AYAT 83 & 84: ZULKARNAIN KEDUA AKAN MUNCUL

Oleh: Alang Ibn Shukrimun
16 Ramadhan 1441 / 9 Mei 2020

*SIRI 15 – DARI BUKU DI BAWAH NAUNGAN AL-KAHFI; PERSIAPAN TENTERA AL-MAHDI (JILID 2)

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Zulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

Intisari Penting

1- Siapa Zulqarnain

Ar-Razi berpandangan bahawa baginda adalah Nabi. Namun pandangan yang masyhur adalah beliau bukan Nabi sebaliknya raja yang Soleh. Dr Abdul Fattah al-Khalidi menyimpulkan 4 identiti Zulkarnain yang masyhur di kalangan Ulama:

1) Raja di zaman Nabi Ibrahim. Ibn Abbas meriwayatkan Zulqarnain pernah ke Masjidil Haram dan bersalaman dengan Nabi Ibrahim. Ini merupakan pandangan al-Azraqi, al-Bukhari, Ibn Hajar dan Ibn Kathir.

2) Cyrus The Great (559 SM), penguasa Parsi pertama. Pendapat ini popular awal era moden ini selepas Maulana Abul Kalam Azad dan Abdul Rahman Khadir membawa hujah yang sangat banyak mengenainya. Menurut Azad, kesemua pendapat terdahulu dan menyimpulkan bahawa tidak ada satupun yang menepati sifat-sifat Zulqarnain secara keseluruhan. Bahkan apabila dilihat fakta mengenai Cyrus, ia bertepatan dengan watak Zulqarnain seperti yang diceritakan di dalam surah ini. Pendapat ini disokong oleh ulama dan pemikir Islam kontemporari seperti An-Nadawi, as- Syaarawi, Said Hawa dan Al-Khalidi.

3) Alexander The Great (323 SM), penguasa empayar Greek. Inilah pendapat paling masyhur di kalangan ulama’ tafsir dan sejarah. Ar-Razi dan An-Naisaburi berpendapat dia pengikut Aristotle dan tokoh falsafah itu mentauhidkan Allah.

4) Raja Himyar, Yaman bernama Abu Bakar bin Ifriqish (320m). Raja ini berbangsa arab dan pernah menguasai Afrika sehingga dinamakan benua tersebut sempenanya. Ini merupakan pandangan al-Biruni kerana gelaran ‘zu’ digunakan oleh raja-raja Himyar seperti Zu Kazi, Zun Nadi, Zu Nuwas, Zu Nun dan sebagainya.

Menurut Syed Qutb, walaupun dia cenderung kepada pandangan al-Biruni, namun tiada kaedah untuk menentukan kebenarannya kerana sejarah-sejarah yang tertulis muncul jauh selepas peristiwa itu berlaku. Juga kerana ia merupakan riwayat manusia yang tidak terlepas daripada kesilapan. Maka lebih baik mengekalkan identiti Zulqarnain sebagai rahsia kerana hikmah Allah merahsiakannya supaya kita fokus dengan pengajarannya.

2- Pertanyaan

Kisah ini merupakan sambungan kepada jawapan terhadap persoalan yang diajukan kepada Nabi. Ar-Razi menukilkan dari Ibn Ishak bahawa Bani Israel meminta Quraisy bertanyakan mengenai pengembara ke timur dan barat dunia. Namun dijawab oleh Nabi SAW dengan tambahan arah ketiga. Membuktikan wahyu yang diterima Nabi lebih luas daripada maklumat Yahudi.

Menurut as-Syaarawi, terdapat 15 perkataan ‘mereka bertanya kamu’ (ويسألونك) tetapi cara jawapannya berbeza. Menunjukkan bukan semua soalan perlu dijawab lurus tetapi perlu mengikut audiens yang bertanya.

3- Tamkin

Tamkin daripada perkataan mungkin, bermaksud kemungkinan untuk melakukan apa sahaja, atau secara mudahnya bermaksud berkuasa. Zulqarnain adalah seorang raja beriman yang menguasai dunia dari timur hingga ke baratnya.

Said Hawa menjelaskan, ini adalah tempelak kepada orang yang tidak yakin dengan perjuangan Islam. Jangan menyangka bila bersama Islam, kita hilang kuasa. Bahkan sebaliknya, kisah ini menunjukkan kuasa orang beriman lebih hebat daripada mana-mana penguasa lain.

Ibrah Akhir Zaman

Syeikh Imran Hosein berpandangan Zulqarnain bukan merujuk kepada dua tanduk, tetapi dua zaman. Ini kerana jika dilihat seluruh ayat al-Quran mengenai qarn, semuanya merujuk kepada zaman. Ini bermaksud Zulqarnain merupakan dua orang raja; salah satunya telah berlalu dan satunya akan datang. Kedua-duanya memainkan peranan sama iaitu menyelamatkan manusia daripada Yakjuj dan Makjuj.

Pandangan ini boleh diperluaskan lagi dengan mengaitkan hadis berikut:

مَلِكِ الأَرْضَ أَرْبَعَةٌ؛ مُؤْمِنَانِ، وَكَافِرَانِ. فَالْمُؤْمِنَانِ: ذُو الْقَرْنَيْنِ وَ سُلَيْمَانُ. وَالْكَافِرَانِ: نُمْرُوذُ، وَبُخْتَنَصَّرُ. وَسَيَمْلِكُهَا خَامِسٌ مِن أَهْلِ بَيْتِي.

Raja dunia ada empat; dua beriman dan dua kafir. Yang beriman adalah Zulqarnain dan Sulaiman. Yang kafir pula adalah Namrud dan Bukhtanassar (Nebuchanezzar II). Orang kelima akan menjadi raja dunia adalah keturunanku. [HR Ibn Jauzi]

Al-Qurtubi menyatakan ia adalah al-Mahdi. Sememangnya di akhir zaman nanti, Imam Mahdi akan menegakkan kerajaan Islam sejagat yang disebut oleh Nabi SAW sebagai Khilafah atas Manhaj Nubuwwah kedua. Syeikh Imran Hosein menggelarkan sebagai Pax-Qarnain atau Pax-Islamica. Baginda akan dibantu oleh Nabi Isa AS. Antara siri perjuangan mereka adalah memerangi Yakjuj dan Makjuj. Setelah itu, mereka mencipta keamanan dunia yang belum pernah dicatatkan sejarah (rujuk tajuk ayat 21: Khalifah Akhir Zaman Akan Tertegak).

Semua orang boleh melakar sejarah sama jika menepati syarat-syarat kemenangan Islam. Dr Yusof al-Qardhawi menyenaraikan di dalam bukunya Generasi Kemenangan Yang Ditunggu, lapan sifat yang perlu ada kepada generasi yang mahu berkuasa iaitu:

a. Menjadikan ilmu sebagai dasar.
b. Berada dalam Gerakan Islam.
c. Ikhlas.
d. Berjihad.
e. Terasing tetapi hidup di tengah masyarakat.
f. Memiliki izzah.
g. Rasional.
h. Sentiasa bertaubat.

Jika diteliti, sifat-sifat ini telah terkumpul pada pemuda Ashabul Kahfi. Maka Allah berikan kemenangan kepada mereka dalam bentuk tertegaknya kerajaan beriman dalam keadaan mereka tidur. Kisah Zulkarnain merupakan kesinambungan sebuah kemenangan. Ia mengajar cara bagaimana untuk memerintah dengan cara Islam agar pemerintahan tersebut berkekalan dengan izin Allah SWT. Kita akan mempelajarinya dalam ayat-ayat seterusnya.

Nota:

*Bagi huraian yang lebih lengkap, nantikan jilid 2 buku Di Bawah Naungan al-Kahfi; Persiapan Tentera al-Mahdi.

**Bagi mendapatkan jilid 1, boleh ke link Shopee berikut:

https://shopee.com.my/product/136494605/6612839044?v=d19&smtt=0.0.3 (HQ)

https://shopee.com.my/product/35513597/7610802994?v=ae5&smtt=0.0.3 (Ejen)

Tinggalkan komen anda