AL-WALA’ WAL BARA’: TUNTUTAN DI DALAM KALIMAH TAUHID

Oleh: Reza Amin
10 November 2018

Di dalam kalimah tauhid ‘لا اله الاالله’ terdapat dua elemen penting iaitu penafian dan juga penegasan.

Kalimah tauhid yang bermaksud tiada tuhan selain Allah membawa penafian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benar sembah kecuali Allah, sebaliknya menegaskan hakikat ketuhanan hanyalah untuk Allah semata-mata.

Pengertian Wala’

Wala’ seringkali ditafsir sebagai taat. Sedangkan taat dan wala’ membawa maksud yang berbeza.

Perkataan wala’ boleh diertikan dengan pertolongan, kecintaan, penghormatan, penghargaan dan tetap setia bersama orang-orang yang dicintai.

Sifat Wala’ akan membuahkan hasil yang berbentuk perlindungan, ketaatan, kasih dan sayang, bersedia untuk membantu, mengikut, pertolongan dan sedia berkorban.

Dalam bahasa yang mudah, wala’ bermaksud mendekatkan diri kepada seseorang dengan menampakkan kecintaan serta kasih sayang kepada mereka melalui perkataan, perbuatan mahupun niat.

Pengertian Bara’

Bara’ merupakan kata lawan bagi wala’ sebagaimana lawan bagi syurga adalah neraka.

Adalah tidak padan jika perbincangan berkenaan wala’ tidak dikaitkan dengan bara’. Kerana bara’ merupakan pasangan bagi wala’.

Perkataan Bara’ bermaksud lepas atau bebas, menjauh, atau peringatan.

Menurut istilah pula, perkataan bara’ bermaksud, menjauhi, berlepas diri atau bermusuh setelah diberikan hujah dan peringatan.

Aplikasi Wala’ dan Bara’ Dalam Islam

Islam telah menggariskan panduan dalam melaksanakan wala’ dan bara’.

1.Orang yang wajib dicintai secara utuh.

Iaitu kepada orang beriman yang kepada Allah dan rasul yang bersungguh-sungguh mengamalkan dan memperjuangkan syariat dan cara hidup Islam dengan sepenuh hati dan ikhlas kerana Allah.

2.Orang yang dicintai dari satu sudut dan dibenci dari satu sudut yang lain.

Iaitu kepada muslim yang mencampurkan perbuataan taat dan juga maksiat di dalam hidupnya. Orang seperti ini harus diberikan wala’ sesuai dengan kadarnya dan dibenci serta bara’ sesuai dengan kadar perbuatan buruknya.

3.Orang yang wajib dibenci secara utuh.

Iaitu kepada orang yang mengingkari Allah, rasul, malaikat, kitab, hari kiamat dan juga ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT.

Orang seperti ini tidak layak diberikan wala’ walau sedikitpun kerana mereka telah kafir kepada Allah.

Secara mudahnya, orang kafir dan munafik tidak layak menerima wala’ daripada orang beriman.

Wala’ dan Bara’ Adalah Tuntutan

فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا

Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. (Al-Baqarah: 256)

Ayat ini menerangkan syarat sebelum beriman, mestilah bara’ daripada toghut terlebih dahulu.

Syeikh Ibnu Taimiyah mengatakan, “tiada kesenangan yang lebih sempurna bagi hati selain daripada mahabbatullah. Dan mahabbatullah tidak mungkin tercapai kecuali dengan berpaling daripada segala sesuatu yang dicintai selain Allah.”

Diantara tuntutan wala’ dan bara’ yang terkandung di dalam kalimah tauhid adalah;

• Memberikan wala’ kepada syariat Allah.
• Menerapkan bara’ terhadap hukum jahiliyyah.
• Menerapkan bara’ terhadap setiap agama selain Islam.
• Nafi dan isbat.

Kesimpulan

Wala’ dan bara’ merupakan asas tauhid iaitu meletakkan kesetiaan dan kecintaan yang utuh kepada Allah dan rasul serta orang beriman dan meletakkan kebencian serta berlepas diri daripada toghut yang disembah selain Allah.

Jika konsep ini tidak difahami dengan sebaiknya oleh umat Islam khususnya yang mengaku mendokong gerakan Islam, maka akan berlakulah kepincangan yang mengucar-kacirkan tindakan dan pegangan mereka.

Sheikh Hamid bin ‘Atiq pernah berkata;

“Di dalam Al-Quran tidak ada hukum yang dalilnya lebih banyak dan jelas melebihi hukum Al-wala’ dan Al-bara’ setelah diwajibkan tauhid dan diharamkan syirik.”

Seseorang manusia belum menjadi mukmin kepada Allah sehinggalah dia bara’ kepada toghut.

Tinggalkan komen anda

%d bloggers like this: