AYAT 79: FIKRAH PERJUANGAN AL-MAHDI DAN KESELAMATAN SIBER

Oleh: Alang Ibn Shukrimun
12 Ramadhan 1441 / 5 Mei 2020

*SIRI 12 – DARI BUKU DI BAWAH NAUNGAN AL-KAHFI; PERSIAPAN TENTERA AL-MAHDI (JILID 2)

Firman Allah SWT:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

Ibrah Akhir Zaman

1- Fikrah Perjuangan Imam Mahdi

Dr Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan bahawa kisah ini turut memberi pengajaran apabila pemerintah menjadi rosak, maka ulama’ perlu muncul memperbetulkannya. Kedua, pihak ini merupakan Ulil Amri sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Baihaqi dan Ibn Kathir. Itulah peranan yang dimainkan oleh Nabi Khadir.

Ulama’ silam memainkan peranan yang sepatutnya sebagai seorang alim. Lihat sejarah Imam Abu Hanifah, As-Syafie, Malik dan Ahmad, Izzuddin Abdul Salam, Ibn Taimiyyah, semuanya berhadapan dengan pemerintah di zaman mereka dengan tegas. Zaman penjajah, ulama’ lah yang membangkitkan kesedaran umat untuk bangkit berjuang di setiap belahan dunia seperti Umar Mukhtar di Libya, Ben Badis di Tunisia, Yakub Beg di Transoxania, Imam Shamil di Dagestan, Maududi di Subcontinent, Tok Janggut di Tanah Melayu, Syeikh Ahmad Yasin di Palestin dan ramai lagi.

Peranan Ulama cuba dilemahkan oleh penguasa sekular dengan berbagai cara samada secara halus seperti habuan kedudukan dan kemewahan, perbalahan sesama Islam mahupun kasar dengan ugutan, seksaan dan pembunuhan. Kerana mereka tahu, pengaruh ulama’ sangat besar dalam kalangan rakyat.

Maka Ulama’ Islam perlu menyedari peranan mereka yang sebenar. Bukan sekadar mengajar ilmu agama, tetapi memimpin perjuangan membebaskan politik daripada penguasa zalim. Bukan sekadar berjihad di alam akademik, tetapi turut berjihad di medan politik.

Ulama’ Islam perlu merasa bertanggungjawab terhadap masyarakat lemah yang ditindas samada kerana kezaliman penguasan mahupun kezaliman sistem pemerintahan. Mereka perlu menjadi agen perubah (musleh) dari individu hingga negara kerana itu adalah tugas para Nabi, dan mereka adalah pewarisnya (rujuk ayat 37 & 38: Bala Tertahan Kerana Musleh Bukan Kerana Soleh).

Fikrah ini perlu ditanam dalam diri para ulama` dan seluruh umat Islam akhir zaman. bukan fikrah menunggu Imam Mahdi datang untuk menyelamatkan kita tanpa berbuat apa-apa persediaan. Ayat-ayat tentang jihad tidak pernah ternasakh sehingga kini.

Fikrah perjuangan menentang penguasa zalim adalah fikrah yang dibawa oleh Imam Mahdi sendiri. Baginda bangkit bagi membela nasib manusia yang ditekan oleh sistem Dajjal yang merajai dunia. Baginda mengangkat senjata memerangi satu persatu proksi Dajjal di seluruh belahan dunia hingga akhirnya, Dajjal sendiri muncul.

Maka pengikutnya juga perlu bersedia memiliki fikrah sebegini bagi melayakkan diri sebagai tentera al-Mahdi. Jika tidak, kita akan dikelirukan dengan kesangsian adakah dia al-Mahdi sebenar ataupun palsu. Hanya mereka yang berkongsi fikrah yang sama sahaja boleh bersama al-Mahdi, laksana pertemuan pemuda Ashabul Kahfi sesama mereka.

2- Pertingkatkan Keselamatan Siber

Kerosakan dunia akhir zaman ini terdorong oleh sifat tamak penguasa-penguasa dunia yang tidak cukup dengan apa yang Allah berikan kepada mereka. Pepatah ada menyebutkan, absolute power corrupts absolutely bermaksud mereka yang memiliki kuasa mutlak pasti akan melakukan salah laku. Ini kerana tiada sesiapa yang lebih berkuasa daripada mereka untuk mengambil tindakan.

Begitulah halnya dalam dunia politik antarabangsa. Sekiranya terdapat kuasa unipolar, mereka akan cenderung melakukan apa sahaja bagi menjamin hegemoni mereka. Tidak ada soal halal haram, kepentingan mereka adalah materialistik semata-mata. Atas dasar ini, perlunya kepada umat Islam berwaspada dalam berurusan dengan mana-mana kuasa besar. Mereka ibarat serigala lapar yang sentiasa tajam mencari kekayaan negara-negara kecil untuk diperah. Apabila mereka mahu, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkannya.

Itulah sikap US terhadap dunia Islam hari ini. Kerana sumber, lokasi dan potensi yang kita miliki, mereka mengatur berbagai rancangan bagi memastikan tanah umat ini dikuasai. Menurut bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan US Zbigniew Brzezinski, cara menguasai tanah air umat Islam adalah dengan strategi balkanization iaitu pecah dan perintah. (rujuk ayat 78: Majma’ Taqrib Sala-Khalaf Tangani Sektarian Mazhab).

Untuk menjayakan strategi tersebut, mereka perlu bersekutu dengan rakan strategik yang dekat dengan dunia Islam seperti Israel. Keakraban US dan Israel tidak perlu diceritakan lagi. Sokongan US terhadap perluasan kuasa Israel bertujuan melemahkan kuasa politik umat Islam. America-Israel Friendship League yang ditubuhkan sejak 1971 menjadi platform integrasi bagi menjadikan mereka sebagai teraju dunia dalam sektor pertanian, kesihatan, budaya, teknologi dan kemanusiaan.

Hasil kerjasama, Israel kini menjadi peneraju dalam dunia teknologi terutama sektor keselamatan siber (cyber security). Walaupun mereka cuma menyumbang kepada 0.1% populasi dunia, namun syer Israel dalam sektor tersebut hampir 20% daripada jumlah pelaburan global. Begitu juga dari sudut teknologi kecerdasan buatan (AI), syarikat AI milik Israel sahaja menyumbang 20% daripada jumlah global. Kemungkinan ianya sudah melebihi China dan hanya setapak di belakang US.

Keseriusan Israel dalam bidang keselamatan siber sangat perlu dibimbangi oleh umat Islam. Ia berkait dengan kerahsiaan data dan maklumat. Dunia yang sedang beralih kepada norma baharu pendigitalan hidup akan mengoptimumkan perkongsian maklumat di alam maya. Ini tentu sekali akan mendedahkan umat ini kepada maklumat-maklumat sulit bukan sahaja berkait dengan perbendaharaan, malah pertahanan negara.

Kisah Nabi Khadir dan kapal turut mendedahkan taktik baginda dalam menghadapi penguasa yang pasti berbuat zalim dengan maklumat harta yang diperolehi. Ia juga perlu menjadi pengajaran bahawa kita perlu berhati-hati dengan penguasa dunia yang zalim seperti US dan Israel ini agar maklumat yang boleh menyebabkan mereka makin terliur untuk berbuat jahat kepada kita tidak terdedah. Musuh sedang berusaha melemahkan Islam dari segenap sudut supaya umat ini tidak mampu bertahan dengan fitnah Dajjal saat kemunculannya kelak (rujuk ayat 63: Pakatan Syaitan & Dajjal).

Apa yang membimbangkan, kesedaran mengenai perkara ini masih lemah dikalangan umat Islam. Kebanyakannya masih kejutan budaya dengan media sosial sehingga berkongsi apa sahaja di alam maya tanpa memikirkan risiko terhadap keselamatan diri, masyarakat dan negara (rujuk ayat 20: Big Data dan IoT Musuh Kerahsiaan).

Nota:

*Bagi huraian yang lebih lengkap, nantikan jilid 2 buku Di Bawah Naungan al-Kahfi; Persiapan Tentera al-Mahdi.

**Bagi mendapatkan jilid 1, boleh ke link Shopee berikut:

https://shopee.com.my/product/136494605/6612839044?v=d19&smtt=0.0.3 (HQ)

https://shopee.com.my/product/35513597/7610802994?v=ae5&smtt=0.0.3 (Ejen)

Tinggalkan komen anda