AWASI FALASI ‘TU QUOQUE’ DALAM POLITIK

Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad
19 April 2020

Apakah kita pernah mendengar ayat-ayat defensif dalam perbualan politik, yang cuba melindungi kesalahan pihak sendiri dengan membandingkan kesalahan pihak musuh? Ayat seumpama:

“Kamu jangan ungkit isu rasuah kami, pihak kamu pun lebih banyak makan rasuah”

“Kamu pun lebih banyak melanggar undang-undang berbanding kami”

“Kami tipu sedikit sahaja, berbanding kamu yang memang jenis penipu”

Falasi Hipokrit

Kesalahan logika seperti contoh ayat-ayat di atas, dikenali sebagai falasi tu quoque. Istilah tersebut diambil dari bahasa Latin yang bermaksud, kamu juga berbuat demikian.

Ia mencerminkan sifat hipokrit, apabila cuba menegakkan benang yang basah dengan menjadikan kesalahan orang lain sebagai benteng bagi kesalahan diri sendiri.

Kesan Buruk

Implikasi dari praktis falasi tu quoque adalah:

• Menjahanamkan sistem nilai masyarakat. Orang akan rabun menilai mana yang benar atau mana yang salah. Sebaliknya orang lebih tertumpu menilai siapa yang paling vokal bagi mewajarkan kesalahan masing-masing.

• Wacana politik akan pincang kerana hilang objektifnya yang sebenar. Apa yang diharapkan adalah percambahan idea serta budaya semak dan imbang. Namun lama kelamaan menjadi serangan peribadi yang tidak berkesudahan.

• Melahirkan politikus-politikus yang muflis moral. Dari tabiat gemar menegakkan benang yang basah, akan membesarkan ego mereka. Apatah lagi jika falasi tu quoque itu diajar kepada pengikut masing-masing.

• Membuatkan masyarakat merasa muak dengan politik kerana yang terpampang di hadapan mata mereka hanyalah politikus yang ‘2×5’ sahaja perangainya. Masing-masing ada isu kesalahan yang lebih kurang sama, mungkin bezanya hanya pada gaya defensif masing-masing sahaja.

• Menyuburkan anasir fanatisme dalam politik kerana meminta maaf atau sedia diadili dan mengakui kesalahan, dianggap sebagai menjatuhkan prestij parti masing-masing. Sementara para pengikut pula diajar supaya perlu terus membela sekalipun pada perkara yang salah.

• Menghilangkan keharmonian dalam komunikasi politik. Tiada rasa mahu insaf atau saling nasihat menasihati. Yang berbaki hanyalah gelora sadistik yang ternanti-nanti menunggu kesalahan lawan untuk digunakan sebagai benteng bagi kesalahan diri sendiri.

Matanglah

Kita perlu memupuk jiwa besar yang sebenar dalam berpolitik, bukan secara olok-olok. Apa yang dikhuatiri adalah, nilai politik kita hari ini kelihatan semakin susut.

Persaingan idea serta gagasan yang seharusnya ditawarkan kepada rakyat, berubah menjadi perbalahan falasi yang didorong oleh anasir fanatisme masing-masing. Dengan sikap tidak matang seperti itu, jangan salahkan rakyat jika mereka hilang kepercayaan lalu memborong semua kelompok politik adalah 2×5 sama sahaja tidak boleh diharap.

Tinggalkan komen anda