AYAT 60: IMAM MAHDI PERLU MELALUI PROSES TARBIAH

Oleh: Alang Ibn Shukrimun
24 April 2020

*SIRI 1 – DI BAWAH NAUNGAN AL-KAHFI; PERSIAPAN TENTERA AL-MAHDI (JILID 2)

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Ketika Nabi Musa berkata kepada budaknya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut atau aku terus berjalan bertahun-tahun”.

Ibrah Akhir Zaman

Ayat ini memfokuskan perbualan Nabi Musa AS dengan Nabi Yusha bin Nun AS. Walaupun watak utama di dalam kisah ini adalah Nabi Musa dan Nabi Khidr AS, namun pastinya terdapat hikmah dimunculkan watak Nabi Yusha di awal kisah.

Selain pengajaran membawa teman ketika bermusafir, pengajaran utama di dalam siri ini juga adalah soal proses pembinaan jati diri pelapis kepimpinan Bani Israel masa hadapan iaitu Yusha sendiri. Beliau adalah pengganti Nabi Musa. Kita perlu memahami bahawa pemimpin itu tidak lahir secara kun fayakun, tetapi ia perlu melalui proses pembinaan dan latihan yang konsisten.

Keseluruhan kisah pengembaraan Nabi Musa AS adalah berkisarkan tentang kepentingan ilmu. Maka di dalam proses pembinaan kepimpinan, perkara terpenting adalah aspek ilmu dan pengisian fikrah. Jika kita merujuk kepada ayat-ayat mengenai perlantikan jawatan kepimpinan, semuanya meletakkan ilmu sebagai ciri-ciri yang wajib ada pada pemimpin.

Firman Allah mengenai perlantikan Nabi Yusof sebagai menteri:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya memiliki sifat yang pandai menjaga lagi berilmu”. [Yusuf:55]

Begitu juga dalam kisah perlantikan Talut sebagai raja kepada bani Israel. Firman Allah WT:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.” Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya. Dia tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya. [Al-Baqarah:247]

Bicara Nabi Musa kepada Yusha mengenai azamnya adalah bicara hati ke hati. Nabi Musa berkongsikan perasaannya bertujuan supaya apa yang disampaikan masuk ke hati kepada anak didiknya itu. Ini merupakan satu konsep pendidikan yang sangat berkesan.

Proses pentarbiyyahan yang dijalankan oleh Nabi Musa terhadap Yusha bukan sekadar berteori dan berceramah sahaja. Malah Nabi Musa membawa bersama Yusha merasai secara praktikal dunia sebenar bagi melihat situasi yang Nabi Musa sendiri hadapi tanpa sebarang rahsia dan selindung. Kombinasi teori dan praktikal dalam pembinaan jatidiri adalah satu keperluan agar pengajaran itu difahami secara lebih mendalam.

Banyak lagi pendekatan-pendekatan yang boleh dikaji dalam kisah ini. Pokok pangkalnya, kita perlu mengakui bahawa bagi mencapai kebangkitan Islam, pembinaan generasi perlu dilakukan.

Apatah lagi kita berada di akhir zaman ini. Nabi SAW menyatakan bahawa kita akan berada pada fasa kelima pemerintahan Islam iaitu fasa Khilafah atas Manhaj Nubuwwah (rujuk tajuk ayat ke-59; Kejatuhan Orde Antarabangsa Liberal).

Maka perlunya untuk umat Islam memulakan pembinaan generasi yang akan menegakkan khilafah tersebut. Walaupun penegakan khilafah tersebut telah dijamin akan berlaku, namun akidah perjuangan yang perlu kita fahami adalah perjuangan ini secara sunnatullahnya melalui proses demi proses. Perjuangan para anbiya` sebagai para kekasih Allah sendiri melalui tarbiyyah sejak mereka kecil. Apatah lagi manusia biasa dan umat akhir zaman yang tidak ada lagi Nabi ini.

Khilafah yang dimaksudkan adalah khilafah yang dipimpin oleh seorang lelaki berketurunan Rasulullah SAW yang bergelar al-Mahdi sebagaimana diperakui oleh Dr Muhammad bin Ghaith di dalam bukunya Ahadith Asyrat As-Saah Wa Fiqhuha. Hal ini dijelaskan di dalam hadis yang banyak sehingga perihal Imam Mahdi dikira sebagai mutawatir oleh ulama hadis dan ilmuwan lain termasuk Ibn Khaldun.

Antara yang masyhur adalah Sabda Rasulullah SAW:

يقتتلُ عندَ كنزِكم ثلاثةٌ، كلُّهمُ ابنُ خليفةٍ، ثمَّ لاَ يصيرُ إلى واحدٍ منْهم، ثمَّ تطلعُ الرَّاياتُ السُّودُ من قبلِ المشرقِ، فيقتلونَكم قتلاً لم يقتلْهُ قومٌ، ثمَّ ذَكرَ شيئًا لاَ أحفظُهُ فقالَ، فإذا رأيتموهُ فبايعوهُ ولو حبوًا على الثَّلجِ، فإنَّهُ خليفةُ اللهِ المَهديُّ.

Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, kesemuanya dari kalangan putera raja. Tidak ada seorangpun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi SAW menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah padanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi. [HR Ibn Majah]

Nabi SAW tidak menyebutkan secara spesifik siapakah beliau, bilakah akan muncul dan siapakah satu-persatu pengikutnya. Apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin gerakan Islam ketika ini adalah mendidik seramai mungkin generasi Islam dengan kefahaman dan tugas-tugas perjuangan serta pentadbiran Islam. Harapannya agar lahir daripada hasil didikan ini orang yang bergelar al-Mahdi ataupun salah seorang dari pengikutnya nanti.

Ada sebahagian berpandangan Imam Mahdi akan ditarbiyah sendiri oleh Allah pada satu malam sahaja berdasarkan hadis:

المهدي منا أهل البيت ، يصلحه الله في ليلة

Al-Mahdi daripada kami Ahli Bayt, Allah akan perbaiki urusannya pada satu malam. [HR Ahmad]

Menurut Syeikh Nasiruddin Albani dan Syeikh Muhammad Arifi, ia bukanlah bermaksud asalnya Imam Mahdi itu ahli maksiat atau jahil sebelum Allah perbaiki urusannya. Kerana jika beliau baharu diberikan ilmu pada satu malam, ini bermakna beliau menerima wahyu sedangkan wahyu hanya turun pada Nabi sahaja. Jadi yang dimaksudkan adalah Allah memperbaiki dirinya dari sudut keterampilan dan ketokohan sehingga mampu dilihat sebagai pemimpin umat Islam sejagat.

Ini bermaksud beliau juga melalui proses pembinaan jati diri dan menuntut ilmu seperti manusia biasa. Tiada sesiapa tahu sebelumnya bahawa beliau adalah al-Mahdi termasuk dirinya sendiri. Walaubagaimanapun, sebelum diangkat sebagai khalifah beliau sudah memiliki ilmu syariat yang secukupnya hasil didikan yang diterima. Justeru, didikan itu perlu dilakukan oleh umat Islam terhadap generasi masa kini walaupun tidak mengetahui siapakah Imam Mahdi di kalangan kita.

Selain itu, umat Islam secara umumnya juga perlu mempersiapkan diri sendiri dengan berbagai cabang ilmu dan kemahiran terutama yang berkait dengan perjuangan dan pentadbiran Islam. Mana tahu jika kita sempat dengan zaman yang ditakdirkan tertegak khilafah, kita menjadi sebahagian daripada orang yang menegakkannya. Paling kurang pun, kita bukanlah dikalangan orang yang memeranginya.

Nota:

*Bagi huraian yang lebih lengkap, nantikan jilid 2 buku Di Bawah Naungan al-Kahfi; Persiapan Tentera al-Mahdi.

**Bagi mendapatkan jilid 1, boleh ke link Shopee berikut:

https://shopee.com.my/product/136494605/6612839044?v=d19&smtt=0.0.3 (HQ)

https://shopee.com.my/product/35513597/7610802994?v=ae5&smtt=0.0.3 (Ejen)

Tinggalkan komen anda