BUAT-BUAT BUTA KERANA BERKEPENTINGAN.

Selalu kita melihat orang yang sudah pencen mengisytiharkan keinsafannya. Lantas mengutuk dunia lama mereka yang bergelumang dengan korupsi.

⚫ Sifat Kebenaran.

Sebenarnya kebenaran bukanlah terlalu sukar untuk difahami. Ia adalah fitrah yang secocok dengan naluri manusia. Namun mengapa ia sukar diikuti? Kerana manusia lebih suka mengabdikan diri kepada kepentingan diri sendiri. Lalu berlaku tidak jujur dengan mengabaikan prinsip kebenaran yang serba pahit.

⚫ Insaf Namun Terlambat.

“Sehingga Firaun kelemasan, lalu Firaun berkata, Aku telah beriman bahawa tiada Tuhan melainkan apa yang diimani oleh Bani Israel, dan aku turut Islam seperti orang Islam yang lain” – Yunus 90.

Al-Quran telah menunjukkan contoh sikap sanggup membutakan mata demi kepentingan. Ketika Firaun tercungap-cungap lemas, dia menyatakan keinsafannya untuk beriman dan mengaku sebagai Islam.

Sedangkan pada waktu tersebut Firaun bersendirian, tiada siapa yang menasihatinya agar mengucap. Namun mengapa Firaun boleh bersyahadah secara percuma?

Hakikatnya ketika itu Firaun sudah kehilangan segalanya. Lenyap segala kuasa, pengaruh, nama, pengikut dan masa depan.

Maka saat itulah, Firaun sudi bersama kebenaran yang selama ini cuba dibutakan olehnya akibat menjaga kepentingan. Namun sudah cukup terlambat memandangkan dia sudah tidak sempat memperbetulkan segala kesalahannya terdahulu. Allah menolak taubat Firaun.

⚫ Integriti Yang Dipertikai.

Antara senario yang kelakar adalah apabila politikus yang selama ini selesa berlaku zalim, tiba-tiba menonjolkan keinsafannya ketika mereka sudah kehilangan kuasa dan pengaruh.

Dari sudut positif, terlewat insaf lebih baik dari tidak insaf langsung. Tetapi dari satu sudut lain, melatanya kezaliman selama ini kerana wujudnya ramai golongan seperti mereka. Menghabiskan umur menjaga kepentingan sendiri. Apabila sudah tua ganyut, pengaruh dan tenaga sudah habis, barulah sudi berkata benar. Itu pun jika betul-betul benar.

Kitaran hipokrit ini terus berlangsung, dan ia disambut riang atas nama sebuah ‘keinsafan’. Kadang-kadang timbul persoalan, apakah mereka ‘insaf’ kerana sudah tidak dapat apa yang mereka nikmati selama ini? Maka protes dilancarkan.

⚫ Syarat Insaf.

Allah meletakkan syarat, insaf mesti disusuli dengan usaha berikut:

“Melainkan golongan yang benar-benar taubat, mereka mestilah membetulkan kesilapan lalu, menjelaskan kesalahan lampau, maka merekalah yang Aku terima taubat mereka. Dan Aku Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang” – al-Baqarah 160.

Sebuah keinsafan tidak cukup dengan gimik kutuk dan maki hamun seteru politik, sementara punca segala kerosakkan yang diperkenalkannya dibiarkan berterusan. Seseorang yang insaf mestilah mengaku kesalahan lalu dan menjelaskannya kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Seterusnya mesti berusaha memperbetulkan segala kesalahan secara realistik dengan penuh tanggungjawab.

Malangnya hari ini, ramai yang mengambil kesempatan atas nama sebuah ‘keinsafan’.

Abdul Mu’izz Muhammad
16 Oktober 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *