ABDUL MALIK BIN MARWAN: KHALIFAH KE-5 UMAYYAH

Oleh: Ahmad Hakimi Othman
6 April 2020

Abdul Malik Bin Marwan adalah pemimpin Islam yang muncul di zaman konflik. Beliau adalah golongan Tabi’in.

Saya pernah membaca dan berbincang dengan para sahabat yang berminat dengan sejarah Islam, disebut bahawa Abdul Malik Bin Marwan adalah asalnya seorang Tabi’in yang dikategori sebagai antara empat sosok tokoh Tabi’in di zaman beliau yang dianggap sebagai rujukan besar.

Namun takdir kekacauan kerajaan berlaku di zaman beliau, sedangkan pula pemerintah yang memerintah Umayyah yang sedang menyelamatkan Kerajaan Umayyah ketika itu adalah ayah beliau sendiri, Marwan Bin Hakam, seorang generasi sahabat. Walaupun ada juga beberapa sumber yang menyatakan, bahawa surat yang dihantar oleh Saidina Uthman kepada Muhammmad Bin Abu Bakar, telah dieksplotasi olehnya.

Abdul Malik Bin Marwan, mengambil takhta Kerajaan Umayyah dari ayahnya, seterusnya meninggalkan bakat Ulama’ ummat yang ada padanya dengan menumpukan kepada urusan siyasah umat Islam yang penuh dengan cubaan dan kekeliruan. Di Zaman beliaulah, Hajjaj At-Tsaqafi di hantar untuk mengalahkan Ibn Zubayr, Anak Sahabat Nabi SAW dan anak saudara Aisyah dan Cucu Saidina Abu Bakar RA.

Abdul Malik Bin Marwan dapat menstabilkan kerajaan Islam daripada ancaman Rom Byzantine dalam keadaan berhadapan krisis dalaman umat Islam.

Ketokohan beliau mungkin tidak dapat dipersetujui ramai orang, kerana mana mungkin penyokong Saidina Ali, penyokong Abdullah Bin Zubair dan mereka yang tidak terlibat di tampuk kerajaan waktu itu memahami dengan baik apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Namun, kerana warisan ilmu dan kefahaman agama yang setaraf para Tabi’in juga, menjadikan Abdul Malik bin Marwan seorang tokoh politik Islam yang boleh dipelajari sesuatu daripadanya. Malah, dari cucunyalah lahir Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Menunjukkan bahawa, pendidikan Islam dalam keluarga pemerintahan beliau tidak dilupakan kepada generasi-generasi selepasnya.

Kita sukar mendapat laporan positif daripada sejarah pemimpin-pemimpin kerajaan Umayyah, kerana mereka ditewaskan oleh Bani Abbasiyah selepas itu, dan kebiasaannya, sejarah banyak mencondongi golongan-golongan yang menang. Walaupun begitu, ulama’-ulama’ Islam membuktikan masih ada riwayat dan pandangan-pandangan sejarah membela kebaikan yang dibina oleh Bani Umayyah dalam tamadun Islam.

Tinggalkan komen anda