DALIL-DALIL AL-QURAN MENGENAI KEPIMPINAN POLITIK ISLAM

Oleh: Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
26 April 2020

Sebenarnya, banyak ayat al-Quran yang menyebut mengenai kepimpinan Islam. Antara ayat yang paling popular adalah ayat Quran surah al-Nisa, ayat 59 berkenaan wajib menta’ati ketua.

Firman Allah SWT:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا أَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَأُولِى الأَمرِ مِنكُم

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (An-Nisa’ 59)

Berkata al-Tabari apabila mentafsirkan ayat ini, “Ulil Amri adalah pemimpin dan wakil bagi Allah untuk kepentingan seluruh umat muslim”.

Ibnu Kathir mentafsir pula, “Zahir ayat ini menunjukkan arahan ketaatan secara umum untuk ulil Amri dari kalangan pemimpin dan ulama”.

Justeru, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mewajibkan kepada seluruh Muslimin agar mentaati para pemimpin. Arahan ketaatan ini merupakan dalil kewajiban melantik pemimpin Islam.

Seterusnya, ayat berkenaan perlaksanaan hukum-hakam Syariah untuk kehidupan yang adil dalam kaum Muslimin. Terutamanya dalam surah al-Maidah, ayat 48 dan 49. Firman Allah SWT:

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيكَ

Maksudnya: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. (Al-Maedah 49)

Ayat ini merupakan arahan dari Allah kepada Rasul-Nya agar menjalankan hukuman terhadap kaum Muslimin dengan sesuatu yang Allah turunkan yang merupakan Syariat Islam. Bahkan, ayat ini juga merupakan arahan kepada kaum Muslimin agar menjalankan Syariat Allah. Namun Syariat Allah tidak akan tertegak melainkan dengan kepimpinan Islam. Ini menunjukkan kepimpinan merupakan satu kewajiban menjadikan Syariat Islam dapat dilaksanakan secara praktikal.

Begitu juga, ayat berkenaan para Rasul yang diutuskan, bukan sahaja diberikan wahyu tetapi kekuasaan kepimpinan. Firman Allah swt dalam Surah al-Hadid ayat 25:

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ وَالميزانَ لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ وَأَنزَلنَا الحَديدَ فيهِ بَأسٌ شَديدٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِىٌّ عَزيزٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Hadid 25)

Ayat ini menjelaskan bahawa tugas para rasul adalah menegakkan keadilan di kalangan manusia berdasarkan wahyu. Menegakkan keadilan ini tidak dapat tercapai melainkan kekuatan-kekuatan politik dan keselamatan. Oleh demikian, kepimpinan Islam sangat perlu bagi mempraktikan ajaran Islam yang adil.

Bahkan, banyak lagi ayat al-Quran yang menunjukkan keperluan mendesak kepimpinan Islam dan ia merupakan suatu kewajiban. Belum lagi dikaitkan dengan ayat-ayat berkaitan dengan hukum-hakam berkenaan hudud dan qisas, yang sangat memerlukan kepimpinan Islam yang sedar dan berani melaksanakannya dalam negara. Begitu jualah kewajipan menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar, turut memerlukan kepada pemimpin Islam.

Tinggalkan komen anda