BENCANA POPULISME BARAT

Topik populisme hangat diwacanakan di negara-negara Barat ketika mereka bergelut dengan krisis politik liberal demokrasi yang kelihatan sedang berdepan jalan buntu. Ia bukanlah bahan sarkastik politik yang boleh dihumorkan. Bahkan di Barat, populisme terheret dengan konotasi negatif yang menggambarkan kegagalan mereka menguruskan politik.

 

Ideologi Nipis

Terdapat banyak perdebatan, apakah sebenarnya populisme? Adakah ia merupakan sebuah ideologi atau hanya instrumen yang diaplikasikan di dalam medan politik liberal demokrasi?

Di kalangan penganalisa politik Barat, mereka mengklasifikasikan populisme sebagai ‘thin ideology’. Ideologi nipis yang boleh meresap masuk ke dalam mana-mana dukungan ideologi. Samada dari kutub kiri atau kanan. Ia juga lebih terlihat sebagai satu fenomena populariti demokrasi yang boleh diraih dengan lakonan dan eksploitasi.

 

Manipulasi

Populisme diambil dari kalimah Latin, populus yang bermaksud manusia. Menonjolkan sikap perihatin ke atas nasib yang menimpa manusia, rakyat, sungguhpun palsu.

Bagi pengamal politik populisme, mereka sedaya upaya menjadikan keinginan rakyat sebagai modal utama kempen. Seterusnya mereka menawarkan janji dan solusi simplistik yang mencandukan rakyat. Rakyat yang serba kecewa dengan politik, menyambut kempen populisme kerana ia amat menyenangkan.

 

Gimik

Pengamal politik populisme banyak bergantung dengan gimik. Separa sedar, populisme membudayakan politik palsu seterusnya melahirkan politikus ‘kaki kencing’.

Segala gimik palsu dan janji yang tidak masuk akal disambut penuh positif. Sikap tersebut terbina ekoran mentaliti rakyat telah didoktrin untuk hanya suka mendengar perkara-perkara indah bagaikan penagih yang khayal dadah. Mereka benci mendengar perkara-perkara realistik, kerana selalunya perbincangan solusi yang realistik sinonim dengan penerangan yang amat rumit lagi merimaskan.

Kerap kita mendengar escapisme “kita tidak perlu bincang panjang lebar, kita ikut sahaja”. Dialog sedemikian terhasil dari doktrin populisme yang memupuk sikap agar semata-mata mengikut arus yang telah ditetapkan.

Begitu juga kita kerap mendengar ajakan supaya “menjuarai isu”. Mentaliti yang tersemat, cukuplah sekadar kita memainkan isu yang sensasi. Walaupun kabur hujung pangkal, tidak mengapa. Asalkan kita tidak dilihat ketinggalan arus. Akhirnya membunuh rasa tanggungjawab untuk menyediakan solusi isu. Budaya politik ini akan mendidik penagih-penagih politik yang bersifat oportunis dan tidak bertanggungjawab.

 

Jalan Mati

Dikatakan kemuncak bencana politik populisme tercatat ketika kemenangan Donald Trump sebagai presiden Amerika. Keputusan yang mengejutkan semua. Sesetengah pengamat politik Barat kaget melihat betapa politik gimik yang mereka amalkan, sebenarnya memperjudikan nasib negara dan kepentingan mereka sendiri.

Elitis politik mahu menggambarkan kononnya mereka suka bersama dengan golongan bawahan. Trump pernah muncul dalam program wrestling pada 2007. Memaparkan figur bangsawan yang ‘cool’ kerana sudi melayan hiburan rakyat Amerika yang ‘awesome’. Demikian sebagai contoh, kaedah lakonan yang acah-acah marhaen, ‘sporting’ lagi ‘enjoy’.

Orang ramai bukan tidak tahu ia hanyalah lakonan. Tetapi mereka telah terdidik untuk ketagih melihat lakonan siapa yang paling memukau. Faktor wow amat penting bagi mereka.

Hasilnya, mereka berlumba melantik golongan yang paling penipu dan bercakap besar sebagai pemimpin. Mereka akan melantik siapa yang paling sanggup menipu dalam menawarkan janji-janji manis. Sesiapa yang mempertikaikan janji-janji retorik tersebut, akan diselar kerana mengganggu mimpi indah mereka.

Yang lebih gila, bancian, polling dan penggemar (likers) di laman sosial boleh dibayar agar kelihatan popular. Gejala itu diketahui ramai tetapi ia dianggap normal seiring dengan peredaran politik zaman sekarang. Kajian-kajian berbayar diangkat walhal semua dapatan dan data telah dimanipulasi agar memihak kepada pelobi-pelobi mereka. Dari kajian persepsi palsu tersebut, akan memaksa orang ramai agar memberikan sokongan supaya mereka tidak dilihat ketinggalan dari arus popular.

Semua ini menjerumuskan politik Barat ke jalan mati. Apabila masalah sebenar tidak dibincangkan secara serius. Kejujuran dianggap tidak popular. Maka terbinalah politik serba tipu dan pengamal politik pragmatis.

Setiap isu cuba diulas dengan cara simplistik. Tidak perlu berfikir, tidak perlu kritis dan kritikal. Apabila penerangan tentang realiti masalah dan solusi tidak diagendakan, maka suburlah politik ejek-mengejek (troll) yang merendahkan kualiti budaya berpolitik. Hal ini kerana dengan ejekan, merupakan jalan pintas untuk mengekspresikan perasaan kononnya mereka bersama-sama dengan golongan tertindas. Lantas tercapailah tujuan meraih penyokong yang berkongsi rasa geram yang membabi-buta. Memanipulasi emosi.

 

Malapetaka

Beberapa majalah terkemuka Barat membahaskan topik ini sebagai serius. Antaranya adalah majalah Foreign Affair keluaran November / Disember 2016 dan majalah Time keluaran Mac 2017. Jika pembaca maklum akan kedudukan majalah-majalah seperti itu, pasti kita akan memahami bahawa isu populisme bukan main-main.

Bahkan banyak kajian-kajian dibuat berserta diagram menerangkan akar, cara beroperasi dan bahana populisme. Rata-rata penganalisis menganggap populisme adalah bencana politik. Mereka menjadikan kemenangan Trump dan fantasi Brexit sebagai contoh utama.

Perkembangan ini juga menyumbang simptom ketepuan politik yang menyebabkan rakyat semakin benci politik sekaligus mereka merasa anti terhadap politikus.

Selaku negara dunia ketiga, kita tidak boleh nafikan permasalahan yang berlaku di Barat akan turut merebak ke sini.

 

Salah Faham

Tidak sedikit yang merasa skeptikal dengan kekhuatiran terhadap populisme. Amat malang, populisme tidak mahu difahami dengan cermat. Maka muncullah kefahaman bahawa populisme kononnya tidak boleh bergambar ‘selfie’, tidak perlu menjaga penampilan dan banyak lagi tanggapan-tanggapan yang dangkal. Maka dari salah faham tersebut mereka melancarkan ejekan-ejekan sinis. Hakikatnya hanya mendedahkan kejahilan diri mereka sendiri.

 

Evolusi Pop Islamisme

Jika kita tidak beringat dengan apa yang telah terjadi di Barat, sudah pasti politik dakwah kita berevolusi menjadi sesuatu yang tidak diingini. Islam yang dipersembahkan dalam bentuk ringan, mesra massa, tidak kontroversi, superfisial, dengan tujuan utama semata-mata mahu menarik audien. Itulah gambaran Pop Islamisme yang berjangkit dari populisme.

Muncul pegangan bahawa tidak mengapa berlakon asalkan disukai ramai. Perlu baik dan kelihatan baik. Akhirnya cukup kelihatan baik walaupun hakikatnya bertentangan kerana matlamat utama meraih persepsi positif masyarakat telah tercapai. Mesti bekerja dan dilihat bekerja. Akhirnya cukup dilihat bekerja walaupun sebenarnya tidak bekerja. Dokumentasi angka prestasi dibanggakan walaupun hakikatnya menipu diri sendiri.

Budaya dakwah pula berubah. Dari bermatlamat menginsafkan orang ramai kepada meraih kesukaan orang ramai. Akhirnya yang dibanggakan hanyalah kreativiti persembahan dakwah, bukan dakwah yang menyedarkan. Respon suka, hilai tawa dan angka audien dijadikan parameter kejayaan dakwah. Maka mesej kebenaran ditinggalkan terbengkalai kerana resam kebenaran selalunya dibenci ramai. Sekaligus amat bertentangan dengan nilai populisme.

Slogan demi slogan dipersembahkan meskipun retorik. Sokongan diraih melalui kejahilan manusia. Sebarang seruan yang menyedarkan akan dianggap pengacau kepada survival populisme.

 

Al-Amin Yang Memikat Fitrah

Populisme bukanlah perbincangan tentang niat seseorang, kerana niat merupakan perkara tersembunyi yang menjadi rahsia Allah. Persoalan ikhlas atau sebaliknya tidak berada di bawah capaian radar penilaian kita. Yang perlu dibincangkan adalah kaedah dalam meraih sokongan dan manipulasi isu.

Nabi sangat popular, kerana kredibiliti al-Amin. Bukan atas kepalsuan dan pragmatik mengikut arus semata-mata. Sebaliknya Nabi cekal membawa arus sendiri, tanpa perlu menukar karektor identiti dan pembawakan Islamnya. Baginda tidak menjadikan restu orang ramai sebagai penentu. Tegas dan jujur itulah menyebabkan baginda popular dan dipercayai.

Jika Populisme relevan di sisi Islam, ke mana kita mahu letakkan hadith-hadith Nabi tentang fenomena akhir zaman yang menyaksikan kebenaran dan pendukungnya akan dilihat tidak popular di kalangan masyarakat yang serba rosak? Kerana ukuran kita adalah wahyu.

 

Abdul Mu’izz Muhammad
22 Ogos 2017

Tinggalkan komen anda