DISEBALIK 50 TAHUN PENAKLUKAN MASJIDIL AQSA

(picture: middleeastmonitor.com)

DISEBALIK 50 TAHUN PENAKLUKAN MASJIDIL AQSA

Oleh:

IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

 

PEMBATALAN Jubli Jerusalem yang dijadualkan di Melaka dan Sarawak rentetan dari bantahan dan laporan polis oleh pelbagai pihak bukanlah bererti kemenangan untuk dirai atau menganggapnya telah tamat selesai. Sebaliknya ia perlu dilihat sebagai titik kesedaran membuka mata manusia sejagat khususnya umat Islam atas kelekaan dan kealpaan selama ini terhadap perancangan global oleh golongan yang rakus mahu menguasai muka bumi ini.

 

Kezaliman sememangnya tidak pernah puas menjarah tanah dan harta, hingga turut meragut maruah, darah dan nyawa manusia, bahkan juga terhadap pengabdian hamba kepada Tuhannya dengan merampas rumah ibadah. Itulah terjadi tanggal 7 Jun 1967, genap 50 tahun lampau dalam Perang 6 Hari yang menyaksikan Masjidil Aqsa berada dalam genggaman rejim Zionis Israel. Ia terakam dalam tragedi Perang 6 Hari antara Israel menentang ketenteraan gabungan Arab terdiri daripada Mesir, Jordan dan Syria.

 

Mesir, Jordan dan Syria memiliki kekuatan yang berpotensi melenyapkan Israel dari peta dunia dalam masa hanya dua jam. Malangnya, Israel yang mempunyai angkatan kurang seperlima daripada tiga negara bersekutu itu, berjaya memenangi peperangan tersebut menerusi strategi dilancarkan. Lebih mendukacitakan, bersama lebih 20,000 nyawa terkorban, tanah umat Islam di Gaza, Tebing Barat, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan juga jatuh dalam taklukan Israel, sedang rejim itu menerima kurang 1,000 korban.

 

Kejayaan itu bukan sahaja melonjak kemegahan Israel, tetapi mengubah geopolitik dan ekonomi di Timur Tengah khususnya melibatkan hubungan sesama negara umat Islam, termasuk pengaruh Amerika Syarikat dan British.

 

 

Malaysia Proksi Kebangkitan Israel?

 

Kini, penguasaan dan kejayaan itu dirayakan di seluruh dunia dan khususnya rantau ini yang berada dalam jalur ‘Gerbang Emas’ iaitu salah satu dari 12 gerbang, menjadikan Malaysia sebagai pilihan. Berikut disenaraikan beberapa pernyataan yang membayangkan ‘perhatian’ gerakan tersebut terhadap negara ini:

 

  • “Ada kebangkitan hebat yang akan datang atas Malaysia. Urapan untuk doa 24 jam akan dicurahkan ke atas kamu. Kamu akan mendirikan Menara Doa. Memulihkan Khemah Suci Daud…” – Cindy Jacob, 16 Ogos 2016, Jakarta

 

  • “….Gereja Malaysia akan masuk ke dalam satu kesatuan baru yang hebat sekali. Akan keluar dari Malaysia, seruan yang memulihkan Asia, kata Tuhan!” – Cindy Jacobs, Julai 2016, San Jose, Costa Rica

 

  • “….Malaysia adalah kunci yang merubah negara-negara…” – Cindy Jacob, September 2012, Perhimpunan Negara-negara Sedunia Jerusalem (ANCJ) di ‘Tanah Suci’ selepas Malaysia memasuki Tahun Yobel-nya.

 

  • Menerima pesanan Rasul dan Nabi yang canggih dari wakil Majlis Penatua Antarabangsa (ANCJ) yang kurang terdengar di Malaysia dan rantau ini

 

  • Memasuki penggenapan ketentuan hala tujuan peribadi, korporat, nasional dan kewilayahan dalam penerobosan peribadi, menjajar dengan Jubli Jerusalem untuk penerobosan-Nya dan dalam proses ini, membawa penerobosan Kerajaan, penebusan, pemulihan, reformasi dan transformasi kepada negara sendiri, Negara-negara Pintu Gerbang Emas dan ASEAN

 

  • Menggenapi panggilan ‘Bapa’ untuk Malaysia, ASEAN dan Negara-negara Pintu Gerbang Emas mengiringi kedatangan ‘Raja’ Kemuliaan sehingga sampai ke Jerusalem, Kota Suci (Wahy 21:2), Kota Tuhan kita (Maz 48:1) dan Pusat Dunia (Yeh 5:5)

 

  • “…supaya melawan untuk ketentuan hala tuju Negara-negara, terutamanya untuk Jerusalem, ASEAN dan Negara-negara Pintu Gerbang Emas di Zaman Akhir ini.”

 

  • “Menghubung… Melawan & Menyelesaikan… Perjalanan… Dari Negara-negara Pintu Gerbang Emas kembali ke Jerusalem – Kota Raja Besar” (Maz 48:1-2, Mat 5:35)

 

  • Menyediakan jalan untuk kepulangan Raja Kemuliaan melalui MALAYSIA Negara Pelangi Asia & Pemangkin Kebangkitan Negara-negara Pintu Gerbang Emas Untuk ASEAN & Negara-negara Pintu Gerbang Emas.

 

  • Masa kembali, penebusan, pemulihan, perhitungan, pembebasan, kemerdekaan, penerobosan, pemilikan warisan

 

  • Tahun perkenan ADONAI untuk umat-Nya dan pembalasan dendam ELOHIM terhadap seteru-Nya, supaya YAHWEH dimuliakan!

 

Malah, ungkapan-ungkapannya juga berunsur melemah, menentang, mengambil alih, merubah, membebas, memiliki, merampas, mengisytihar dan memasyhurkan negara ini kepada satu pemilikan, hak, kekuasaan dan kedaulatan baharu.

 

 

Hina, Cabar & Perangi Islam

 

Semua terma ini tersebar meluas ke pengetahuan umum pada awal pagi 5 Jun bertepatan 50 tahun peristiwa tersebut. Ia seolah-olah cuba memprovokasi, mencabar, mengancam mengejek dan membangkitkan emosi; seumpama meletakkan garam di atas luka yang dialami umat Islam.

 

Di mana ketika meraikan kejayaan itu separuh abad lalu, mereka mengulangi laungan  sorakan “Khaibar! Khaibar!” dan ungkapan bahawa “Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita”. Ianya sebagai penghinaan kepada Islam dan Rasulullah S.A.W serta menganggap negara-negara Islam amat lemah sekali di mana mereka telah menebus kekalahan sekian lama didendami itu.

 

Bahkan, perlecehan dan penghinaan itu juga dibawa dengan memilih Melaka sebagai lokasi utama perayaan tersebut atas semangat mengulangi nostalgia bahawa wakil mereka, yakni Portugis pernah meruntuhkan Kerajaan Islam Melaka suatu ketika dahulu. Antara penyataannya adalah sebagaimana berikut:

 

  • “Doa jalan penerobosan Apostolik-Profetik Warisan Kristian” melalui tempat bersejarah Kristian di Melaka: Menebuskan Mezhab-mezhab

 

  • Di negeri bersejarah dan kota terkuno dalam Malaysia. Dahulu kala pusat strategik di Laluan Kelautan Sutera (Jalan Laluan Rempah dan Jejak Dupa) di mana tercagak di dalamnya akar-akar pelbagai negara – Jawa, Sumatera, India, Arab, Portugal, Belanda, Britain, China, Thailand, Singapura dan banyak lagi. Sekarang sebahagian daripada Laluan Sutera Baru yang moden (1 Jalur 1 Jalan): KOTA MELAKA ditempatkan secara unik untuk ADONAI membuat “Jalan di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara.” (Yes 43:19)

 

 

Waspada Gerakan Evangelis

 

Ternyata ia bukan semata-mata keraian, tetapi merintis dan menjana satu tujuan serta komitmen terhadap matlamat tertinggi yang mahu dicapai. Bahkan, ia tidak kebetulan tetapi menjadi sebahagian perancangan strategik melibatkan beberapa peristiwa dunia mutakhir ini antaranya:

 

  1. Sempena menggenapi 100 tahun terlerainya Khilafah Islamiyah;
  2. Cubaan rampasan kuasa ke atas negara Turki oleh tentera yang belot;
  3. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjalin hubungan dengan Negara-negara Arab dan OIC;
  4. Kejadian serentak ekstremis di lokasi-lokasi tumpuan dunia dan pengisytiharan memeranginya termasuk oleh Malaysia;
  5. Negara-negara Arab mengisytiharkan pemutusan hubungan dengan Qatar.

 

Maka, umat Islam mesti meluaskan kepekaan dan perhatian terhadap semua kelicikan sama ada yang zahir mahupun terselindung. Kerana hakikat dari Jubli Jerusalem yang mahu dirayakan itu mempunyai sentimen, semangat, kepercayaan dan keyakinan yang menjurus kepada kebangkitan, gerakan dan perancangan iaitulah dari golongan pelampau Kristian atau dikenali sebagai Evangelis Kristian.

 

Mereka telah menguasai atau mencengkam banyak sektor penting menerusi jalur pendidikan, kebajikan, ekonomi dan lain-lain termasuk juga politik, bahkan bersatu di seluruh dunia memasuki dan menyelinap dalam pelbagai proksi. Maka menjadi kewajipan umat Islam agar tidak ‘kembali dijajah’ dengan sentiasa berwaspada dan memerhatikan dengan renungan mendalam terhadap gerakan ini serta bertindak, antaranya:

  • Jangan terpesona atau terpedaya dengan tawaran atau bantuan atas nama kebajikan;
  • Jangan menerima tawaran untuk anak-anak memasuki sekolah-sekolah mubaligh;
  • Jangan menghadiri pelawaan ke majlis atau premis mereka (banyak menggunakan bangunan perniagaan) sekiranya tidak punyai keteguhan jati diri agama;
  • Jangan sewenang-wenangnya menyokong, berpihak dan memilih pemimpin yang dikenalpasti cenderung kepada gerakan tersebut.

 

Akhirnya, renungilah firman Allah S.W.T:

 

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu

sehinggalah kamu mengikut telunjuk agama mereka.”

(al-Baqarah: 120)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *