yang penting, kata-kata ini amat tepat untuk menjelaskan psikologi manusia berkaitan emosi, hingga “suis” penting ini mudah dieksploit untuk memenuhi pelbagai jenis keperluan.

Lihat sahaja iklan-iklan popular, misalnya iklan Hari Raya di negara kita. Iklan yang paling diingati ialah iklan yang paling dapat memetik suis emosi, paling utama, yang paling menyentuh hingga menyebabkan mengalir air mata.

Di medan paling sengit dunia iklan, di Amerika Syarikat, antara iklan paling diingati dan popular ialah yang paling menyentuh emosi, sebagai tear jerker. Dari insurans, perbankan, bir Budweiser dan banyak lagi, iklan yang popular bukan yang mengajak membeli produk, tapi membawakan cerita, misalnya, iklan kuda Clydesdale untuk Super Bowl tahun 2013.

Akibat kedudukan penting emosi inilah, dunia dipenuhi dengan cerita, dengan watak villain dan orang baik, yang digunakan semua pihak daripada pencetus propaganda politik hingga pemberi bantuan kemanusiaan.

Di laman media sosial, sudah kukuh pemahaman dan pengamalan story telling, untuk menyampaikan maksud yang dikehendaki. Cerita inilah yang melekat di hati orang ramai, tidak kira sama ada asli atau palsu. Kemudian emosi ini dikendalikan untuk dihalakan kepada agenda tertentu.

Suis mana yang perlu ditekan sudah sedia diketahui oleh penyampai cerita. Golongan sasar seperti wanita (isteri, ibu), nasionalis, “warga maya prihatin,” semua memiliki suis masing-masing yang sudah diketahui.

Inilah satu norma dan hukum dalam dunia media, yang kini mempengaruhi ramai manusia. Walaupun ada cerita lain di sebalik satu cerita, tapi cerita yang paling menyentuh emosi itulah yang menjadi penentu.

Tinggalkan komen anda