ADAB SELAKU PEMIMPIN: TENANG APABILA DIKRITIK

Oleh: Sofia Alwani Ali
18 April 2020

Nasihat dan luahan rakyat harus diterima dengan lapang dada dan rendah hati. Lemah atau kuatnya seorang pemimpin boleh diperhatikan ketika berlaku sesi teguran, kritikan malah provokasi oleh rakyat.

Tiada telinga yang tahan teguran dan kritikan, melainkan pemiliknya turut memiliki hati yang tenang dan sikap jujur mahukan kebaikan, mudah-mudahan.

Dalam suasana PKP yang menyebabkan beban emosi rakyat bertambah ketika ini, tidak sukar untuk kita fahami kemarahan mereka apabila satu dua tindakan pemimpin dipertikaikan dan dikecam teruk.

Maka sikap keterbukaan yang dicontohkan para pemimpin empayar Islam suatu ketika dahulu, mesti kita teladani pada hari ini. Bermula dengan Nabi SAW, diikuti khalifah pertama umat, Saidina Abu Bakr, diteruskan oleh Saidina Umar al-Khattab hinggalah Umar Abdul Aziz yang mendapat julukan Khulafa’ ar-Rasyidin ke-5.

• Pernah suatu ketika, Rasulullah SAW secara tidak sengaja terpukul Sawwad RA. Lalu Baginda segera bersedia diqisas tanpa banyak soal.

Peristiwa ini ada dimuatkan oleh Ibnul Athir dalam karya beliau Usdul Ghabah fi Ma’rifati Sohabah. Al-Albani menilai riwayat ini sebagai sahih.

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عدَّل صفوف أصحابه يوم بدر، وفي يده قدح يعدل به القوم، فمر بسواد بن غزية حليف بني عدي بن النجار وهو مُستَنْتِل (متقدم) من الصف، فطعن في بطنه بالقدح، وقال: (استوِ يا سواد) فقال: يا رسول الله! أوجعتني، وقد بعثك الله بالحق والعدل فأقدني (مكِّنِّي من القصاص لنفسي)، فكشف رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بطنه فقال: (استقد) (أي: اقتص)، قال: فاعتنقه، فقبَّل بطنه.

Suatu hari ketika berlangsung Perang Badar, Rasulullah SAW meluruskan barisan sahabat-sahabat RA. Pada tangan Baginda ada anak panah, yang digunakan untuk meluruskan barisan tersebut. Saat Baginda melintasi Sawwad bin Ghaziyyah yang berdiri terkehadapan daripada barisan beliau, Rasul SAW meluruskan dengan panah tadi.

Baginda bersabda;

“Istawi ya Sawwad.
Luruskan barisanmu, Sawwad.”

Sawwad lalu membalas;

“Wahai Rasulullah, engkau telah menyakitiku. Sedangkan Allah telah memgutuskanmu dengan kebenaran dan keadilan. Maka berilah aku peluang untuk balas kembali (qisas).”

Rasulullah lalu menyingkap pakaian Baginda dan bersabda;

“Silakan qisas.”

Melihatkan peluang tersebut, Sawwad segera memeluk Baginda dan mengucup jasad Baginda SAW. (HR At-Thabrani)

Daripada kisah tersebut, dapat kita pelajari beberapa perkara.

1- Kejujuran orang bawah yang kasih akan pemimpin yang juga jujur.

2- Qudwah hasanah yang ditunjukkan Nabi selaku pemimpin.

• Baginda bersikap terbuka terhadap aduan para sahabat.

• Baginda tidak mengalih isu aduan dengan alasan klise.

“Sekarang kita sedang berperang, keadaan genting, ada masa lagi nak bangkitkan isu kecil sebegini? Lagipun aku bukan sengaja nak pukul.”

Apatah lagi hendak dibalas;

“Sakit sangat ke? Mati ke bila tersentuh sikit tadi?”

• Menunjukkan Baginda sangat tawaduk dan sedia diperbetulkan orang bawah.

• Baginda tidak menafikan kesilapan, juga tidak menutup ruang aduan.

• Baginda tidak memarahi Sawwad yang menegur Baginda di hadapan sahabat-sahabat lain.

• Baginda tidak menzalimi orang bawah, tidak menghadapi kritikan dengan kekerasan dan kekasaran.

• Baginda juga tidak membezakan layanan berdasarkan pangkat semata-mata.

Baginda bukan sahaja pemimpin angkatan perang ketika itu. Baginda seorang Nabi utusan Allah. Namun, kedudukan tersebut tidak menjadikan Baginda menganggap dirinya istimewa lalu tidak sepatutnya ditegur serta diqisas oleh orang bawah.

Dengan kemuliaan Baginda itulah, kita tidak mendengar Baginda membalas aduan sahabat tadi dengan kata-kata kesat seperti;

“Kurang ajar. Kau tak tahu ke kau tengah bercakap dengan siapa?”

“Awak menteri ke saya menteri?”

Jauh sekali mahu ditangkap dan disumbat ke dalam penjara.

Kejujuran sikap Baginda itulah yang memikat hati pengikut Baginda. Menjadikan Baginda disegani kawan dan lawan. Meminta maaf tidak sesekali menjatuhkan maruah dan martabat kita.

Memperbetulkan apa yang tersilap tidak bermakna kita menghinakan diri. Sikap terpuji ini tidak dimiliki orang yang lemah jiwanya.

Oleh itu, kita perhatikan kini manusia lebih mudah dan cenderung menegakkan benang basah. Mempertahankan kesilapan yang memerlukan kita berdolak dalih dirasakan lebih senang dan ringan. Sebaliknya, mengakui salah dan meminta maaf dianggap terlalu berat dan sukar sedangkan ia tidak menuntut modal yang besar.

Hanya ego yang perlu dikorbankan.

Akuilah kesilapan dan pintalah kemaafan. Contohi Rasul SAW.

Semoga rakyat juga akan berlapang dada dan mengasihimu. Seperti Sawwad, sahabat Nabi yang tercari-cari peluang untuk mendekatkan diri pada Baginda SAW.

Tinggalkan komen anda