AYAT 80 & 81: FITNAH ANAK ISTERI DAN KEPUPUSAN TAJARRUD

Oleh: Alang Ibn Shukrimun
13 Ramadhan 1441 / 6 Mei 2020

*SIRI 13 – DARI BUKU DI BAWAH NAUNGAN AL-KAHFI; PERSIAPAN TENTERA AL-MAHDI (JILID 2)

Firman Allah SWT:

وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

فَأَرَدْنَا أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya dari sudut kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya.

Ibrah Akhir Zaman

1- Fitnah Budak Dan Wanita

Perasaan kasih merupakan fitrah setiap manusia. Ia wujud pada semua orang tidak kira betapa jahatnya mereka. Namun kasih atau cinta yang keterlaluan kadang-kadang boleh mengatasi rasional akal. Kerana cinta, hitam boleh jadi putih, kebenaran boleh dilihat sebagai batil.

Perkara ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja`ie memiliki anak dan keluarga yang besar. Setiap kali ingin keluar berperang, mereka akan menangis dan memujuk supaya tidak keluar menyebabkan Auf membatalkan niat. Lalu turun firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu. Oleh itu berjaga-jagalah kamu terhadap godaan mereka [At-Taghabun:14]

Inilah yang perlu dibimbangi di akhir zaman ini. Dengan berbagai kekeliruan yang bertebaran, ditambah pula godaan emosi yang dimainkan oleh anak dan isteri, sudah tentu bukan senang untuk bertahan jika iman senipis kulit bawang.

Hari ini, anak-anak kecil dan wanita dijadikan alat untuk menarik simpati massa bagi mempercayai sesuatu propaganda yang dibawa (weaponized). Fitrah kita cuba dimanipulasikan dengan perkara-perkara superficial hingga menyebabkan pertimbangan rasional kita dalam menyelidik sesuatu secara objektif teralih dengan emosi simpati, marah dan kasih terhadap mereka, lalu kita menilai dengan emosi semata-mata.

Bagi membuatkan seseorang nampak jahat, diambil gambar budak kecil dalam keadaan menyayat hati. Lalu dilaporkan berita palsu kononnya budak ini menjadi mangsa pihak tertentu. Rasa simpati terhadap budak itu dan marah terhadap pelaku membuatkan kita terus percaya apa yang dilaporkan, walaupun sebenarnya ia hanya lakonan di sebuah studio.

Bagi menaikkan semangat juang rakyat untuk bangkit menentang sesebuah kerajaan, diangkat seorang wanita sebagai ikon kebangkitan. Lalu timbul pada perasaan masyarakat, kalau wanita sanggup bangkit, kenapa tidak kita? Walhal wanita itu hanyalah alat dan terus diabaikan apabila mencapai apa yang dikehendaki.

Inilah yang berlaku dalam siri-siri Arab Spring dan rentetan daripadanya. Inilah gambaran kebanyakan propaganda revolusi rakyat dan juga peperangan. Jika dijejaki fakta sebenar, sebenarnya ia adalah plot terancang pihak musuh politik pihak yang diserang.

Dajjal juga akan menggunakan modus operandi yang sama. Mereka yang mudah menyentuh emosi kita akan dipergunakan untuk mengajak kita menjadi pengikutnya. Nabi SAW gambarkan suasana ketika zaman kemarau di ambang kemunculan Dajjal:

يَأتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَخرُجُونَ إِلَى الأَرْيَافِ فَيُصِيبُونَ مِنهَا مَطْعَمًا ومَلْبَسًا ومَرْكَبًا (أوْ قَالَ مَرَاكِبَ) فَيَكتُبُونَ إِلَى أَهْلِيهِم هَلُمَّ إِلَينَا فَإِنَّكُم بِأَرضِ حِجَازٍ جَدُوبَةٍ وَالمـَدِينَةُ خَيرٌ لَهُم لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Akan tiba satu zaman segerombolan penduduk dari Hijaz bagi keluar merantau bagi mendapatkan makanan, pakaian dan kenderaan. Lalu mereka menulis kepada keluarga di kampung mengajak untuk keluar juga kepada mereka. Pada waktu itu Hijaz dilanda kemarau. Sedangkan Madinah adalah negeri terbaik bagi mereka jika mereka mengetahui. [HR Al-Munziri]

Dajjal juga akan mempergunakan watak ibubapa sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

وَإنَّ من فتنتِه أن يقولَ للأعرابيِّ : أرأيتَ إن بَعَثْتُ لك أباك وأمَّك أَتَشْهَدُ أني ربُّك ؟ فيقولُ : نعم ، فيتمثلُ له شيطانانِ في صورةِ أبيه وأمِّه ، فيقولانِ : يا بُنَيَّ اتَّبِعْهُ ، فإنه ربُّك

Antaranya fitnahnya, dia akan berkata kepada orang badwi: “Jika aku bangkitkan ibu dan bapa kamu (yang telah mati) maka adakah kamu akan mempercayai bahawa aku tuhanmu?” Maka orang badwi berkata: “Ya”. Lalu dua ekor syaitan berupa dengan rupa ibu dan bapanya lalu berkata: “Wahai anakku, ikutlah dia (Dajjal). Dia adalah tuhanmu”. [HR Ibn Majah]

Di sinilah kita perlu bersedia untuk mengorbankan segala perasaan sayang terhadap sesiapapun demi mempertahankan akidah. Kita mesti memiliki daya tahan yang tinggi untuk meletakkan rasional sentiasa di hadapan (rujuk ayat 6: Majoriti Dunia Pengikut Dajjal)

2- Tajarrud Diancam Kepupusan

Budak kecil itu dibunuh kerana ingin menyelamatkan iman ibu bapanya. Syeikh Imran Hosein berpandangan ia adalah isyarat bahawa kita mesti mengelakkan diri daripada semua bentuk jalan yang boleh menjerumuskan ke dalam kekufuran. Juga bibit-bibit dan anasir kekufuran perlu dibasmi daripada awal sebelum ianya merebak menjadi lebih parah.

Inilah konsep yang diperkenalkan oleh Imam Hasan al-Banna sebagai tajarrud. Ia bermaksud murni atau tulen, tidak bercampur dengan sesuatu yang asing. Ia merupakan salah satu daripada rukun bai’ah yang lazimnya dilumati oleh setiap anggota gerakan Islam.

Agama Islam adalah agama yang sudah lengkap. Tidak ada lagi agama atau teori yang boleh menandinginya. Firman Allah SWT:

صِبْغَةَ اللَّـهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

(Islam ialah) celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. [Al-Baqarah:138]

Saidina Umar pernah cuba membaca kitab Taurat lalu Nabi SAW menegurnya dengan bersabda:

أَفِي شَكٍّ أَنْتَ يَا ابْنَ الخَطَّابِ؟ أَلَمْ آتِ بِهَا بَيْضَاءً نَقِيَّةً؟ لَوْ كَانَ أَخِي مُوسَى حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلاَّ اتِّبَاعِي

Adakah kamu meragui sesuatu wahai Ibn Khattab? Bukankah aku telah datangkan Islam jelas dan suci? Kalaulah saudaraku Musa masih hidup, dia pasti akan mengikutiku jua. [HR Ahmad]

Umat hari ini semakin mengesampingkan sikap tajarrud ini. Akibat menerima pendidikan daripada tamadun asing, mereka merasakan banyak yang Islam perlu terima daripada tamadun asing sebagai solusi masalah tertentu dalam keadaan mereka tidak tahu sebenarnya perkara tersebut telah wujud dalam Islam dan lebih baik. Mereka yang tahu sedikit tentang Islam pula merasakan tidak ada masalah untuk menerima ideologi-ideologi seperti liberalisme, sosialisme, feminisme, pluralisme dan seumpamanya kerana ia dilihat selari dengan Islam, walhal hakikatnya cuma beberapa sudut sahaja dikongsi dengan Islam.

Ada juga golongan Islam yang menilai praktis semasa tidak salah dari perspektif Islam, lalu melabelkan sebagai Islamik. Contohnya mengiktiraf kepatuhsyariahan bon dan sukuk lalu menganggap ia adalah cara Islam dalam permodalan. Sedangkan bon dan sukuk itu masih di dalam kerangka perbankan barat yang bertunjangkan kepada konsep hutang dalam menjana ekonomi. Cara Islam pula lebih luas merangkumi sebuah sistem ekonomi, bukan melalui kaedah hutang sahaja.

Begitu juga dalam pentadbiran negara. Kita sekadar melihat aspek good governance seperti tidak rasuah, pilihanraya telus dan berjimat sahaja sebagai pentadbiran Islamik. Sedangkan kita masih dibelenggu dengan sistem sekular yang bercanggah dengan Islam dari sudut sistem kehakiman, legislatif dan sebagainya. Adakah sistem pengurusan sumber manusianya Islamik? Adakah perlantikan jawatan mengikut cara Islam?

Justeru umat ini perlu kembali menghayati tajarrud yang semakin terhakis dek globalisasi berkiblatkan barat. Ia perlu bermula dengan merombak sistem pendidikan supaya lebih bersifat ekslusif daripada sumber Islam sahaja di peringkat awal. Dalam perbahasan ilmu keduniaan seperti sains, matematik dan sejarah, selitkan unsur-unsur melihat kebesaran Allah. Setelah ilmu asas berkenaan Islam berjaya dihayati, baharulah dedahkan pengetahuan yang datang daripada barat jika perlu.

Pendidikan pada peringkat awal menentukan arah hidup seseorang. Ia juga cerminan generasi hadapan Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih). Ibu bapanyalah yang manjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi. [HR Bukhari]

Ibubapa memainkan peranan yang sangat penting agar anak tidak sesat. Jika tidak diberikan pendidikan yang betul, mereka pula yang berpotensi untuk menyesatkan kita.

Bagi yang telah dewasa, belum terlambat untuk mula belajar dan menggali khazanah Islam dan mencari solusi masalah dunia sekarang setelah berbagai ideologi terbukti gagal. Bukankah agama Islam itu adalah satu panduan kepada manusia untuk hidup berjaya di dunia dan akhirat?

Nota:

*Bagi huraian yang lebih lengkap, nantikan jilid 2 buku Di Bawah Naungan al-Kahfi; Persiapan Tentera al-Mahdi.

**Bagi mendapatkan jilid 1, boleh ke link Shopee berikut:

https://shopee.com.my/product/136494605/6612839044?v=d19&smtt=0.0.3 (HQ)

https://shopee.com.my/product/35513597/7610802994?v=ae5&smtt=0.0.3 (Ejen)

Tinggalkan komen anda