ANTARA POPULAR DAN POPULISME (KEPURA-PURAAN)

Masih ramai yang salah faham tentang populisme. Mereka menganggap populisme sama seperti popular. Kempen anti-populisme dianggap sebagai kempen anti-popular. Lalu mereka yang membawa kesedaran bahaya populisme dianggap kolot dan tidak memahami keperluan untuk popular.

 

ISME

Punca kekeliruan adalah kerana perkataan yang ditambah dengan imbuhan ‘isme’. Sememangnya ramai akan terkeliru bila berbicara tentang isme. Kerana itulah timbul golongan yang mendakwa liberalisme ada dalam Islam, sosialisme sebahagian dari ajaran Islam, pluralisme agama juga ajaran Islam. Sehingga muncul golongan Islam-liberal, Islam-sosialis dan muslim-demokrat!

Walhal yang sebenarnya ada dalam Islam adalah konsep liberal, sosial dan plural dari segi bahasanya, bukan istilah isme-nya. liberal bermaksud merdeka. Memang Islam menentang konsep perhambaan dan memperjuangkan kemerdekaan. Memang Islam memperjuangkan sosial dengan maksud masyarakat, dan menentang sikap ananiyah/penting diri. Memang di dalam Islam ada unsur pluraliti dalam sebahagian syariahnya, yang bermaksud kesaksamaan.

Tetapi Islam menentang liberalisme kerana ianya memberi maksud kebebasan mutlak sehingga langsung tidak terikat sebagai hamba kepada tuhan. Islam menentang sosialisme kerana menentang kebebasan individual dalam banyak segi. Islam menentang pluralisme agama kerana menganggap semua agama adalah sama dan semua betul.

 

PURA-PURA

Samalah juga halnya antara popular populisme. Islam tidak melarang popular dengan maksud masyhur atau viral dalam bahasa yang lebih urban. Islam sendiri begitu popular, Nabi SAW juga popular. Yang ditentang adalah populisme, kerana berpura-pura dan berlakon untuk popular. Menggunakan tipu daya untuk meraih populariti. Memanipulasi simpati dan tidak bersikap empati. Memainkan emosi dan sentimen, membelakangkan solusi dan relevan.

Supaya mudah faham, kata kunci yang boleh menerangkan populisme adalah ‘pura-pura’. Jika populariti diraih dengan cara berpura-pura, berlakon, manipulasi, maka itulah sikap populis. Tetapi jika popular kerana realitinya memang begitu, maka itu bukan populis dan tidak menjadi masalah.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang popular, tetapi tidak populis. Beliau popular kerana keperibadiannya yang jujur, amanah, baik dan bijak yang bukan dibuat-buat. Islam juga popular kerana ajarannya yang bernilai tinggi, penuh kebaikan, bukan hebat pada nama tapi kosong pada isi.

Populisme adalah terlarang di dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوْا وَيُحِبُّونَ أَنْ يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ مِنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” [Aal-E-Imran:188]

Juga firman Allah SWT:

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”[As-Saf: 3]

 

POPULIS VIRUS DEMOKRASI

Saintis politik terkemuka barat beraliran liberal, Francis Fukuyama dan juga saintis politik aliran kiri dari Rusia yang terkenal dengan teori politik keempat, Alexander Dugin keduanya mengakui kelemahan demokrasi dari mencapai matlamat keadilan dan kebaikan adalah kerana barah populisme. Ironinya, demokrasilah yang membuatkan budaya populis muncul.

Demokrasi bertunjangkan suara majoriti, suara ramai. Dalam dunia demokrasi, politikus hanya berfikir bagaimana mahu meraih sokongan majoriti, tanpa memikirkan baik buruk sesuatu perkara. Mereka mengkaji kemahuan rakyat, mood rakyat, emosi rakyat dan mereka akan berpihak kepada apa yang rakyat minta. Mereka tak peduli isu apa sebenarnya rakyat perlu.

Akhirnya permintaan bukan-bukan daripada rakyat diperjuangkan juga. Mereka mengambil contoh Brexit, dan juga kemenangan Trump. Mood rakyat ketika itu tertekan dengan politik dan ekonomi sedia ada. Maka sesiapa yang berkempen mahu menghapuskan bentuk politik dan ekonomi semasa, popular di mata rakyat walaupun dengan agenda yang simplistik dan tidak realistik. Akhirnya bila Brexit berlaku dan Trump menang, keadaan tidak menjadi lebih baik. Rakyat menyesal.

Oleh kerana negara kita menerima sistem demokrasi, ramai pendokong Islam hanyut dengan arus demokrasi sehingga menerima semua nilai-nilai demokrasi, tanpa lagi menimbang dengan neraca syarak. Sedangkan keharusan menerima demokrasi hanyalah pada bab-bab tertentu sahaja, bukan keseluruhan pakej sistem demokrasi. Dr Wahbah az-Zuhaily berpendapat, perbezaan demokrasi dengan Islam adalah lebih banyak daripada persamaan.

 

BPMS ANTI-POPULIS

Budaya Politik Matang dan Sejahtera sama sekali berbeza dengan falsafah populisme. Tidak melampau jika dikatakan, PAS menampilkan BPMS adalah kerana ingin mengubah pendekatan politik konvensional negara yang sangat terpengaruh dengan populisme.

Kriteria pertama BPMS; Politik bertunjangkan prinsip. Prinsip merupakan perkara yang sangat asing dalam kamis politik hari ini. Orang lebih minat dengan pragmatik, iaitu bertindak berasaskan keuntungan. Mengamalkan BPMS bermaksud berpegang kepada prinsip Islam, dan tidak akan berubah walau apapun berlaku. Pragmatik pula menggunakan Islam dalam bab yang menguntungkan sokongan politik sahaja. Yang merugikan, dikesampingkan.

Kriteria kedua BPMS, politik dakwah. Dakwah bermaksud mengajak kepada kebaikan, amar makruf mahi mungkar. Bila berdakwah, ada perkara orang suka dan ada perkara orang benci. Populisme hanya mengehadkan bab dakwah pada perkara yang orang suka sahaja, walaupun perkara itu bukan keutamaan (aulwiyat) dan mengesampingkan perkara dibenci walaupun ianya adalah keperluan (dhoruriyat).

Kriteria ketiga BPMS, politik berasaskan solusi atau penyelesaian Islam. Politik populis hari ini menfokuskan kepada mendedah masalah dan kepincangan sahaja, kerana rakyat memang suka dengar kutukan dan cemuhan. Malangnya tidak mementingkan soal bagaimana mahu selesaikan masalah itu, kerana rakyat tidak suka berfikir benda yang kompleks.

Kriteria keempat, politik utamakan rakyat. Meletakkan kebajikan rakyat dihadapan, sanggup bertolong-menolong dengan pesaing politik demi rakyat. Tetapi populisme tidak boleh menerima apa-apa tindakan yang memberi mileage kepada pesaing politik, walaupun ianya menguntungkan rakyat.

Kriteria kelima, politik damai dan diplomasi. Populisme hari ini lebih suka dengan politik konfrontasi dan penentangan, kerana lebih membakar semangat dan meriah.

Kriteria keenam, politik benar bukan persepsi. Politik mengutamakan facts and figures. Mementingkan keabsahan sesuatu maklumat. Namun populisme tidak kisah samada benar atau rekaan, yang penting boleh untung politik.

Kriteria ketujuh, politik rasional dan profesional. Politik mendahulukan perancangan dan pengurusan strategik. Tetapi populisme adalah politik cacamerba yang tidak mementingkan rangka dan dasar. Mana yang rakyat suka, balun sahaja.

 

GEJALA DAKWAH POPULIS

Populariti diperlukan atas tujuan dakwah dan politik. Islam mengharuskan popular. Yang ditegah adalah populis iaitu berpura-pura. Yang dilarang adalah menjadi popular sebagai matlamat, bukan wasilah. Ditakuti yang dicari hanyalah redha manusia, bukan lagi redha Allah.

Takut manusia marah sampai membelakangi kebenaran, ini populis. Buat 1 perkara tapi cerita 10, ini populis. Tolak program yang tidak menaikkan populariti, ini populis. Buat apa yang orang suka, bukan apa yang orang perlu, ini populis. Takut melawan arus, ini populis.

Berikut adalah petikan kuliah Tuan Guru Ayah Chik bertarikh 24 Februari 2017 di Masjid Rusila. Menjelaskan dakwah antara prinsip dan populis:

Seringkali berlaku dalam Harakah Islamiah, mereka yang lemah iman terperangkap dalam pujuk rayu manusia sehingga lupa pertolongan Allah. Lalu mereka mengadakan uslub-uslub yang terlalu longgar mengenai pergantungan kepada akidah dengan berlindung di sebalik perkataan ‘hikmah’. Ramai yang beralasan hikmah dalam dakwah ialah kena bercakap yang orang setuju sahaja, yang orang suka dengar. Yang orang tak suka dengar jangan bercakap. Barulah orang ramai datang kepada kita.

Ramai pendakwah-pendakwah terpengaruh dengan cara sebegini. Akhirnya sikap ini membawa kepada meletakkan sebab-sebab manusiawi mengatasi anasir rabbaniyah dalam menjayakan cita-cita dakwah Islamiah. Selepas itu mereka jadi hanyut dalam arus yang memesongkan dari matlamat asal untuk mencapai redha Allah, kepada matlamat yang songsang seperti untuk kedudukan dan harta.

Jangan begini! Jangan sekali-kali! Mesti bergantung dengan Allah SWT. Setuju tak setuju, suka tak suka itu hal mereka, jangan pedulikan. Teruskan bercakap cara Islam. Apa yang Islam suruh kena cakap, apa yang Islam larang, Islam tegur juga kena cakap. Orang nak marah biarkan marah. Nak lari habis pun tak apa! Ini prinsip kita. Kena teguh dengan cara sebegini.

Malangnya banyak kalangan pendakwah pilih jalan supaya orang ramai mari, bukan niat nak perbetul. Menarik hati orang ini adalah kerja Allah SWT. Tuhan boleh tarik seramai manapun yang Dia kehendaki. Hidayah adalah urusan Allah. Serahkan sahaja urusan ini kepadaNya. Bukan tanggungjawab kita nak suruh orang ramai. Tanggungjawab kita adalah menyatakan Islam sahaja.”

Perlu diingatkan, tulisan ini tidak menyentuh persoalan niat individu. Ia adalah urusan Allah dan hanya Dia yang layak menilainya.

Harap kita jelas apa beza popular dan populisme.

 

Alang Ibn Shukrimun

Tinggalkan komen anda